- Setiawangsa menjunjung kasih atas Titah Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong sewaktu pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen Keempat Belas. Buat kali pertama dalam sejarah Negara Malaysia telah berlaku penukaran kuasa sejak kemerdekaan Malaysia pada tahun 1957.
- Keprihatinan Tuanku terhadap rakyat Malaysia amatlah dihargai, dan menjadi pembakar semangat kepada Kerajaan baru yang diberi mandat oleh rakyat untuk membina semula negara, dan menangani cabaran-cabaran mendatang demi kesejahteraan rakyat dan negara.
- Tanggungjawab kami jelas sebagai wakil rakyat untuk mendengar masalah yang dihadapi oleh rakyat Malaysia, mencari penyelesaian kepada permasalahan dan isu serta melaksanakan inisiatif yang mengembalikan kecemerlangan negara ini. Ini adalah tanggungjawab dan amanah yang besar.
- Saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakyat Malaysia khususnya anak muda kerana sudi memberi peluang kepada Pakatan Harapan untuk mengambil alih tampuk pimpinan negara. Ini merupakan lembaran baru untuk Malaysia, untuk barisan kerajaan dan pembangkang, dan untuk rakyatnya.
YB Tuan Yang Dipertua,
Isu Malnutritisi & Miskin Bandar yang kian berleluasa di sekitar Kuala Lumpur
- Yang Di-Pertuan Agung di dalam titahnya menggesa kerajaan, pihak swasta dan rakyat untuk bekerjasama terutama dalam memperbaiki ekonomi rakyat yang masih terpinggir.
- Isu ini sememangnya antara perkara yang saya akan terus tekankan sehingga kita jumpa jalan penyelesaian. Menurut Laporan World Bank Malaysia Economic Monitor 2017, kajian terhadap perbelanjaan isi rumah menunjukkan kesenjangan yang jelas, di mana isi rumah yang paling kurang berkemampuan membelanjakan hampir 40 peratus pendapatan untuk makanan, berbanding 25 peratus bagi golongan yang berpendapatan tinggi.
- Dalam pada itu, kita juga telah mengambil maklum laporan UNICEF yang dibentang sejak awal tahun ini tentang kadar malnutrisi yang tinggi dalam kalangan miskin bandar, terutama yang duduk di kawasan perumahan PPR.
- Kadar inflasi yang meninggi juga tidak membantu dari segi pengurangan kos sara hidup. Malah langkah kerajaan untuk mengurangkan kadar GST sehingga kosong peratus turut tidak memberi kesan yang secukupnya dari sudut menurunkan harga barangan. Dalam hal ini, saya menyarankan pihak kerajaan untuk memantau dan mengenalpasti kaedah terbaik untuk memastikan harga barangan tidak dimanipulasi oleh mana-mana pihak. Cadangan pihak kerajaan menerusi Menteri Perdagangan Dalan Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk mengkaji semula sistem AP untuk barangan diharapkan dapat dilaksanakan untuk membantu mengurangkan harga barangan.
- Tetapi ini sahaja tidak cukup untuk menangani isu kemiskinan bandar. Saya harap pihak kerajaan boleh memberi lebih fokus untuk menetapkan struktur polisi berbentuk jangka masa panjang berkenaan pendidikan, jaring keselamatan social (social safety net), kesihatan, penjagaan kanak-kanak (childcare), dan sebagainya agar mereka yang berpendapatan rendah dan terpinggir boleh melalui mobiliti sosial yang lebih positif.
- Pada masa yang sama, golongan miskin bandar ini mestilah diberi peluang untuk menambahbaik kebolehan, menggilap potensi dan bakat, seperti kemahiran TVET dan perniagaan, agar mereka berpeluang mendapat manfaat ekonomi yang lebih baik dan juga membimbing mereka keluar daripada golongan miskin.
Penubuhan Majlis Seni untuk melindungi kebebasan dan kepentingan komuniti seni
- Dalam membincangkan golongan komuniti yang terpinggir, saya juga terpanggil untuk membangkitkan isu industri seni tanahair telah lama terbiar akibat penyelewangan wang geran yang membantutkan pembangunan industri seni tempatan.
- Kebajikan penggiat industri juga seringkali diabaikan, dengan pembayaran yang sudah lama tidak meningkat dan kebanyakan masanya pihak studio mengambil kesempatan dengan menetapkan agihan bayaran yang rendah. Hal ini menyebabkan pendapatan golongan penggiat seni tidak menentu.
- Industri seni juga terlalu banyak persatuan perwakilan yang menyesakkan industri namun tidak sedikit membantu komuniti seni kerana tidak mempunyai kesepakatan, malah ia juga terikat dengan politik kepartian serta mengalakkan budaya ampu.
- Penubuhan Majlis Seni yang diwakili pakar-pakar industri diharapkan mampu memainkan peranan yang lebih baik dalam melindungi kebebasan serta kepentingan penggiat seni.
- Artis pada masa ini perlu hidup sendiri, berdikari dan tidak mempunyai sebarang jaring keselamatan sosial (social safety net). Hal ini perlu diteliti lagi, termasuklah hal-hal pendidikan dan latihan hidup mereka. Contoh seperti Korea dan Thailand, kita perlu lihat industri seni ini sebagai satu industri yang mampu menyumbang kepada ekonomi negara dan memperkenalkan seni budaya negara ke peringkat antarabangsa
Reformasi Kerajaan Tempatan di Kuala Lumpur
- Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agung juga mengalu-alukan langkah kerajaan untuk meningkatkan integriti, tadbir urus dan prinsip kedaulatan undang-undang. Di dalam hal ini, tiada yang lebih perlu diutamakan daripada menjulang prinsip demokrasi yang diamalkan di negara ini.
- Saya ingin menyentuh mengenai pilihanraya kerajaan tempatan yang dijanjikan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk laksanakan dalam masa tiga tahun. Saya amat berharap agar perkara ini boleh dipercepatkan di kawasan Kuala Lumpur.
- Penambahbaikan tadbir urus wilayah Kuala Lumpur dan peningkatan integriti yang didambakan oleh Yang Di-Pertuan Agung tidak akan berlaku dengan sempurna sekiranya rakyat Kuala Lumpur tidak diberi peluang yang sama di negeri lain, membuang undi dan memberi mandat kepada siapa yang mereka rasa layak untuk mengurus tadbir urusan tempatan. Rakyat Wilayah Persekutuan kini hanya mempunyai satu undi berbanding negeri-negeri lain yang mempunyai undi peringkat pusat dan negeri.
- Objektif pewujudan pilihanraya kerajaan tempatan adalah untuk membolehkan rakyat tempatan diberi peluang untuk menentukan wakil rakyat yang terbaik di semua peringkat pentadbiran, dan meningkatkan kebertanggungjawaban pihak kerajaan tempatan.
- Penduduk Kuala Lumpur seringkali diabaikan dari sudut demokrasi kepimpinan dan tidak memperoleh tahap penglibatan masyarakat yang memuaskan dalam semua hal tadbir urus sama ada dari sudut pembangunan, perancangan bandar dan sebagainya. Suara rakyat Kuala Lumpur yang sepatutnya dijulang prinsip demokrasi sering ditenggelamkan pula oleh birokrasi, jadi saya merayu kepada Kerajaan agar membenarkan proses pemerkasaan demokrasi ini berlaku secepat mungkin di wilayah Kuala Lumpur.
- Setiawangsa juga ingin meminta pihak Kerajaan dan DBKL segera mewartakan Rancangan Tempatan Kuala Lumpur. Sekian lama masalah tidak mewartakan rancangan tempatan ini menyebabkan pembangunan Kuala Lumpur khususnya di Parlimen Setiawangsa tidak seimbang, dengan begitu banyak pembangunan perumahan kepadatan tinggi yang memberi tekanan kepada kemudahan infrastruktur termasuk trafik setempat.
- Isu penyelenggaraan Projek Perumahan Rakyat terutamanya di kawasan Setiawangsa seperti PPR Kg. Baru Air Panas, PPR Seri Semarak, PPR Desa Rejang dan PPR Sg Bonus harus diberi perhatian serius. Kini penduduk berhadapan masalah lif yang sentiasa rosak dan keadaan yang tidak bersih. Kita mahu persekitaran PPR juga berada di dalam keadaan baik.
Pemeliharaan Persekitaran
- Setiawangsa juga ingin mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Pakatan Harapan yang telah mengambil satu langkah positif dengan menetapkan satu kementerian yang menyelia hal perubahan iklim, yang seperti semua sedia maklum, merupakan satu isu peringkat global yang tidak boleh diabaikan.
- Yang Di-Pertuan Agung turut mencabar pihak Kerajaan untuk menggubal dasar, strategi dan kerangka perundangan bagi mendepani revolusi industri 4.0. Saya juga berpendapat sudah tiba masanya Malaysia melihat ke arah masa depan yang berpandukan pembangunan mampan di mana masa generasi masa kini wajib memulihara sumber untuk generasi akan datang.
- Era revolusi industri 4.0 membayangkan satu era pembangunan yang pesat berteraskan teknologi. Tetapi ia tidak bermaksud masa depan tersebut tidak boleh dibangunkan dengan berhemah dan mementingkan pemeliharaan persekitaran.
- Pakatan Harapan telah berjanji di dalam manifesto Pilihanraya untuk mengimbangi pembangunan ekonomi dengan pemeliharaan alam sekitar. Di peringkat antarabangsa, Malaysia telah memberi komitmen kepada Aichi Target of the Convention of Biological Diversity (CBD) dan Sustainable Development Goals (SDGs) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN), untuk mengurus kepelbagaian biology (biological diversity). Malaysia juga mempunyai Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2016-2025.
- Tetapi beberapa perkara harus diperhalusi; contohnya Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan Akta Perhutanan Negara 1984, dan beberapa undang-undang lain harus dikaji semula agar lebih konsisten dan tidak bercanggah antara satu sama lain.
- Kerajaan juga perlu memberikan peruntukan lebih untuk menyokong usaha pengurusan kepelbagaian biologi dengan lebih baik. Ia bukan sahaja akan memberi kelebihan dari sudut menjamin pemuliharaan alam sekitar mengikut piawaian antarabangsa, tetapi kita juga boleh lihat dari sudut pulangan kepada kerajaan melalui ‘eco-tourism’ atau pelancongan berasaskan alam semula jadi – seperti taman negara, taman perlindungan haiwan liar, taman marin, dan sebagainya – yang banyak bergantung kepada pengurusan yang baik.
- Saya mencadangkan satu agenda pembangunan mampan diwujudkan yang disokong oleh satu majlis antara kementerian untuk menetapkan hala tuju sedemikian. Majlis ini juga perlu diberi mandat untuk memperkasakan lagi usaha penguatkuasaan untuk memelihara biodiversity, alam sekitar dan sumber alam.
- Jika kita lihat usaha negara barat di dalam hal ini seperti Sweden, Switzerland dan Belanda misalnya, hal pembangunan teknologi dan penjagaan persekitaran bukan sahaja dilihat dari sudut penjagaan kebersihan dan pengurusan sampah, tetapi kita harus mempunyai perancangan yang lebih padu; iaitu “Green living” antaranya dengan penggalakkan budaya hidup yang lebih mesra alam, kitaran semula sisa pejal dan pengeluaran tenaga melalui sumber tenaga yang boleh diperbaharui (renewable energy).
- Kita juga harus mempergiatkan lagi usaha untuk menggalakkan kaji selidik dan inovasi terhadap teknologi persekitaran, dan menyuburkan lapangan yang membolehkan syarikat-syarikat teknologi hijau untuk lebih maju di Malaysia.
Pemansuhan SOSMA, BTN, AUKU, Akta Hasutan dan Akta Perhimpunan Aman
- Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agung turut menegaskan berulang kali keperluan menjaga keharmonian negara, disamping menjaga kedaulatan undang-undang dan memperkasa prinsip demokrasi negara.
- Ia menjadi kewajiban bagi Kerajaan Pakatan Harapan untuk meminda dan memansuhkan undang-undang dan program yang zalim dan menekan rakyat, selain melanggar prinsip hak asasi serta kebabasan individu.
- Undang-undang seperti SOSMA, AUKU, Akta Hasutan serta Akta Perhimpunan Aman pernah disalahguna pada masa lalu dan tidak menepati prinsip Perlembagaan Persekutuan yang menjadi tulang belakang demokrasi berparlimen negara ini.
- Jangan anggap pemansuhan SOSMA sebagai bermakna kita bertoleransi di dalam hal keganasan, yang mesti diperangi sepenuhnya. Masalah SOSMA adalah ramai individu tidak bersalah, ataupun yang melakukan kesalahan kecil dihukum secara ‘disproportionate’. Kini mereka yang ditahan tidak dibenarkan ikatjamin, malah wujud tuduhan serius berlaku penyeksaan di dalam tahanan.
- Antara panji perjuangan Pakatan Harapan sebelum memperoleh mandat rakyat adalah pemansuhan undang-undang ini dan kita wajib meneruskan perjuangan ini sehingga berjaya.
- Saya ambil positif kenyataan YAB Langkawi dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Sepang bahawa Kerajaan komited memansuhkan SOSMA.
- Selain itu program seperti Biro Tata Negara mestilah ditamatkan dengan segera kerana ia tidak memberi sebarang manfaat kepada negara, malah perbelanjaan yang digunakan merupakan satu pembaziran. Hakikatnya BTN telah digunakan untuk mempengaruhi sesetengah lapisan masyarakat bukan untuk meningkatkan semangat patriotisme, tetapi untuk meragui golongan lain, membenci dan memecahbelah.
39. Sepatutnya perbelanjaan yang dikhususkan untuk program seperti Biro Tata Negara dan PLKN boleh disalurkan semula kepada perbelanjaan pendidikan, yang juga boleh menerapkan semangat-semangat patriotik secara semulajadi. Masyarakat negara ini sudah semakin matang, boleh berfikir untuk diri sendiri dan tidak perlu melalui proses indoktrinasi yang mungkin terbuka untuk disalahguna.
Memartabatkan Anggota Keselamatan
- Anggota dan veteran tentera memainkan peranan penting terhadap memelihara kedaulatan negara. Pengorbanan darah, keringat dan air mata mesti dihargai oleh kerajaan.
- Langkah awal yang boleh diambil oleh kerajaan adalah untuk mengemaskinikan penggajian anggota tentera. Elaun-elaun yang masih belum dibayar mesti dilunaskan segera. Pencen minima pula mesti ditetapkan pada kadar RM1,000 sebulan. Setiawangsa juga ingin mengusulkan elaun khas untuk isteri tentera sebanyak RM300 sebulan bagi menghargai sumbangan mereka menjaga keluarga terutamanya ketika suami bertugas di luar.
- Bagi jangka masa sederhana, Setiawangsa menggesa rumah yang dibina menerusi skim Satu Anggota Satu Rumah (SASAR) dijual pada harga lebih kompetitif. Akta Veteran 2012 harus ditambahbaik manakala angkatan tentera dinyahpolitikkan.
Reformasi Institusi Parlimen
- Reformasi Institusi Parlimen antara teras tawaran Manifesto Pakatan Harapan. Kita tidak mahu situasi seperti dahulu ketika 1MDB tidak boleh dibahaskan di dalam Dewan Rakyat atau PAC tidak dapat menjalankan tugasnya dengan baik.
- Antara komitmen Pakatan Harapan adalah penubuhan Jawatankuasa Terpilih untuk setiap Kementerian untuk membolehkan Parlimen memantau Kementerian-Kementerian yang ada. Amalan ini diperkenalkan di Selangor dahulu di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat / Pakatan Harapan dan telah diperkenalkan di Parlimen-Parlimen Komanwel seperti United Kingdom dan Australia.
- Setiawangsa menggesa agar penubuhan Jawatankuasa Terpilih ini dipercepatkan untuk membolehkan Parlimen memainkan peranan semak dan imbang (check and balance) yang terbaik.
Saya mewakili rakyat mendukung Titah Ucapan Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong ketika upacara perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Keempat Belas.
Setiawangsa menyokong.
Nik Nazmi Nik Ahmad, Ahli Parlimen Setiawangsa