Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Solidariti bersama UM8

Kini, sekumpulan pelajar daripada Universiti Malaya, diketuai oleh saudara Fahmi Zainol, Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) akan menghadapi tindakan tatatertib kerana mereka telah menganjurkan satu ceramah untuk Anwar Ibrahim, alumni UM di universiti tersebut.

Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) sedang digunakan sebagai satu alat untuk menghalang minda anak-anak muda daripada membincangkan dan menyuarakan pendapat mereka tentang situasi politik di negara mereka sendiri. Ini merupakan salah satu sebab Angkatan Muda KEADILAN memperjuangkan kemansuhan AUKU dan menghentikan kerajaan hari ini daripada mengawal kebebasan para mahasiswa. AMK akan mempertahankan nasib mahasiswa-mahasiswa dalam krisis ini.

UM, selaku salah satu institusi pengajian tinggi yang dihormati di Malaysia perlu melihat dengan teliti akibat dan kesan yang ditinggalkan jika pihak Universiti membuat keputusan untuk menggantung atau membuang pelajar-pelajar tersebut. Ini bukan sahaja akan memburukkan pentadbiran universiti tetapi imej universiti secara keseluruhan akan terjejas kerana mereka akan dilihat menguatkuasakan peraturan-peraturan yang ketat yang menghindarkan penkembangan minda daripada menggalakkan pelajar-pelajar berfikir dan bertindak secara kritis.

Jika UM membuat keputusan untuk menjatuhkan hukuman berat dengan menggantung atau membuang mereka daripada universiti, saya sebagai EXCO Kerajaan Negeri Selangor, akan buat yang terbaik untuk memastikan mereka diberi peluang untuk menyambung pelajaran mereka di universiti-universiti lain seperti Universiti Selangor (UNISEL) or Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).

NIK NAZMI NIK AHMAD

KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN

EXCO PENDIDIKAN, PEMBANGUNAN MODAL INSAN, SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI