Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Isu Jurang Kebolehpasaran Graduan Amat Membimbangkan

Laporan terkini kajian pengesanan graduan oleh Kajian Perubahan untuk Rakyat (KPRU) yang menyentuh kebolehpasaran graduan amatlah membimbangkan.

Menurut kajian tersebut, kebanyakan graduan yang tidak bekerja adalah daripada keluarga berpendapatan rendah, atau daripada negeri-negeri termiskin.

Malah, laporan itu juga mendapati, universiti-universiti yang mempunyai kadar graduan menganggur tertinggi juga adalah daripada universiti di negeri-negeri yang sama.

Laporan ini amatlah merisaukan kerana ia membuktikan juga bahawa negara ini mempunyai permasalahan yang genting di dalam kesenjangan pendapatan, dan ia memberi kesan yang besar kepada rakyat, terutamanya anak-anak muda.

Sebelum ini antara 1960an-1990an pendidikan menjadi sumber mobiliti sosial, yang membolehkan rakyat miskin termasuk dari luar bandar menjadi kelas menengah, namun situasi ini tidak berlaku pada hari ini.

Inilah sebabnya Pakatan Harapan menetapkan beberapa teras dasar yang bertujuan mempertingkatkan kualiti kehidupan rakyat terutamanya untuk golongan berpendapatan rendah.

Antara tawaran manifesto Pakatan Harapan adalah “Berkongsi kekayaan negara secara bersasar” sama ada warga Bumiputera dan semua rakyat Malaysia yang pelbagai kaum dan agama, termasuklah golongan yang memerlukan di kalangan kaum India dan Orang Asal dan memastikan bahawa hanya mereka yang layak sahaja mendapat bantuan kerajaan.

Kami juga menawarkan untuk “Meringankan beban hidup yang ditanggung oleh anak muda” dengan mewujudkan sejuta peluang pekerjaan berkualiti tinggi yang bersesuaian dengan kelayakan anak muda. Penekanan khusus akan diberikan kepada pekerjaan di Sabah dan Sarawak untuk mengurangkan keperluan anak-anak Sabah dan Sarawak berhijrah.

Kerajaan Pakatan Harapan akan mengusahakan agar mobiliti graduan dimasukkan sebagai salah satu daripada agenda Komuniti Ekonomi ASEAN agar membolehkan graduan Malaysia meneroka peluang pekerjaan di negara-negara ASEAN yang lain.

Pakatan Harapan juga berjanji untuk “Menubuhkan Suruhanjaya Peluang Pekerjaan Saksama” bertujuan untuk menghapuskan amalan pengambilan pekerja yang tidak adil dan diskriminasi.

Isu kadar kemiskinan juga akan ditangani dengan janji “Meningkatkan pendapatan rakyat terbanyak”, menaikkan kadar gaji minimum kepada RM1,500 sebulan di seluruh negara dengan semakan kadar setiap 2 tahun. Pada masa yang sama, dengan yuran pendidikan percuma, ia akan membantu rakyat untuk memperoleh ijazah tanpa dibebani hutang. Bagi peminjam PTPTN sedia ada, pembayaran semula hanya akan bermula apabila gaji mencapai RM4,000 sekaligus meningkatkan kuasa beli graduan bergaji rendah.

Sudah sedia maklum bahawa pada masa ini, rakyat terus dibebani oleh kos sara hidup yang tinggi dan hutang yang banyak, dan setiap janji di atas akan meringankan beban ini dan menggalakkan mobiliti sosial yang positif bagi setiap rakyat.

Pakatan Harapan mempunyai perancangan yang lengkap untuk menangani isu yang diperjelaskan melalui laporan KPRU tersebut, kerana terbukti pada masa ini Kerajaan BN telah gagal untuk menyelesaikan isu kemiskinan luar bandar dan akhirnya rakyat sendiri yang ketinggalan.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA PEMUDA HARAPAN
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN

Nik Nazmi ialah Ahli Parlimen Setiawangsa. Beliau juga Naib Presiden KEADILAN.

Alamat

Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Setiawangsa
3-1, Jalan Rampai Niaga 5, Rampai Business Park, Taman Sri Rampai, 53300 Kuala Lumpur, Malaysia.

Media Sosial

© Nik Nazmi Nik Ahmad. Hak Cipta Terpelihara.