Menteri Luar dan Menteri Pertahanan mesti mengambil sikap tegas terhadap provokasi China di zon ekonomi eksklusif (EEZ) Malaysia di Laut China Selatan.
Insiden ini telah dilaporkan secara meluas oleh media antarabangsa dan tempatan, tanpa ada kenyataan rasmi dari Perdana Menteri atau kedua-dua kementerian yang saya sebutkan tadi.
Menurut Harian Metro, Laksamana (M) Dato’ Mohd Zubil bin Mat Som, Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia mengesahkan pada 16 April, kapal penyelidikan / tinjauan China Haiyang Dizhi 8 telah memasuki EEZ Malaysia.
Keesokan harinya, Haiyang Dizhi 8 dikesan mengikuti kapal gerudi yang dikendalikan Petronas, West Capella, berada dalam had 200 batu nautika dari EEZ kita.
Ada masanya kapal itu diapit oleh lebih dari 10 kapal China, termasuk kapal milik militia maritim dan Pengawal Pantai China.
China nampaknya menggunakan pandemik Covid-19 sebagai peluang untuk mengukuhkan tuntutan mereka di Laut China Selatan. Tentera Laut Diraja Malaysia sedang sibuk berurusan dengan pelarian Rohingya di Selat Melaka.
Ini bukan kali pertama kita menghadapi konfrontasi dari China di Laut China Selatan. Pada Januari tahun ini, Malaysia terbabit dalam konfrontasi dengan kapal tentera China berhampiran dua blok luar pesisir di kawasan Petronas menggerudi minyak dan gas. Sebuah kapal Pengawal Pantai China menghampiri dalam jarak 0.3 batu nautika dari pelantar Petronas sebelum beredar.
China bertekad untuk mengambil langkah ketenteraan terhadap mana-mana negara yang ingin mengembangkan sumber tenaga baharu di kawasan tersebut.
Bulan lalu, tentera laut China melakukan latihan tempur dengan armada kapal selam, jet pejuang dan kapal peluru berpandu bergerak pantas di Laut China Selatan.
Awal bulan ini, ketegangan meningkat setelah kapal tentera China merempuh dan menenggelamkan sebuah kapal nelayan Vietnam berhampiran Kepulauan Paracel yang dipertikaikan, kejadian kedua dalam masa kurang dari setahun.
Vietnam membuat bantahan rasmi kepada kerajaan China setelah kapal nelayan itu tenggelam akibat perlanggaran. China mendakwa kapal Vietnam itu menangkap ikan secara haram di perairan China dan tenggelam setelah diserang oleh kapal China itu.
Tahun lalu, sebuah kapal Pengawal Pantai China menghabiskan berminggu-minggu di perairan berhampiran pelantar minyak di sebuah blok minyak Vietnam, yang dikendalikan oleh Rosneft Rusia. Sementara itu, kapal yang sama yang mengikuti kapal Petronas, Haiyang Dizhi 8 disyaki melakukan tinjauan eksplorasi minyak di EEZ Vietnam.
Pada awal Februari tahun ini, China sekali lagi mengirim kapal nelayan ke Kepulauan Natuna Indonesia.
Kapal-kapal nelayan, yang diapit oleh kapal Pengawal Pantai China telah memasuki perairan Indonesia, menelusuri perairan perikanan di sekitar Kepulauan Natuna dengan kapal perindustrian dalam beberapa kejadian.
Tanpa respon dari kita, China berkemungkinan mengekalkan armada tinjauannya di perairan yang dipertikaikan dan menghalang usaha penggerudian tenaga di perairan kita untuk jangka panjang.
Dalam hal ini, armada Haiyang Dizhi 8 dapat menghabiskan 2-3 bulan di perairan kita untuk tahun ini dengan menggunakan kem kententeraan mereka di Gugusan Semarang Peninjau (Kepulauan Spratly) bagi tujuan bekalan operasi.
Walaupun ada beberapa perselisihan di negara-negara ASEAN mengenai Laut China Selatan, perselisihan yang lebih besar adalah dengan China kerana ia menuntut Laut berdasarkan ‘nine-dash line’.
Pada tahun 2016, Mahkamah Timbang Tara Tetap di Den Haag menolak tuntutan China yang merujuk kepada ‘nine-dash line’ sebagai tidak berasas.
Dilaporkan pada 19 April, USS America berlayar menuju ke konfrontasi di antara Haiyang Dizhi 8 dan West Capella.
Saya berharap bahawa Kerajaan Malaysia dapat mengambil pendirian rasmi terhadap provokasi dari China untuk melindungi wilayah kita dan juga syarikat-syarikat yang beroperasi di sana. Kita juga harus segera bekerjasama dengan ASEAN untuk mencapai persetujuan bersama untuk menentang pencerobohan di Laut China Selatan.
NIK NAZMI NIK AHMAD
PENGERUSI, JAWATANKUASA PILIHAN KHAS PARLIMEN MENGENAI PERTAHANAN DAN HAL EHWAL DALAM NEGERI
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA