Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sudah pun berakhir. Kini bukan lagi masa untuk berpolitik. Kerajaan baharu pun telah dibentuk dan sekarang masa untuk bekerja.
Semua pihak dinasihatkan terutama ahli politik agar berhenti bercakap tentang politik kerana itu bukan perkara penting untuk dibincangkan buat masa ini. Berhenti mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dan ancaman yang boleh menimbulkan keresahan rakyat.
Rakyat telah pun membuat keputusan dalam PRU-15 yang lalu. Saya pasti mereka tidak mahu lagi bercakap mengenai politik. Ada yang asyik berpolitik tetapi tiada hasilnya, bagaikan ‘Tin Kosong’, berbunyi kuat tetapi tiada berisi.
Rakyat mahu semua pemimpin politik menumpukan usaha untuk memulihkan ekonomi dan kehidupan rakyat yang terkesan akibat pandemik. Inilah masanya untuk Malaysia, khususnya pemimpin politik terus bergerak ke depan mencari jalan lebih baik buat rakyat dan negara.