Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kerajaan China Wajib Hentikan Penindasan Keatas Komunity Islam Uyghur

Terdapat beberapa laporan media antarabangsa yang mendakwa bahawa seramai sejuta orang Islam, kebanyakannya daripada komuniti Uyghur sedang ditahan di kem tahanan China. Ini adalah sebahagian daripada dakwaan bahawa orang Uyghur dan golongan lain di Wilayah Autonomi Xinjiang Uyghur (XUAR) telah tertakluk kepada “pengawasan dan penahanan massa” sistematik oleh kerajaan China.

Pada awalnya, ini disasarkan kepada golongan yang dikatakan ‘pelampau’ Uyghur, namun laporan media juga mendakwa bahawa terdapat individu yang dipenjarakan hanya kerana dilihat mengamalkan ajaran Islam.

Majalah antarabangsa the Atlantic pula menyatakan bahawa individu di dalam kem tahanan ini—yang pihak berkuasa mendakwa hanya merupakan ‘sekolah vokasional’ untuk ‘penjenayah’ telah tertakluk kepada layanan teruk, termasuk “…dipaksa murtad dari Islam, mengutuk ajaran Islam yang diamalkan diri sendiri dan tahanan lain, dan menyanyi lagu propaganda Parti Komunis selama berjam-jam setiap hari… dipaksa makan daging babi dan minum minuman keras serta laporan penyeksaan dan kematian.”

Laporan tersebut juga menyatakan bahawa orang Uyghur yang dihantar untuk “pendidikan semula” telah dilayan seolah-olah kepercayaan agama mereka merupakan satu penyakit mental yang hanya boleh dipulihkan melalui layanan kasar. Tuduhan ini sememangnya tidak boleh diterima jika benar, dan merupakan jenayah kemanusiaan.

Kerajaan China wajib melepaskan individu-individu tersebut dengan segera dan menghentikan aktiviti penindasannya di Wilayah Autonomi Xinjiang Uyghur. Selain itu, kerajaan China juga harus komited untuk menghormati kebebasan agama dan kebudayaan di wilayah itu serta menghukum pesalah laku yang mencabul hak asasi manusia.

Jawatankuasa Penghapusan Diskriminasi Kaum PBB telah menggesa China menghentikan tindakan ini serta-merta.

Saya menggesa Kerajaan Malaysia, negara anggota ASEAN dan pertubuhan antarabangsa lain untuk menekan kerajaan China supaya tindakan penindasan seperti yang berlaku di Xinjiang dihentikan.

Ini merupakan satu lagi tragedi di Asia yang kita tidak boleh pandang remeh.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA PEMUDA HARAPAN
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA