Jawatankuasa Terpilih Khas Bajet (Special Select Committee on Budget)

Minggu lepas pertemuan pertama Jawatankuasa Terpilih Khas Bajet (Special Select Committee on Budget) Parlimen Malaysia yang dipengurusikan Mustapa Mohamed (PH-Bersatu, Jeli)

Saya menganggotainya bersama-sama Dr. Tan Yee Kew (PH-KEADILAN, Wangsa Maju), Khoo Poay Tiong (PH-DAP, Kota Melaka), Kelvin Yii Lee Wuen (PH-DAP, Bandar Kuching), Khairy Jamaluddin (BN-UMNO, Rembau) dan Alexander Nanta Linggi (GPS-PBB, Kapit)

Ini adalah sebahagian dari enam Jawatankuasa Terpilih Khas Parlimen yang ditubuhkan selaras dengan komitmen manifesto Pakatan Harapan dan amalan demokrasi-demokrasi matang seperti di United Kingdom dan Australia.

Menerusi Jawatankuasa-Jawatankuasa ini, Ahli-Ahli Parlimen mempunyai lebih masa meneliti perundangan dan memantau eksekutif serta bekerjasama rentas parti yang kadangkala sukar dicapai di persidangan utama Parlimen.

Ketika Pakatan Rakyat mula memegang tampuk di Selangor termasuk ketika saya menjadi Timbalan Speaker DUN Selangor, kami memperkenalkan perubahan sama untuk memperkasakan DUN Selangor.

Tahniah Sahabat Saya, Halimey Calon Seri Setia

Tahniah saya ucapkan kepada sahabat saya, Halimey Abu Bakar yang dinamakan oleh Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon KEADILAN yang bertanding di atas tiket Pakatan Harapan di Seri Setia.

Halimey anak jati Seri Setia dan bersama KEADILAN sejak penubuhannya pada 1999. Apabila saya menyertai KEADILAN Kelana Jaya pada 2005, Halimey merupakan Ketua AMK Kelana Jaya.

Aktiviti pertama kami turun mengedar risalah di Pasar Tani Kelana Jaya. Zaman itu tak ramai bersama AMK mahupun Cabang tapi kami aktif anjurkan ceramah, dialog dan edar risalah. Malah AMK punya tabung lebih besar banding Cabang ketika itu kerana kami rajin anjurkan boling.

Beliau kemudian menjadi Ketua AMK Selangor dan banyak membantu ketika saya bertanding pada 2008. Selepas kemenangan itu beliau dinamakan sebagai Ahli Majlis MBPJ.

Dengan kerjasamanya banyak perubahan fizikal dilakukan di Zon 24 MBPJ: penyelesaian projek terbengkalai Villaria PJS 5, pembinaan masjid baru Kg Lindungan, perpindahan SJKT Seaport, pembinaan Tadika Rakyat dan Perpustakaan Komuniti di Kg Lindungan dan pembesaran dewan orang ramai.

Medan Selera di hadapan Kontena Nasional sedang dibesarkan. Rukun Tetangga PJS10 juga mempunyai kemudahan komuniti tersendiri.

Saya setuju banyak lagi perlu dilakukan untuk Seri Setia secara keseluruhan. Saya yakin Halimey sebagai anak tempatan dengan rekod ahli majlis yang baik mampu menjadi ADUN terbaik bersama-sama Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan untuk memikul tanggungjawab ini.

Undilah Halimey Abu Bakar, Calon Pakatan Harapan untuk Seri Setia.

Jangan lupa, kita pakai logo Pakatan Harapan buat pertama kali dan PRK Seri Setia dan Balakong ini!

Perasmian PJ Kita Community Library Kampung Lindungan

Di perasmian PJ Kita Community Library Kampung Lindungan oleh MB Selangor.

Sebelum menjadi wakil rakyat saya dan teman-teman mengasaskan tuisyen komuniti Mentari Project di Desa Mentari.

Selepas menjadi ADUN Seri Setia saya meneruskan agenda pendidikan sebagai agenda utama. Isu perpindahan SJKT Seaport ke Kg Lindungan diselesaikan manakala Tadika Rakyat Kg Lindungan dibina.

Kemudian saya meminta Selangor Public Library membina perpustakaan komuniti di Seri Setia.

Ditakdirkan saya menjadi EXCO Pendidikan Selangor dan sehingga kini Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor.

Akhirnya dengan kerjasama PPAS dan PJ City Council perpustakaan komuniti ini dibina di tapak dewan terabai yang menjadi lubuk masalah sosial di Kg Lindungan.

Tahniah dan terima kasih semua. Harap dijaga sebaiknya pelaburan besar untuk anak-anak kita ini.

Nik Nazmi Nik Ahmad
Ahli Parlimen Setiawangsa

Penutupan 5 Pasaraya Giant gambarkan realiti ekonomi Malaysia

Laporan berita yang menyatakan bahawa Pasaraya Giant akan menutup lima lagi pasaraya di sekitar Malaysia membuktikan sekali lagi bahawa ekonomi Malaysia bukanlah seindah yang digambarkan oleh Najib dan Kerajaan UMNO-Barisan Nasional.

Peningkatan KDNK negara dan sebagainya tidak memberi apa makna sekiranya perniagaan dan rakyat sendiri terus rasa tertekan dengan keadaan ekonomi yang kian meruncing akibat kegagalan pentadbiran Kerajaan.

Pengenalan cukai GST yang tidak teratur dan kejatuhan nilai ringgit sehingga mengakibatkan kenaikan harga barang jelas memberi kesan kepada peniaga dan juga pembeli yang semakin berkurangan kuasa membeli.

Apa akan jadi kepada pekerja Pasaraya Giant, dan ribuan pekerja perniagaan lain yang terlibat dengan mereka?

Apa yang terjadi kepada Giant hanyalah sebahagian daripada krisis yang melanda sektor runcit negara. Banyak kedai-kedai kecil dan sederhana serta pembekal-pembekal menjadi mangsa.

Ketidaktentuan masa depan mereka adalah akibat dasar Kerajaan BN yang gagal membela rakyat.

Pengumuman bajet oleh Perdana Menteri tempoh hari langsung tidak menyentuh isu-isu genting seperti ini, atau memberi solusi kepada masalah rakyat, malah hanya berperanan menjanjikan gula-gula sempena pilihanraya.

Najib dan BN tidak mampu memulihkan ekonomi negara sendiri, tetapi ada hati pula hendak membantu mengukuhkan ekonomi terbesar dunia, Amerika Syarikat.

Pemimpin yang tidak merasai realiti masyarakat seharusnya dipencenkan kerana mereka hanya berbuat sesuatu untuk kepentingan sendiri, sementara rakyat terus menderita.

Perutusan Deepavali 2017

Semoga perayaan Deepavali yang melambangkan kemenangan kebaikan atas kejahatan, keadilan atas kezaliman dapat terus memberi semangat kepada kita memperjuangkan pembaharuan di tanah air kita Malaysia.

Marilah kita sama-sama merapatkan ikatan perpaduan kita kerana Malaysia ini, kita yang punya. Biarlah semua rakyat mendapat tempat mereka di negara bertuah ini.

Saya ingin ambil kesempatan ini untuk mengucapkan Deepavali nal valthukal kepada semua penganut agama Hindu di Malaysia.

Adakah Nur Jazlan membaca laporan Bank Dunia sepenuhnya?

Bank Dunia baru menerbitkan laporan ‘Migrating to Opportunity: Overcoming Barriers to Labour Mobility in Southeast Asia’. Laporan ini melihat kepada penghijrahan pekerja antara negara-negara di Asia Tenggara.

Berikutan laporan itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Nur Jazlan Mohamed, mengumumkan bahawa sektor pembuatan berorientasikan eksport akan dibenarkan menggunakan pekerja asing sepenuhnya.

Sekiranya Nur Jazlan membaca laporan tersebut sepenuhnya, ia menyebut bahawa Malaysia juga perlu menjadikan sistem imigresen kita lebih peka terhadap keperluan ekonomi dan mengatasi masalah pendatang tidak formal.

Sektor pembuatan yang mendapat manfaat daripada pekerja asing juga sepatutnya boleh membuat pelaburan lebih besar dalam inovasi. Mengikut satu lagi laporan Bank Dunia, ‘Trouble in the Making: the Future of Manufacturing-Led Development’, di Thailand, bilangan robot industri pada 2015 adalah 14,902 sementara Malaysia adalah hanya 3,931 sementara Indonesia adalah 3,208.

Masalah utama kebanjiran pekerja asing di Malaysia juga adalah di sektor perkhidmatan yang memberikan nilai tambah yang rendah. Ini telah merencatkan kadar gaji dan upah di Malaysia yang menjadikan rakyat Malaysia khususnya generasi muda sebagai mangsa.

Pokoknya, semua pakar bersetuju bahawa pengurusan pekerja asing di negara kita perlu lebih tersasar dan selektif, yang sesuai dengan keperluan ekonomi. Sindrom ‘orang tengah’ telah merosakkan pengambilan pekerja asing.

Isu pekerja asing sepatutnya diuruskan oleh Kementerian Sumber Manusia, bukan Kementerian Dalam Negeri. Namun kerana untuk memastikan pihak-pihak yang rapat dengan UMNO terus untung dari sistem ini, maka ia diuruskan oleh Kementerian Dalam Negeri.