Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Fokus Kepada Pekerjaan

Artikel ini dipaparkan di Sinar Harian, 2 Julai 2018

http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/nik-nazmi/fokus-kepada-pekerjaan-1.851410

DEWAN Rakyat baharu Malaysia baharu akan mengangkat sumpah pada 16 Julai 2018. Sebagai Ahli Parlimen Setiawangsa, salah satu keutamaan saya adalah: pekerjaan, pekerjaan, pekerjaan.

Keperluan yang mendesak ini tidak cukup ditekankan. Salah satu sebabnya, manifesto Pakatan Harapan telah berjanji untuk mewujudkan satu juta pekerjaan berkualiti dalam tempoh lima tahun (termasuk 200,000 untuk Sabah dan Sarawak).

Kadar pengangguran Malaysia berada pada 3.3 peratus. Ini agak rendah, tetapi ini bukanlah satu perkara yang patut kita raikan apabila kita mempertimbangkan laporan Bank Negara Mac 2017 yang mendapati bahawa kadar pengangguran belia dalam tahun 2015 berada pada sekitar 10.7 peratus – dengan 15.3 peratus dalam kalangan belia dengan pendidikan tinggi yang tidak mempunyai pekerjaan.

Lebih membimbangkan, laporan yang sama mendapati bahawa dari tahun 2011 hingga 2017, bilangan pekerjaan berkemahiran rendah yang diwujudkan telah meningkat dua kali ganda kepada 16 peratus daripada 8 peratus dalam tahun 2002-2010. Manakala pekerjaan berkemahiran tinggi menyusut kepada 37 peratus daripada 45 peratus dalam tempoh masa yang sama.

Pendidikan dan gaji

Sebanyak 70 peratus daripada tenaga kerja Malaysia mempunyai tahap pendidikan yang rendah (SPM dan bawah) dan oleh itu dikecualikan daripada mendapat pekerjaan yang dibayar gaji lebih baik. Sesungguhnya, 70.4 peratus pekerjaan di Malaysia adalah dalam kalangan sembilan sektor yang menawarkan gaji median kurang daripada RM1,700 sebulan.

Pada tahun 2013, gaji median dan gaji purata di Malaysia adalah RM1,500 dan RM2,052 masing-masing. Menjelang tahun 2017, masing-masing meningkat kepada RM2,160 (naik 44 peratus) dan RM2,880 (naik 40.35 peratus). Sebaliknya, produktiviti buruh pada tahun 2013 adalah RM59,622 dan meningkat kepada RM78,218 (naik 31.12 peratus) pada tahun 2016.

Sesungguhnya, produktiviti buruh antara tahun 2015 dan 2016 meningkat sebanyak 3.5 peratus berbanding dengan pertumbuhan gaji bulanan median dan purata, masing-masing sebanyak 6.2 peratus dan 6.3 peratus dalam tempoh masa yang sama.

Kita sememangnya boleh melakukan yang lebih baik lagi. Isu-isu ini tentunya bukanlah perkara baharu yang dibincangkan oleh pihak umum.

Isu berkaitan pekerjaan

Sememangnya, kerajaan baharu Pakatan Harapan mempunyai sebuah senarai yang panjang tentang isu dasar yang berkait dengan pekerjaan – secara langsung mahupun tidak langsung – untuk ditangani. Antaranya, termasuk:

1. Bagaimanakah kita mengubah sistem pendidikan kita untuk memenuhi Revolusi Perindustrian Keempat? Bagaimanakah kita mengajar kemahiran penting untuk masa depan seperti pengekodan, Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), kemahiran insaniah dan menyelesaikan masalah secara betul—kepada semua kanak-kanak Malaysia, yang kaya dan miskin—tanpa membuang elemen keseronokan dalam pembelajaran?

2. Apakah yang boleh dilakukan untuk melatih semula graduan yang menganggur buat jangka masa panjang, termasuk pekerja muda berkemahiran rendah sedia ada yang kerjaya mereka sudah terbantut?

Apakah yang boleh dilakukan untuk menangani masalah hutang belia yang berterusan?

3. Bagaimanakah kita memastikan pekerjaan teknikal dan vokasional bukan sahaja menawarkan gaji yang lumayan, tetapi juga diberikan status sosial lebih tinggi daripada status sekarang?

Dalam hal ini, pembentukan Jawatankuasa Pemberdayaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah seliaan Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar ialah satu langkah ke arah yang betul.

4. Bagaimanakah kita menangani amalan diskriminasi, menggalakkan keseimbangan kerjaya dan kehidupan serta keadaan tempat kerja lebih baik tanpa mengganggu kelangsungan perniagaan-perniagaan – terutamanya perusahaan kecil dan sederhana – dengan proses rumit yang berlebihan?

Bagaimanakah kita menghapuskan halangan untuk kemajuan bagi kaum wanita dari segi aspek gaji?

5. Bagaimanakah kita menggalakkan pelaburan asing yang mampu mewujudkan pekerjaan berkualiti tinggi tanpa menjejaskan kepentingan negara?

6. Bagaimanakah kita mengurangkan pergantungan kita pada buruh asing tanpa mengambil langkah-langkah bersifat nasionalis melampau atau perkauman?

Bagaimanakah kita dapat melindungi pekerja asing di Malaysia dengan lebih baik?

7. Bagaimanakah kita menguruskan gaji minimum untuk memastikan ia mengambil kira kepentingan kedua-kedua pekerja dan majikan?

8. Bagaimanakah kita mereformasi, menyatukan atau memperbaiki badan sedia ada seperti Majlis Perundingan Gaji Negara, Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) dan TalentCorp Malaysia?

9. Tanpa regulasi yang berlebihan, bagaimanakah kita melindungi hak dan penggiat kreatif, pekerja ‘freelance’ dan pekerja dalam ekonomi ‘gig’?

10. Bagaimanakah kita memastikan solusi yang dicadangkan bagi masalah-masalah ini tidak semata-mata menjadi alat untuk politik naungan?

Inisiatif menangani

Jelas sekali, mewujudkan pekerjaan yang baik dan produktif bagi rakyat Malaysia bukanlah tanggungjawab eksklusif bagi mana-mana satu kementerian atau agensi.Perkara ini bukan sahaja melibatkan dasar ekonomi dan sumber manusia kita, tetapi juga bagaimana kita mendekati pendidikan, penguatkuasaan undang-undang, isu sosial dan geopolitik.

Saya yakin bahawa kerajaan baharu kita mempunyai rancangan dan inisiatif untuk menangani isu-isu ini. Rakyat Malaysia harus yakin bahawa kami di Parlimen bukan sahaja akan menyokong, tetapi juga meneliti dan mengawasi usaha-usaha ini secara terperinci.

Seperti yang saya sebutkan, penciptaan pekerjaan dan latihan kemahiran – terutamanya bagi golongan muda Malaysia – tidak boleh menjadi mangsa kepada pengamal politik naungan.

Malah, cabaran utama untuk maju ke hadapan ialah keazaman politik. Kerajaan dan Parlimen baharu harus menentang tekanan daripada kepentingan peribadi yang berlawanan dengan pembaharuan penting atas sebab-sebab tertentu – yang amat jelas.

Tetapi Pakatan Harapan juga harus berusaha untuk mengelakkan, atau, lebih baik, menyelesaikan konflik bidang kuasa dengan cepat dan menyeluruh termasuk perbezaan ideologi mengenai bagaimana untuk mendekati soal-soal dasar. Perkara ini tidak mudah, tetapi harus dilakukan. Komunikasi sentiasa penting.

Satu perkara yang boleh dilakukan adalah untuk kerajaan menubuhkan pasukan petugas intra-kerajaan untuk penciptaan pekerjaan – untuk merancang, menyelaras dan melaksanakan inisiatif pendidikan, penciptaan pekerjaan dan latihan kemahiran yang relevan yang dilaksanakan oleh pelbagai kementerian dan agensi.

Pengawasan terhadap pasukan petugas itu juga boleh disediakan dengan pewujudan satu Jawatankuasa Pilihan Khas untuk Pekerjaan Parlimen, yang semestinya akan mendapat maklum balas dan pandangan daripada kedua-dua industri dan kelompok masyarakat umum.

Eksekutifnya juga tentunya akan berunding dengan badan perundangan, perniagaan-perniagaan dan badan bukan kerajaan mengenai hal ini secara kerap. Kita mesti fokus terhadap apa yang ramai rakyat Malaysia perlukan: pekerjaan, pekerjaan, pekerjaan.

Nik Nazmi Nik Ahmad ialah Ketua Pemuda Pakatan Harapan, Ketua Angkatan Muda Keadilan dan Ahli Parlimen Setiawangsa. Beliau ialah mantan Exco Kerajaan Negeri Selangor dan telah menulis beberapa buah buku dalam bahasa Melayu dan Inggeris