Notis Tuntutan Dari Yayasan Wilayah Persekutuan Berkaitan Isu Taman Tiara Titiwangsa

Saya menerima Notis Tuntutan dari Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) bertarikh 4 Disember 2020 melalui firma guaman mereka, Shahul Hamidi & Haziq.

Notis berkenaan berkaitan dengan sidang media yang diadakan di Parlimen pada 18 November 2020, sebagai respons kepada Laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang bertajuk “Penjualan Tanah Milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP)” .

Di antara tuntutan yang diberikan kepada saya adalah YWP meminta RM10 juta sebagai ganti rugi bagi kenyataan saya mengenai perkara di atas.

Dalam halaman 19-20 Laporan PAC menyimpulkan bahawa Menteri Wilayah Persekutuan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur terdedah kepada konflik kepentingan dalam isu ini. Hal ini kerana kedudukan mereka sebagai Menteri Wilayah Persekutuan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, mereka berdua turut memegang jawatan Pengerusi dan Pemegang Amanah YWP.

PAC mencadangkan agar struktur YWP diteliti dan entiti itu disusun semula sebagai badan berkanun agar ia dapat dipertanggungjawabkan kepada kerajaan.

Laporan PAC berdasarkan prosiding yang diadakan pada tahun 2019, ketika YB Dato ’Dr Noraini Ahmad (Parit Sulong) menjadi Pengerusi PAC. Beliau sekarang adalah Menteri Pengajian Tinggi dan Ketua Wanita UMNO.

YWP mempunyai projek yang sedang dijalankan di kawasan saya di Taman Tiara Titiwangsa. Saya telah bekerjasama dalam perkara ini dengan Persatuan Penduduk Taman Tiara Titiwangsa sebelum pilihan raya 2018, yang terus berlanjutan semasa era Pakatan Harapan sehingga ke hari ini.

Penduduk telah menentang projek tersebut.

Sebagai rekod, penduduk telah mengambil tindakan perundangan ke atas DBKL dan menang di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

YWP juga telah mengeluarkan notis kepada empat Ahli Parlimen lain, YB Wong Kah Who (Pengerusi PAC semasa dan Ahli Parlimen Ipoh Timur), YB Tan Kok Wai (Cheras), YB Hannah Yeoh (Segambut), YB Lim Lip Eng (Kepong) selain saya saya untuk kenyataan akhbar kami ketika mengulas kesimpulan dan cadangan yang dibuat dalam Laporan PAC tersebut.

Pada 26 Disember 2020, peguam kami, Syahredzan Johan telah menjawab kepada peguam YWP.

Mengapakah YWP tidak mengambil sebarang tindakan terhadap anggota PAC yang lain termasuk Noraini Ahmad yang merupakan rakan Menteri dan pimpinan UMNO seperti Menteri Wilayah Persekutuan dan Pengerusi YWP Tan Sri Annuar Musa?

Saya tidak akan gentar dengan tindakan mereka dan akan terus menjalankan tugas saya sebagai wakil rakyat dan akan terus memperjuangkan kawasan saya.

NIK NAZMI NIK AHMAD
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA

Persoalan Untuk Kementerian Pendidikan Mengenai PKP 2.0

Saya ingin menyentuh beberapa perkara berkaitan isu pendidikan memandangkan hampir semua negeri di Malaysia diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau PKP Bersyarat (PKPB) kecuali Sarawak dan Perlis, yang berada di bawah PKP Pemulihan (PKPP) dan terbaharu darurat di seluruh negara.
Bagi negeri-negeri yang sedang berada dalam PKP, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan mengarahkan semua pelajar yang bakal menduduki peperiksaan besar dan para guru untuk kembali ke sekolah.
Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, kita sekarang mempunyai 2 kumpulan pelajar peperiksaan yang perlu dijaga; kelas SPM tahun 2020 (mereka belum mengambil SPM) dan pelajar tahun 2021.
Bebanan kerja guru akan bertambah dengan keadaan yang sedang kita hadapi pada hari ini. Mereka harus mengurus dan mengajar kelas peperiksaan dengan SOP yang ketat.
Selain daripada tugasan ini, mereka tetap perlu mengajar pelajar dalam talian bagi pelajar yang sedang berada di rumah.
Saya apa-apa langkah yang dilakukan oleh kerajaan atau Kementerian Pendidikan untuk melakukan persiapan, memberikan sumber, dan sokongan untuk guru dalam situasi ini — bagi menyeimbangkan kedua-dua keperluan, terutama bagi mereka yang mungkin tidak biasa dengan mata pelajaran yang guru perlu ajar di peringkat peperiksaan.
Pada masa yang sama, terdapat laporan pelajar sekolah menengah bukan peperiksaan kehilangan minat dan fokus pada pelajaran dalam talian.
Apa yang Kementerian Pendidikan lakukan untuk membantu pelajar dan guru untuk masalah ini? Kita perlu melakukan sesuatu untuk mengurangkan risiko keciciran yang tinggi ketika sekolah dibuka semula.
Apa sistem sokongan yang disediakan untuk guru, pelajar dan ibu bapa untuk menghadapi PKP 2.0 dan darurat? Di manakah talian bantuan, pangkalan data untuk pelajaran dan penilaian? Di manakah platform untuk berkomunikasi dengan ibu bapa?
Ini seharusnya dilakukan dalam beberapa minggu pertama pandemik pada tahun 2020.
Adakah kerajaan memanfaatkan sepenuhnya pusat tuisyen, tuisyen atas talian, tutor individu, dan NGO untuk memberi ruang pembelajaran maya bagi kanak-kanak B40 yang mungkin tidak dapat belajar di rumah secara maya?
Hanya Kementerian Pendidikan yang dapat menjawab soalan-soalan ini.
NIK NAZMI NIK AHMAD
JURUCAKAP PARLIMEN KEADILAN BAGI PENDIDIKAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA

Dividen ASB: Pemberian Ehsan Perlu Dijadikan Elemen Kekal

Tahun lepas, ketika ASB memberikan dividen sebanyak 5.00 sen seunit dan bonus 0.50 sen seunit; kecoh pihak yang tak bertanggungjawab menyalahkan Kerajaan Persekutuan yang dipimpin Pakatan Harapan.

Kini, ASB baru mengumumkan dividen sebanyak 4.25 sen seunit dan ehsan 0.75 sen seunit untuk 30,000 unit pertama.

Kadar ini boleh dianggap berpatutan dengan kegawatan ekonomi berikutan wabak Covid-19.

Saya pasti pihak yang mempolitikkan isu dividen lebih tinggi tahun lepas akan diam membisu memandangkan mereka kini menguasai Kerajaan Persekutuan.

Tahun lepas, saya turut mengesyorkan supaya ASB mengguna pakai dividen bertingkat agar pemegang unit dalam kumpulan B40 dan M40 diberi dividen yang lebih tinggi berbanding pemegang unit T20.

Hampir 80 peratus (7.4 juta) pemegang unit ASB mempunyai unit bernilai kurang RM5,000 pada 2018. Peratusan yang kecil, sebanyak 0.24 peratus mempunyai RM500,001 dan ke atas.

Pemegang unit ASB yang dalam kalangan B40 dan hanya mempunyai RM4.1 bilion manakala 9.15 peratus teratas mempunyai RM127.5 bilion dalam dana unit amanah.

Oleh itu, sementara pekali Gini nasional (ukuran ketidaksamaan) telah bertambah baik dari 0.513 pada tahun 1970 kepada 0.399 pada 2016, pekali Gini di ASB adalah 0.84 atau sangat tidak sama rata.

Alhamdulillah, pada tahun ini ASB memberikan ehsan 0.75 sen kepada 30,000 unit pertama yang menjurus ke arah dividen bertingkat.

Pendekatan ASB selama ini relevan ketika penubuhannya dahulu tetapi perlu ada penyesuaian agar penerima manfaat terbesar adalah golongan Bumiputera B40 dan M40.

Namun saya merasakan sudah tiba masanya untuk PNB menjadikan pemberian dividen bertingkat yang mengutamakan akaun B40 dan M40 sebagai dasar tetap. Kumpulan Wang Simpanan Pusat Singapura (CPF) beroperasi mengikut mekanisme sama.

Pada masa yang sama, saya difahamkan di bawah pengurusan ASB sebelum ini, mereka membuat keputusan tepat dengan mengurangkan program pelaburan menggunakan pinjaman bank.

Sebelum ini saya menggesa dasar ini dikaji semula kerana ia akan mengeruhkan lagi suasana sekiranya keadaan pasaran dunia dan tempatan dalam keadaan gawat (sebagaimana hari ini).

Isu-isu seperti dividen ASB dan hibah Tabung Haji harus dilihat secara rasional dan objektif, bukan dengan matlamat membakar emosi kaum dan agama untuk kepentingan politik.

Kedua-dua institusi ini memberi sumbangan besar dalam tabungan dan pelaburan masyarakat Islam dan Bumiputera di Malaysia dan harus kekal relevan bagi memenuhi matlamat sosial mereka yang menjadi asas penubuhan mereka dahulu.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA SETIAUSAHA PENGELOLA KEADILAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA

Jawapan Pertanyaan Bukan Lisan Isu Pendaftaran Automatik Pengundi Dan Penurunan Had Mengundi Ke Usia 18 Tahun

Soalan:

Nik Nazmi Nik Ahmad [Setiawangsa] minta Perdana Menteri menyatakan status kemajuan proses pendaftaran automatik pengundi dan penurunan had mengundi ke 18 tahun ke atas yang telah diluluskan menerusi pindaan Perlembagaan pada tahun 2019.

Jawapan:

YB Dato’ Takiyudin Hassan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang)

Tuan Yang Di-Pertua,

Untuk makluman ahli Yang Berhormat, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang dalam persiapan untuk melaksanakan umur kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik berdasarkan kepada pindaan Perkara 119(4) Perlembagaan Persekutuan yang telah diluluskan oleh Parlimen pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Parlimen Keempat Belas. Persiapan yang sedang dilaksanakan oleh SPR adalah meliputi penyediaan pindaan kepada Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 dan undang-undang lain yang berkaitan, penyediaan standard operating procedures (SOP) dan penyediaan sistem dan infrastruktur bagi pelaksanaan umur kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik.

Bagi maksud membantu SPR dalam menyediakan SOP pelaksanaan pendaftaran pemilih secara automatik ini, SPR telah mengadakan beberapa sesi libat urus bersama beberapa jabatan/agensi Kerajaan seperti Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia
Jabatan Perdana Menteri; Kementerian Dalam Negeri; Jabatan Pendaftaran Negara (JPN); Jabatan Penjara Malaysia; Pejabat Ketua Pendaftaran Mahkamah; Kementerian Kesihatan Malaysia; Angkatan Tentera Malaysia; dan Polis DiRaja Malaysia.

SPR juga mengadakan beberapa sesi libat urus seperti berikut:

i. Sesi Libat Urus Bersama Parti-Parti Politik Dari Blok Kerajaan Dan Blok Pembangkang (Bipartisan) Berhubung Pelaksanaan Umur Pengundi dan Calon 18 Tahun serta Pendaftaran Pemilih Secara Automatik pada 3 Oktober 2019;

ii. Sesi Libat Urus Dengan Pertubuhan-Pertubuhan Bukan Kerajaan dan Parti-Parti Politik Negri Sarawak pada 26 November 2019; dan

iii. Sesi Libat Urus Dengan Pertubuhan-Pertubuhan Bukan Kerajaan dan Parti-Parti Politik Negri Sabah pada 3 Disember 2019.

Melalui penganjuran sesi-sesi libat urus tersebut, SPR telah memberi penerangan mengenai perancangan pelaksanaan pindaan undang-undang yang telah diluluskan serta mendapatkan maklum balas dan pandangan daripada semua pihak.

Di samping itu, SPR juga sedang bekerjasama dengan JPN melalui Jawatankuasa Taskforce SPR dan JPN dalam persiapan melaksanakan pendaftaran pemilih secara automatik dan urusan-urusan lain yang berkaitan. SPR menjangkakan semua persiapan yang sedang diambil tindakan oleh SPR akan dapat disiapkan dalam tempoh 18 hingga 24 bulan dari tarikh kelulusan pindaan oleh Dewan Negara pada 25 Julai 2019. Sehubungan itu, jangkaan tarikh pelaksanaan tersebut adalah selewat-lewatnya pada bulan Julai 2021.

Sekian, terima kasih.

Jawapan Pertanyaan Bukan Lisan Gaji Dan Elaun Penjawat Awam Sokongan

Soalan:

Nik Nazmi Nik Ahmad [Setiawangsa] minta Perdana Menteri menyatakan:-

a) berapakah gaji berserta elaun permulaan yang diterima penjawat awam yang berkelulusan minima SPM, PT3 / PMR dan PT3 / PMR ke bawah; dan

b) berapa kalikah gaji dan elaun ini telah dinaikkan sejak tahun 2000, dan nyatakan gaji berserta elaunnya sekali.

Jawapan:

YB Dato’ Takiyudin Hassan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang)

Tuan Yang Di-Pertua,

a) Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, gaji minimum bagi pegawai yang mempunyai kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Gred 19 adalah antara RM1,352.00 hingga RM1,377.00 manakala bagi pegawai yang berkelayakan Pentaksiran Tingkatan Tiga / Penilaian Menengah Rendah (PT3 / PMR) atau Gred 11 adalah antara RM1,200.00 sehingga RM1,218.00.

Selain daripada gaji pokok, pegawai Gred 19 dan 11 turut menerima imbuhan tetap seperti Imbuhan Tetap Perumahan (ITP), Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) serta Bayaran Imbuhan Sara Hidup (BISH)

Mengikut kadar tertentu berdasarkan gred lokasi berkhidmat. Secara amnya, jumlah pendapatan yang merangkumi gaji pokok, imbuhan tetap serta BISH bagi pegawai Gred 19 dan 11 adalah seperti berikut:

Kelayakan: SPM Gred: 19 Pendapatan minima: RM1,967.00 maksima RM4,817.00

Kelayakan: PT3 / PMR Gred: 11 Pendapatan minima: RM1,795.00 maksima RM3,746.00

Selain daripada itu, pegawai dari Kumpulan Pelaksana yang diarahkan untuk bekerja lebih masa juga adalah layak untuk menuntut Elaun Lebih Masa (ELM) mengikut jumlah jam bekerja di luar waktu pejabat.

b) Sejak tahun 2000, Kerajaan telah melaksanakan sebanyak 7 semakan dan pemberian kenaikan gaji kepada semua Pegawai Perkhidmat Awam. Semakan dan pemberian kenaikan gaji kepada pegawai Kumpulan Pelaksana adalah seperti berikut:

i. Tahun 2000 – Kenaikan gaji sebanyak 10%
ii. Tahun 2002 – Kenaikan gaji sebanyak 10%
iii. Tahun 2002 – Peningkatan matagaji sebanyak 15%
iv. Tahun 2007 – Kenaikan gaji sebanyak 25% (Sokongan I) dan 35%
(Sokongan II)
v. Tahun 2012 – Kenaikan gaji sebanyak 13%
vi. Tahun 2013 – Faedah pemindahan gaji bersamaan 1 Kenaikan Gaji
Tahunan (KGT); dan
vii. Tahun 2016 – Faedah pemindahan gaji bersamaan 1 KGT.

Pada 1 Julai 2016, Kerajaan bersetuju menetapkan gaji permulaan terendah pada kadar RM1,200.00 sebulan melibatkan pegawai Gred 11 dengan kelayakan masuk PT3 / PMR. Selain semakan dan pemberian kenaikan gaji, Kerajaan pada tahun 2015 turut melaksanakan semakan kadar Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) dengan memberi kenaikan sebanyak RM120 kepada pegawai Kumpulan Pelaksana, daripada RM180 kepada RM300 sebulan.

Di samping itu, pada tahun 2019 Kerajaan turut mengumumkan kenaikan kadar Bayaran Imbuhan Sara Hidup (BISH) kepada Pegawai Perkhidmatan Awam dari Kumpulan Pelaksana sebanyak RM50 bagi setiap kawasan. Kadar baharu BISH bagi Pegawai Kumpulan Pelaksana adalah RM350 bagi kawasan A, RM300 bagi kawasan B dan RM200 bagi kawasan lain. Kadar bayaran BISH adalah mengikut penyelarasan PBT yang ditetapkan.

Sekian, terima kasih.

Adakah KeADILan Perlu Sertai “Koalisi Gergasi”?

Sejak akhir-akhir ini, ada desakan untuk mewujudkan “koalisi gergasi”, di kedua-dua belah pihak kerajaan dan pembangkang.

Di pihak pembangkang, ada tuntutan untuk menghidupkan kembali formula “PH Plus”.

Secara amnya, ini adalah koalisi yang melibatkan Pakatan Harapan – KEADILAN, DAP dan AMANAH – kembali bersama Tun Dr Mahathir Mohamad dan kemnya (partinya PEJUANG yang masih belum berdaftar), serta parti-parti lain seperti WARISAN dan MUDA (yang juga masih tidak berdaftar).

Ramai ahli atau penyokong PH – termasuk masyarakat sivil menganggap ini adalah idea yang baik.

Namun, adakah itu pandangan yang tepat?

Apa yang diperlukan untuk mewujudkan semula PH Plus?

Pada bulan Jun 2020, Dr Mahathir mengatakan kepada media:

“Saya ingin menjadi PM untuk ketiga kalinya untuk memperbetulkan korupsi pentadbiran Najib dan Muhyiddin… Saya akan berundur setelah enam bulan. Saya tidak akan menjadi PM lagi.”

Pada bulan Oktober 2020 juga, parti PEJUANG yang masih belum didaftarkan mencalonkannya untuk menjadi Perdana Menteri lagi.

Dalam sidang media 14 Disember baru-baru ini, sementara beliau dilaporkan berkata bahawa beliau “tidak ada cadangan” untuk menjadi calon Perdana Menteri, beliau mengatakan: “Jika kerajaan jatuh, maka akan ada menjadi keperluan untuk kerajaan baharu. Pada masa ini, kecuali jika kita mempunyai pilihan raya umum, satu-satunya cara untuk membentuk kerajaan baru adalah untuk 222 anggota Parlimen untuk mulai memilih kerajaan, mungkin bermula dengan perdana menteri … Dan kemudian untuk membentuk sebuah kerajaan yang berdedikasi untuk melayani rakyat. Saya harap ada cukup ahli Parlimen yang ingin melihat negara ini pulih dan maju seperti sebelumnya”.

Keadaan ini menunjukkan adanya “PH Plus” akan memberikan kita pilihan sama ada memilih kepemimpinan Dr Mahathir lagi, atau seseorang yang dapat diterima olehnya.

Seperti yang saya dan beberapa individu lain telah perkatakan sebelum ini, langkah ini bukan pilihan yang tepat – khususnya untuk KEADILAN.

Hakikatnya adalah Dr Mahathir telah membuktikan berulang kali bahawa beliau tidak bersedia dan tidak dapat menggerakkan reformasi yang sangat diperlukan oleh Malaysia, sama ada ekonomi, politik, atau sosial.

Keputusan bekerjasama dengan Mahathir dalam PH bukanlah keputusan yang mudah di kalangan pembangkang; ramai di antara mereka telah dizalimi ketika tempoh pertama Mahathir sebagai PM ketika beliau merosakkan institusi negara sementara golongan tauke bermaharajalela dan jurang kaya-miskin melebar; tetapi ini adalah keputusan yang dibuat PH untuk menumbangkan Najib Razak dan UMNO-BN pada PRU 2018.

Beliau mempunyai 22 bulan dan modal politik yang besaruntuk memperbaiki masalah negara – tetapi tidak dapat atau enggan berbuat demikian. Dan terbukti beliau berulang kali membelakangkan manifesto Buku Harapan. Sebahagian besar daripada manifesto itu dapat dicapai, tetapi komennya merosakkan kewibawaan PH dan menguatkan semula musuh kita.

Pada akhir pentadbirannya, beliau meletak jawatan tanpa berbincang dengan PH sebagai taktik memastikan beliau tidak perlu menyerahkan jawatan PM kepada Anwar sebagaimana dijanjikan. Sebaliknya, keseluruhan Kerajaan PH yang memenangi PRU 2018 membawa harapan rakyat telah tumbang.

Jelasnya, zaman beliau sudah berakhir untuk memimpin PH dan negara kita, terutama dengan cabaran baharu era Covid yang penuh mencabar ini.

Sekiranya parti-parti komponen PH masih mahu gabungan kita atau pakatan yang lebih besar menjadi entiti reformis — maka kita tidak boleh dipimpin oleh Dr Mahathir.

Prospek pembangkang yang berpecah akan memberi kesan yang buruk kepada banyak pihak.

Tetapi pokoknya, ini adalah isu khilafiyah (perbezaan pandangan) tentang bagaimana kita seharusnya mencorakkan masa depan Malaysia.

Tiada jaminan bahawa PH Plus adalah platform politik pilihan Dr Mahathir.

Dalam wawancara pada September 2020, beliau mengatakan: “Jika kita boleh memperoleh 30 kerusi sahaja pun, kita dalam kedudukan untuk menyertai salah satu (gabungan). Tetapi jika kita mahu sertai, kita mesti menekankan beberapa syarat. Jika mereka menerima syarat-syarat kita, maka kita akan turut serta.

Namun, untuk bersikap adil, cadangan “PH Plus” atau “Koalisi Gergasi” – seperti yang disusun sekarang – adalah masalah melangkaui isu Mahathir-Anwar.

Budaya politik Malaysia cenderung melihat koalisi sebagai koalisi pra-pilihan raya, bukannya koalisi pasca pilihan raya. Parti komponen setuju dengan manifesto yang sama, dengan kepimpinan (atau calon PM) yang sama dan dengan satu calon untuk setiap kerusi.

Tetapi adakah ini keadaan sebenar?

Mungkinkah kita begitu terbiasa dengan “model” Parti Perikatan dan BN sehingga kita tidak dapat memikirkan alternatif lain?

Sebagai respon, pembangkang pernah mengusahakan Barisan Sosialis (1950an-1960an), Gagasan Rakyat dan Angkatan Perpaduan Ummah (awal 1990an), Barisan Alternatif (1999-2008), Pakatan Rakyat (2008-2015), PH (ditubuhkan 2015) dan Gagasan Sejahtera (2018).

Tetapi harus diingat Parti Bansa Dayak Sarawak pernah bersama Parti Pesaka Bumiputera Bersatu dalam BN di peringkat nasional tetapi menentang satu sama lain di PRN Sarawak antara 1987-1992.

Kerjasama DAP-KEADILAN pada PRU 2008 berbentuk kerjasama longgar untuk cuba mengelak pertembungan kerusi dan kerjasama kempen, tanpa manifesto bersama. Begitu juga WARISAN mengambil pendekatan mesra PH tetapi tidak menyertai PH.

Kini wujud keadaan tidak menentu Perikatan Nasional dan Muafakat Nasional sehingga bertembung di dalam PRN Sabah 2020 tetapi membentuk Kerajaan Negeri bersama.

Marilah kita bersikap jujur.

Memandangkan realiti politik sekarang dan cara pengagihan kawasan parlimen kita yang tidak saksama, mana-mana gabungan pra-pilihan raya akan bergelut dengan perundingan kerusi.

Ini selalu menjadi proses yang sukar walaupun parti-parti bersatu dan mempunyai perasaan yang baik di antara satu sama lain.

Ini adalah masalah yang akan terus dihadapi, jika tidak akan menjadi barah, untuk mana-mana gabungan besar masa depan: sama ada “PH Plus” dan apa sahaja yang dibuat oleh pakatan Muhyiddin.

Mungkin kita boleh berhenti mengharapkan gabungan kita sebagai entiti tetap, ia boleh menjadi lebih anjal, bergantung pada apa yang negara perlukan, yang diikat selepas pilihan raya. Ini adalah peralihan dari kerjasama pra-pilihan raya kepada kerjasama pasca-pilihan raya.

Ini bukan sesuatu yang luar biasa tetapi lazim di Eropah. Malah “Koalisi Gergasi” adalah istilah yang digunakan di Negara Jerman untuk menggambarkan kerjasama dua parti terbesar negara tersebut – CDU dan SPD yang berlaku beberapa kali dalam sejarah negara tersebut, selepas pilihan raya.

Di Britain, parti Konservatif dan Liberal Demokrat membentuk kerajaan antara 2010-2015.

Inilah sebabnya mengapa perbincangan mengenai ikatan PH-UMNO di Perak menarik perhatian orang ramai – walaupun pada akhirnya tidak menjadi kenyataan.

Pengundi Malaysia, mungkin semakin ingin tahu dan terbuka terhadap kemungkinan politik baharu yang sebelumnya tak dapat difikirkan.

Namun, politik tidak bermakna mengorbankan prinsip dan idealisme kita – dan di sinilah KEADILAN perlu berpegang teguh kepada prinsip asasnya untuk membina tanah air yang lebih saksama.

Ya, di masa depan membentuk gabungan merupakan proses yang anjal, tetapi kerangkanya wajib jelas berpaksikan agenda Reformasi untuk menjadikan negara kita lebih baik.

Apa pun yang berlaku, KEADILAN harus terus berkhidmat untuk rakyat dan memperjuangkan ekonomi yang lebih adil serta pemulihan institusi awam negara kita.

KEADILAN satu-satunya parti dengan cabang di setiap 222 kawasan Parlimen di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, dan keanggotaan melebihi 1 juta orang di belakang hanya dua parti yang jauh lebih lama usianya – UMNO dan PAS.

Sebagai wadah besar yang mengumpulkan pelbagai aliran politk dan muncul sebagai parti pelbagai kaum paling berjaya dalam sejarah negara, KEADILAN berada dalam kedudukan terbaik untuk mencapainya.