Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Najib Tak Faham Kenapa Rakyat Marah GST

Kenyataan Perdana Menteri, Najib Razak, baru-baru ini berkenaan GST adalah bukti bahawa dia dan Kerajaan BN yang dipimpinnya tidak berpijak bunyi yang nyata dan gagal untuk memahami cabaran serta kesusahan yang dihadapi oleh rakyat.

Menurut kenyataan yang dibuat dan dilaporkan pihak media, dia menyatakan bahawa rakyat Malaysia sepatutnya sudah sesuaikan diri dengan GST, bahawa harga barang kini sudah stabil.

Apa yang lebih membingungkan adalah, di acara yang sama di Kota Kinabalu, beliau turut mengumumkan harga barangan yang dijual sempena Program Jualan Sentuhan Rakyat (PJSR) adalah murah, dan ia ” komitmen kerajaan untuk memastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan harga barang”.

Jadi apakah realiti yang perlu kita sesuaikan diri ini? Bahawa harga barang meningkat dan rakyat sebenarnya terbeban? Dulu sebelum GST dilaksanakan, Kerajaan berjanji bahawa harga barangan tidak akan meningkat, tetapi kini kita lihat kesan yang sebaliknya.

BN seringkali memperlekehkan realiti sebenar yang dihadapi oleh rakyat, tetapi pada masa yang sama cuba mengkaburi sesetengah masyarakat dengan menaburkan barang percuma, atau subsidi, tanpa betul-betul berusaha mencari solusi kepada bebanan kos sara hidup yang kian meningkat.

Pakatan Harapan tetap pendirian bahawa pelaksanaan GST tanpa mengambil kira faktor seperti gaji mendatar, peningkatan harga barangan dan kos-kos berkaitan adalah satu penganiayaan kepada rakyat.

GST haruslah disemak semula, dan Pakatan Harapan telah tetapkan di dalam manifesto kami untuk menghapuskan kadar GST sedia ada apabila kita berjaya peroleh Putrajaya.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA PEMUDA HARAPAN
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN