Jawapan Pertanyaan Lisan Mengenai Intensif Untuk Kereta Elektrik Dan Hibrid

Soalan:

Nik Nazmi Nik Ahmad [Setiawangsa] minta Menteri Alam Sekitar dan Air menyatakan senarai kesemua insentif-insentif
yang diberikan Kerajaan kepada kereta elektrik dan hibrid untuk
mengurangkan emisi karbon.

Jawapan:

Tuan Yang di-Pertua,

1. Berdasarkan laporan International Energy Agency (IEA) pada 2018 berkenaan CO2 Emissions from Fuel Combustion, jumlah pelepasan karbon daripada pembakaran bahan api untuk semua sektor di Malaysia dilaporkan sebanyak 216.2 juta tan.

Sektor pengangkutan adalah penyumbang kedua terbesar iaitu 29% dengan perlepasan karbon sebanyak 62.8 juta tan, manakala sektor pengangkutan darat menyumbang sebanyak 60.9 juta tan iaitu sekitar 97% daripada jumlah pelepasan karbon dari sektor pengangkutan di Malaysia.

2. Susulan itu, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melalui
agensinya iaitu Malaysian Green Technology Corporation and Climate Change Centre (MGTC) telah membangunkan Low Carbon Mobility Blueprint and Action Plan (LCMB) serta menjalankan program-program demonstrasi untuk meningkatkan kesedaran awam berkaitan mobiliti rendah karbon terutamanya kenderaan elektrik. LCMB ini dibangunkan selaras dengan Dasar Pengangkutan Negara dan Dasar Automotif
Nasional (NAP) 2020.

3. Pada masa ini, kerajaan menawarkan insentif secara customised
bagi aktiviti pemasangan atau pengilangan tempatan kenderaan cekap penggunaan tenaga (Energy Efficient Vehicle – EEV) termasuk jenis elektrik dan hibrid selaras dengan NAP 2020.

4. Bagi insentif cukai langsung:

a. Syarikat-syarikat yang melabur bagi menjalankan aktiviti
pemasangan atau pengilangan kenderaan-kenderaan hibrid dan
elektrik atau komponen bagi kenderaan tersebut layak untuk
dipertimbangkan insentif berikut:

i. Pengecualian Cukai Pendapatan melalui Galakan Taraf
Perintis dengan pengecualian cukai sebanyak 70% atau
100% ke atas pendapatan berkanun masing-masing bagi
tempoh lima atau sepuluh tahun; atau

ii. Pengecualian Cukai Pendapatan Bersamaan Elaun Cukai
Pelaburan sebanyak 60% atau 100% ke atas perbelanjaan
modal layak yang dilakukan masing-masing dalam tempoh
lima atau sepuluh tahun dari tarikh perbelanjaan modal
layak pertama.

Elaun ini boleh ditolak sehingga 100%
daripada pendapatan berkanun bagi setiap tahun taksiran.

b. Syarikat-syarikat yang melabur bagi menjalankan perkhidmatan
teknologi hijau (green services) yang melibatkan kenderaan
elektrik (electric vehicle – EV) seperti pemasangan,
penyelenggaraan, pembaikan peralatan pengecasan EV,
infrastruktur dan stesen pengecasan EV, operasi stesen
pengecasan dan Mainternance, Repair & Overhaul (MRO) EV
juga layak untuk dipertimbangkan insentif seperti berikut:

a) Pengecualian Cukai Pendapatan sebanyak 70% ke atas
pendapatan berkanun bagi tempoh tiga tahun bermula dari
tahun taksiran invois pertama yang berkaitan dengan
perkhidmatan teknologi hijau tersebut.

5. Bagi insentif cukai tidak langsung, pengecualian/pengurangan
duti import dan duti eksais ke atas EEV termasuk kenderaan elektrik dan hibrid layak dipertimbangkan mengikut tahap strategik pelaburan termasuk nilai pelaburan, jumlah pengeluaran, pemindahan teknologi, aktiviti nilai tambah tempatan dan program eksport.

6. Selain itu, kerajaan juga turut memperkenalkan Green Technology Financing Scheme (GTFS 2.0), iaitu pembiayaan dengan rebat faedah sebanyak 2% dan jaminan kerajaan sebanyak 60% ke atas projek hijau termasuk sektor pengangkutan. Jumlah peruntukkan bagi skim GTFS 2.0 yang ditawarkan adalah sebanyak RM 2 billion mulai 2019 hingga 2020.

7. Infrastruktur pengecas kenderaan elektrik dengan kos fi
penggunaan yang minimum kepada pengguna juga telah dibangunkan oleh MGTC.

Sekian, terima kasih

Jawapan Pertanyaan Lisan Bilangan Pembinaan Rumah PPR, Kos Rendah Dan Mampu Milik 2015-2020

Soalan:

Nik Nazmi Nik Ahmad [Setiawangsa] minta Menteri Wilayah Persekutuan menyatakan bilangan pembinaan rumah PPR,
kos rendah, Rumawip, Residensi Wilayah dan mampu milik di Kuala
Lumpur setiap tahun dari 2015-2020.

Jawapan:

Tuan Yang Di Pertua,

Untuk makluman Yang Berhormat Setiawangsa, Jumlah unit rumah
bagi Program Perumahan Rakyat (PPR) di Kuala Lumpur sejak
diperkenalkan sehingga Ogos 2020 adalah sebanyak 38,395 unit.

Bagi program Perumahan Awam (PA) di Kuala Lumpur pula, jumlah unit yang tersedia sejak diperkenalkan sehingga Ogos 2020 adalah sebanyak 23,614 unit. Manakala program perumahan mampu milik Residensi Wilayah (dulu dikenali sebagai RUMAWIP), telah menyediakan sejumlah 54,479 unit rumah di Kuala Lumpur semenjak tahun 2014.

Pihak Kementerian Wilayah Persekutuan juga akan melaksanakan
program perumahan mampu milik baharu iaitu Residensi Prihatin bagi membantu golongan berpendapatan rendah B40 untuk memiliki sendiri di Wilayah Persekutuan.

Sekian, terima kasih.

Input KeAdilan & PH Dalam Rundingan Belanjawan 2021

Sejak mendapat maklumat pertemuan rundingan Belanjawan 2021 antara Menteri Kewangan dan Pakatan Harapan, saya telah dijemput untuk memberi input kepada pasukan KEADILAN dan Pakatan Harapan, dan hadir pada rundingan yang diadakan pada petang tadi.

Delegasi termasuk Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu mewakili DAP dan AMANAH; manakala pasukan KEADILAN diketuai Saifuddin Nasution dan terdiri daripada Wong Chen, Akmal Nasir dan saya sendiri.

Antara cadangan utama Pakatan Harapan adalah:

1. Meningkatkan peruntukkan Kementerian Kesihatan untuk Covid-19 dan penyakit tidak berjangkit (NCD)

2. Memperkasa perlindungan sosial, jaringan keselamatan dan pembayaran kebajikan kepada golongan berisiko dan penganggur dengan meningkatkan bantuan kebajikan kepada RM1,000

3. Pelanjutan moratorium

4. Subsidi upah diteruskan dan mewujudkan 600,000 pekerjaan dengan menyediakan insentif kepada majikan dan pekerja

5. Peningkatan perbelanjaan pendidikan untuk memastikan kelangsungan pendidikan

6. Pelaburan dalam projek-projek infrastruktur kritikal termasuk Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) dan projek air

Dalam perkara 5 – iaitu isu pendidikan kami menekankan keperluan simpanan atau repositori kurikulum untuk memastikan kelangsungan pendidikan. Saya juga menyuarakan kepentingan guru-guru interim ditambah bagi sekolah-sekolah yang memerlukan guru yang lebih ramai.

Sejak era Kerajaan Pakatan Harapan saya membangkitkan keperluan mengambil bilangan guru interim lebih ramai dan saya percaya situasi Covid hari ini menuntut keperluan guru yang lebih ramai terutamanya untuk melaksanakan penjarakkan fizikal di sekolah. Matlamat akhir tentulah untuk meminimakan impak Covid kepada pelajar hari ini.

Penguasaan Bahasa Inggeris Hanya Satu Daripada Cabaran Graduan Bumiputera

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan baru-baru ini berkata penguasaan bahasa Inggeris yang lemah adalah sebab utama graduan Bumiputera sukar mendapatkan pekerjaan di sektor swasta.

Ini bukan dakwaan baharu, Shamsuddin pernah mengemukakan hujah yang sama untuk menjawab persoalan yang hampir sama pada tahun 2018.

Saya tidak menafikan bahawa penguasaan bahasa Inggeris adalah kemahiran penting yang diperlukan oleh semua rakyat Malaysia. Ia berharga dan mempunyai kepentingan tersendiri. Saya juga tidak menafikan bahawa ini adalah masalah yang dihadapi oleh kebanyakan graduan Malaysia – tanpa mengira bangsa atau agama.

Namun, ia hanyalah salah satu daripada masalah yang kita hadapai. Masalah penguasaan bahasa Inggeris mungkin isu yang besar, tetapi sekali lagi saya tegaskan, itu hanya satu daripada pelbagai masalah yang ada.

Ia amat berbahaya untuk mengambil pendekatan simplistik dalam isu yang kompleks, lebih-lebih lagi menyalahkan mereka yang menjadi mangsa keadaan.

Hakikatnya pasaran buruh di Malaysia menjadi lebih mencabar sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Keadaan mencabar ini kemungkinan akan ditambah dengan kemelesetan ekonomi yang akibat pandemik Covid-19.

Walaupun pekerjaan masih wujud, tetapi jika tidak ada gaji yang baik, atau lebih tepatnya, jika pekerja tidak diberikan peluang untuk berkembang, hanya buruh migran yang murah yang akan mengambil peluang pekerjaan seperti itu.

Anda tidak boleh meminta pekerja menerima pekerjaan dengan gaji rendah yang akhirnya menyebabkan mereka tidak mampu menyimpan dan membina keluarga.

Kajian akademik seperti “Degrees of Discrimination: Race and Graduate Hire in Malaysia” pada tahun 2016 oleh Dr Muhammed Abdul Khalid dan Dr Lee Hwok Aun telah menunjukkan bahawa terdapat isu diskriminasi sektor swasta terhadap graduan Bumiputera.

Shamsuddin turut mengatakan hal yang kontradik dengan dirinya sendiri ketika dia dilaporkan berkata: “Tidak perlu takut atau malu kerana jika mereka bertambah baik, mereka akan mendapat manfaat dari itu. Syarikat kemudian dapat mengajar mereka kemahiran lain.”

Bagaimana graduan Bumiputera seharusnya memperoleh kemahiran di tempat kerja sedangkan mereka tidak akan mendapat pekerjaan kerana isu Bahasa Inggeris? Saya tidak mengatakan bahasa Inggeris tidak penting atau harus diabaikan.

Adakah majikan wajib mengambil pekerja yang tiada kelebihan langsung? Sudah tentu tidak.

Hujah yang ingin saya kemukakan ialah terdapat perbezaan perspektif mengenai isu pengangguran siswazah Bumiputera, selain hanya memakai hujah kemahiran berbahasa Inggeris yang lemah.

Perkara yang sama dapat dinyatakan untuk cabaran yang dihadapi graduan dari semua kaum di Malaysia. Menyelesaikan dilema ini memerlukan penyelesaian menyeluruh — termasuk merombak sistem pendidikan kita, memastikan pertumbuhan gaji yang adil dan memberi insentif kepada syarikat untuk terus meningkatkan serta mengembangkan tenaga kerja mereka untuk meningkatkan produktiviti.

Semua ini akan terus berlaku sekiranya kita masih mempunya naratif tanggungjawab hanya terletak di bahu pekerja untuk memperbaiki diri tanpa bantuan daripada pihak kerajaan atau swasta.

Hal ini tidak realistik dan akan merugikan semua pihak – termasuk pemilik perniagaan dalam tempoh masa panjang. Oleh itu, pendirian MEF umpama sedang berjalan ke lembah curam sambil menutup mata. Cuma ia bukanlah satu kenyataan yang mengejutkan, mereka selalu mencari jalan untuk menyalahkan pekerja berbanding menghadapi masalah sebenar.

Adalah sangat malang jika kerajaan saat ini memandang serius idea-idea yang salah dan berbahaya — terutamanya jika ia mempengaruhi dasar-dasar kerajaan yang penting yang sangat diperlukan untuk mengatasi masalah pengangguran yang semakin meruncing.

NIK NAZMI NIK AHMAD
JURUCAKAP PARLIMEN KEADILAN BAGI PENDIDIKAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA

Jawapan Pertanyaan Lisan Tentang Gaji Kehidupan Wajar (Living Wage)

Soalan:

Nik Nazmi Nik Ahmad [Setiawangsa] minta Perdana Menteri menyatakan tentang gaji kehidupan wajar (living wage):-

(a) apakah data kajian Bank Negara atau agensi Kerajaan lain kadar gaji kehidupan wajar mengikut geografi di Malaysia; dan

(b) adakah Kerajaan bersedia menimbang bayaran berbentuk elaun bagi memastikan penjawat awam menerima pendapatan setara dengan gaji kehidupan wajar di Lembah Kelang?

Jawapan:

Tuan Yang di-Pertua

1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, aspek kesejateran rakyat sentiasa menjadi agenda utama Kerajaan dalam usaha meningkatkan taraf sosioekonomi dan kualiti hidup setiap rakyat. Terdapat pelbagai indikator ekonomi boleh digunakan sebagai kayu ukur kepada pencapaian taraf sosioekonomi. Antara indicator statistik yang boleh digunakan adalah statistik isi rumah, ketaksamarataan, kemiskinan, statistik gaji dan upah dan lain-lain. Indikator ini merupakan antara proksi yang boleh digunakan untuk mengukur tingkat kesejateran isi rumah.

2. DOSM mengeluarkan statistik utama lain terutamanya yang berkaitan dengan pendapatan isi rumah. Statistik ini diperoleh melalui Survei Pendapatan Isi Rumah (HIS) yang dilaksanakan dengan kekerapan dua kali bagi setiap lima tahun.

3. Tujuan utama survei ini adalah untuk mengumpul maklumat pola tunuran pendapatan isi rumah dan mengenal pasti golongan isi rumah miskin. HIS merupakan survei secara pensampelan berkebarangkalian yang meliputi negeri, daerah pentadbiran dan strata (bandar/luar bandar).

4. Berdasarkan Survei Pendapatan Isirumah 2019, pendapatan isi rumah kasar bulanan penengah meningkat pada kadar 3.9 peratus setahun kepada RM5,873 berbanding RM5,228 (2016). Manakala pendapatan isi rumah purata meningkat pada kadar yang lebih tinggi iaitu 4.2 peratus setahun.

5. Salah satu indikator lain yang juga penting dalam menilai taraf sosioekonomi rakyat adalah melalui Survei Gaji dan Upah (SGU). Survei ini mengumpul maklumat berkaitan gaji dan upah bulanan pekerja bergaji daripada pekerjaan utama. Berdasarkan survei ini, penengah dan purata gaji dan upah bulanan bagi Malaysia pada tahun 2018 masing-masing ialah RM2,308 dan RM3,087.
6. Kerajaan sentiasa dari semasa ke semasa membuat kajian semakan elaun Perkhidmatan Awam secara keseluruhan berdasarkan prinsip-prinsip tertentu. Dalam melaksanakan kajian semakan elaun, pertimbangan dan perhatian secara berhati-hati perlu diberikan mengambil kira kemampuan kewangan Kerajaan kerana pelaksanaannya secara langsung memberi implikasi kepada perbelanjaan mengurus yang tinggi.

7. Selain dibayar gaji berdasarkan jadual gaji yang berkuat kuasa, penjawat awam juga menerima imbuhan tetap dan pelbagai jenis elaun berdasarkan kepada kriteria-kriteria tertentu termasuklah kos sara hidup.

8. Antara elaun yang diberikan berasaskan kriteria kos sara hidup di mana komponen utama kos sara hidup seperti makanan, sewaan dan pengangkutan ialah Bayaran Imbuhan Sara Hidup (BISH) yang dibayar pada kadar RM150 hingga RM350 sebulan mengikut kumpulan perkhidmatan dan kawasan yang telah ditetapkan. Semakan kenaikan kadar terakhir bagi BISH juga telah dilaksanakan Kerajaan pada 1 Januari 2020.

Sekian, terima kasih.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi)