Kenyataan Najib Razak bahawa dia tahu sebenarnya GST akan meningkatkan harga barang membuktikan bahawa beliau dan Kerajaan UMNO Barisan Nasional telah menipu rakyat terang-terangan. Sebelum pelaksanaan GST, rakyat diberitahu bahawa cukai itu akan menurunkan harga barang tetapi kita semua tahu itu tidak benar. Kononnya GST perlu untuk menampung perbelanjaan kerajaan, tetapi apa yang kita nampak hanyalah GST digunakan untuk menutup hutang-hutang Kerajaan akibat penyelewangan yang melampau seperti kes 1MDB, LTAT dan Felda. Rakyat telah terbeban dengan pelaksanaan GST, hidup semakin meruncing. Sekarang tanpa segan silu Najib menyatakan bahawa melaksanakan GST adalah keputusan paling sukar. Jika mereka boleh menggunakan helah dengan kemunculan di TV, iklan di radio dan surat khabar untuk menyatakan GST tidak akan menaikkan harga, bagaimana kita hendak percaya bahawa jika Najib menang beliau tidak akan menaikkan kadar GST lagi? GST bukanlah satu-satunya janji yang mereka tidak tepati; bina sejuta rumah, turunkan harga kereta, naiktaraf pendidikan, pembinaan hospital, ini hanyalah antara beberapa janji yang dimungkiri. Selagi Barisan Nasional dan Najib memegang tampuk pimpinan negara, selagi itulah mereka akan terus menipu rakyat demi kepentingan sendiri. Cukup-cukuplah Barisan Nasional membebankan kita dan merosakkan Malaysia, sudah masa mereka ditolak sebulat suara oleh rakyat Malaysia. Esok tolak Barisan Nasional dan GST, dan kembalikan Malaysia yang gemilang dengan memilih Pakatan Harapan. NIK NAZMI NIK AHMAD |