Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Laporan Ketua Audit Negara mengenai Kementerian Belia dan Sukan: Utamakan inisiatif yang bermanfaat untuk generasi muda

Saya menyokong penuh gesaan Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar agar satu audit penuh sambutan tahunan Hari Belia didedahkan kepada umum oleh Ketua Audit Negara.

Sebagaimana dinyatakan oleh Mahfuz, kos sambutan tersebut telah meningkat daripada RM16 juta pada tahun 2011 kepada RM18.07 juta pada tahun 2013.

Beliau turut menyatakan sambutan untuk tahun ini bakal mencecah RM30 juta.

Menteri Belia dan Sukan telah menyatakan komitmennya untuk memperbaiki isu-isu yang diketengahkan dalam laporan ketua audit tersebut.

Namun, demi ketelusan dan pertanggungjawaban dapatan penuh audit mesti didedahkan kepada umum.

Rakyat Malaysia – khususnya golongan muda – berhak untuk mengetahui sekiranya ada masalah atau kekurangan dalam cara wang pembayar cukai dibelanjakan, dan apakah yang telah dilakukan untuk menanganinya agar tidak berlaku lagi.

Dengan langkah penjimatan yang terus meningkat, di mana lebih banyak beban dipindahkan kepada rakyat, setiap sen yang dibelanjakan mesti dihitung.

Seterusnya, kerajaan mesti memberikan justifikasi bagaimana acara-acara ini – yang kos bagi melaksanakannya cukup tinggi – benar-benar memberikan manfaat dan dapat memperkuasa generasi muda di Malaysia.

Meskipun diakui hampir semua generasi muda sukakan acara sambutan, adalah lebih baik perbelanjaan besar digunakan untuk keutamaan lain yang lebih penting, untuk tujuan yang lebih berbaloi seperti biasiswa pendidikan, pinjaman perniagaan untuk generasi muda dan kemudahan rumah mampu milik yang lebih dekat dengan keperluan generasi muda.

Kita mesti mempersoalkan kenapa Putrajaya kelihatan sedia berbelanja besar dalam acara sebegini tetapi bersikap acuh tidak acuh dalam perkara lebih penting, seperti inisiatif pro generasi muda yang tidak memerlukan belanja besar, misalnya tekanan kepada mahasiswa dan mengurangkan usia layak mengundi kepada 18 tahun.

Saya berharap Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, melihat perkara ini secara serius