Tanggal 31 Ogos 2018 adalah Hari Merdeka kita yang ke-61, yang menandakan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. 16 September pula hari Malaysia ke-55, ketika kita meraikan kelahiran negara kita.
Mengibarkan Jalur Gemilang tidak sepatutnya bergantung kepada apakah perasaan kita kepada keadaan politik negara dan pimpinan yang ada. Yang paling penting adalah bendera yang kita kibarkan di dalam hati dan minda kita.
Namun sudah tentu sambutan tahun 2018 lebih istimewa kerana buat pertama kalinya di bawah Kerajaan Persekutuan yang baru.
Sudah tentu kita berbangga dengan pencapaian negara setakat ini. Tetapi perjalanan selepas ini juga masih jauh.
Reformasi institusi politik mesti diteruskan, ekonomi mesti dijadikan lebih saksama untuk rakyat dan perpaduan dipertingkatkan.
Jurang antara wilayah Semenanjung, Sabah dan Sarawak; Pantai Barat dan Pantai Timur Semenanjung; masyarakat Orang Asal dan seluruh negara, mesti diatasi. Begitu juga jurang antara dan sesama kaum di Malaysia.
Kebebasan dan kepelbagaian bukanlah janggal, tetapi sebahagian warisan Malaysia.
Hanya dengan itu kita boleh merealisasikan kata-kata keramat pejuang kemerdekaan kita, Allahyarham Dr Burhanuddin al-Helmy:
“Di atas robohan Kota Melaka,
Kita dirikan jiwa merdeka.
Bersatu-padulah segenap baka,
Membela hak keadilan pusaka.”
NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA PEMUDA PAKATAN HARAPAN
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA