Skip to content Skip to footer

Nik Nazmi Nik Ahmad

Nik Nazmi ialah Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim serta Ahli Parlimen Setiawangsa. Beliau juga Naib Presiden KEADILAN. Lahir di Kuala Lumpur pada 1982, beliau mendapat pendidikan awal di SRK La Salle Petaling Jaya sebelum ke Malay College Kuala Kangsar.

Nik Nazmi 001AB

Nik Nazmi kemudian ke Kolej Yayasan UEM dengan tajaan biasiswa Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan terpilih sebagai Presiden Majlis Pelajar. Pada waktu itu, beliau mula membantu gerakan Reformasi.

Pada tahun 2002, beliau melanjutkan pengajiannya ke King’s College London dalam bidang undang-undang. Beliau aktif dalam pelbagai persatuan mahasiswa termasuk United Kingdom and Eire Executive Council for Malaysian Students (UKEC), King’s College London Labour Students dan Persekutuan Pertubuhan Pelajar Islam United Kingdom dan Eire (FOSIS). Beliau juga fasilitator Projek Kalsom, projek untuk pelajar sekolah menengah yang kurang bernasib baik pada 2004.

Beliau turut dipilih menjadi wakil King’s College ke National Union of Students (NUS) Conference 2005.

Selepas tamat belajar, beliau pulang ke Malaysia untuk bekerja bersama penajanya, PNB.

Beliau kemudian menyertai pejabat Anwar Ibrahim sebagai setiausaha sulitnya dan mencagar harta keluarganya untuk membayar semula PNB.

Nik Nazmi dilantik sebagai EXCO Angkatan Muda KEADILAN pada 2007, dan beliau mengasaskan Projek Mentari, projek tuisyen untuk anak-anak flat kos rendah Desa Mentari.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, beliau dipilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia. Beliau merupakan calon termuda pada Pilihan Raya Umum ke-12. Beliau dilantik menjadi Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor. Kemudian pada 2010 beliau dilantik menjadi Pengarah Komunikasi KEADILAN.

Penggal pertamanya menyaksikan beliau memainkan peranan sebagai anggota Jawatankuasa Terpilih Dewan Negeri Selangor tentang Enakmen Kebebasan Maklumat dan memainkan peranan penting di dalam mendraf semula dan meluluskan enakmen kebebasan maklumat pertama di Malaysia.

Pada Pilihan Raya Umum berikutnya, pada 2013, Nik Nazmi berjaya mempertahankan kawasan Seri Setia dan dipilih menjadi Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor. Beliau turut memainkan peranan penting mengasaskan Program ADUN Muda yang membolehkan mahasiswa mendapat pengalaman sebagai pembuat undang-undang.

Pada pemilihan KEADILAN 2014, beliau terpilih menjadi Ketua AMK Malaysia. Tiga tahun kemudian, beliau dipilih menjadi Ketua Pemuda HARAPAN yang pertama.

Di bawah pentadbiran Azmin Ali sebagai Menteri Besar, beliau dipilih menjadi EXCO Kerajaan Selangor untuk Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi. Beliau turut dilantik menjadi Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, Pengerusi Lembaga Pengelola pertama Universiti Selangor selain menjadi anggota Lembaga Pengarah UNISEL, Yayasan Selangor dan Institut Darul Ehsan.

Pada Pilihan Raya Umum bersejarah 2018, Nik Nazmi bertanding di kubu UMNO, Setiawangsa. Nik Nazmi menang dan menjadi sebahagian daripada Kerajaan Pakatan Harapan yang mentadbir Kerajaan Pusat.

Setelah menang jawatan Naib Presiden KEADILAN pada tahun 2022, beliau turut dilantik sebagai Pengerusi KEADILAN di Kelantan dan Terengganu.

Beliau telah berkhidmat di beberapa Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen: anggota JPKP Bajet (2018-19), Pengerusi JPKP Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri (2019-20) dan anggota JPKP Pendidikan (2019-22).

Setelah mempertahankan kerusi Parlimen Setiawangsa pada 2022 dan Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim dibentuk, Nik Nazmi dilantik menjadi Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

Nik Nazmi banyak menulis dan telah menulis beberapa buah buku Bahasa Melayu dan Inggeris.

Seorang peminat bola sepak – beliau menyokong Kuala Lumpur City FC dan Liverpool. Beliau pernah bekerja sebagai seorang ‘match steward’ di Stamford Bridge ketika belajar di London. Beliau merupakan pengasas dan penaung Setiawangsa Rangers FC.

Beliau berkahwin dengan Noor Farah dan mempunyai seorang anak, Nik Ilhan.