Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Perletakan Jawatan Ahli Lembaga Pengarah Khazanah

Keputusan Ahli Lembaga Pengarah Khazanah Nasional untuk meletak jawatan agar peralihan kuasa boleh dijalankan dengan lancar dan teratur di bawah kerajaan baru, walaupun dikesali, merupakan peluang untuk dana pelaburan strategik terkemuka Malaysia diberi nafas baru.

Kerajaan Pakatan Harapan haruslah mengambil langkah tangkas untuk memastikan Khazanah, dan GLC serta GLIC lain pada peringkat negeri dan persekutuan, kekal bebas dan dikendalikan secara professional dengan piawaian kebertanggungjawaban dan ketelusan yang tertinggi. Inilah janji kita di dalam Buku Harapan dan kita mestilah tegas dengan prinsip ini.

Ini adalah untuk memastikan perletakan jawaran beramai-ramai ahli lembaga pengarah dan eksekutif kanan GLC/GLIC serta badan korporat lain seperti yang kita saksikan beberapa bulan ini tidak berlaku lagi.

Kita mesti pastikan kepimpinan syarikat-syarilat ini kekal stabil kerana ianya amatlah penting untuk ekonomi Malaysia.

Kita juga perlulah iktiraf perubahan positif yang berlaku dibawah begitu banyak GLC atas seliaan kepimpinan Khazanah ini.

Matlamat kita adalah reformasi, bukan dendam.

GLC dan GLIC Malaysia perlu bangkit di bawah pentadbiran baru ini sebagai badan yang berdaya maju dari sudut komersil, dan bertanggungjawab sosial serta bebas campurtangan luar dalam urusan perniagaan.

Saya yakin objektif ini boleh dicapai.

Saya juga berharap kerajaan akan mendengar dan mengambilkira pandangan pihak berkepentingan apabila hendak memutuskan nasib GLC dan GLIC.

Apa yang paling penting setiap kali keputusan dibuat adalah agar kepentingan syarikat-syarikat ini dan kepentingan negara dijaga, berpandukan satu kerangka tadbir urus korporat yang kukuh.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA PEMUDA HARAPAN
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA