Sejak pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, beberapa pemimpin Pakatan Harapan mendesak supaya pakej ini dibincangkan di Parlimen.
Banyak perkara yang perlu dibahaskan, terutamanya dari sudut sumber wang dan pelaksanaan pakej ekonomi ini. Sebarang belanjawan tambahan perlu mendapat kelulusan Parlimen.
Semalam, Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi jaminan tujuan Pakatan Harapan mendesak diadakan sidang Parlimen tergempar bukanlah untuk melakukan undi tidak percaya kepada kerajaan.
Pada masa krisis seperti ini, keutamaan Pakatan Harapan adalah
kelangsungan hidup rakyat.
Parlimen penting untuk sebarang kelulusan belanjawan tambahan yang lebih besar dari suntikan fiskal sedia ada sebanyak RM22 bilion, selain memastikan proses semak dan imbang terhadap langkah-langkah yang diambil kerajaan.
Banyak kritikan telah dikemukakan berkenaan Pakej Rangsangan Ekonomi, rata-rata pengkritik mengharapkan kerajaan berbelanja dengan lebih banyak untuk menampung kesan wabak Covid-19.
Ini adalah waktu perang, setiap masa yang kita bazirkan boleh menyebabkan kematian. Parlimen perlu bersidang untuk berbincang dan meluluskan belanjawan yang dapat menolong kebanyakan rakyat yang sedang resah dan berada dalam kesusahan.
Justeru saya menyokong sidang Parlimen dipercepatkan demi kepentingan semua rakyat. Tidak ada sebab Muhyiddin menolaknya dengan jaminan yang diberikan oleh Anwar bahawa fokus adalah terhadap respons terhadap kesan kesihatan dan ekonomi Covid-19 kepada negara.
NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA SETIAUSAHA PENGELOLA KEADILAN
AHLI MAJLIS PIMPINAN PUSAT KEADILAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA