Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Penggantian elaun pelatih perguruan dengan PTPTN bukti kegagalan Pentadbiran Najib

Beberapa hari lalu, terdapat 14 organisasi pendidikan tinggi telah menyerahkan memorandum di Parlimen untuk membantah pemotongan elaun sara diri dan perjalanan guru pelatih yang menjalani Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP) di Institut Pendidikan Guru (IPG).

Elaun yang ada pada hari ini pun sudah dikurangkan dari jumlah dahulu, tetapi kini hendak digantikan dengan pinjaman PTPTN pula.

Bantahan secara formal yang dilakukan di Parlimen ini menunjukkan kebuntuan mereka di dalam hal ini setelah pihak kerajaan terus tidak mengendahkan nasib para pendidik.

Sejak beberapa tahun ini pentadbiran Najib Razak terus memangsakan bahagian pendidikan dengan memotong pelbagai belanjawan sama ada di peringkat universiti, sekolah, pelajar dan kini para guru pula.

Dua tahun yang lalu saya ada menulis tentang keperluan untuk menaikkan gaji guru agar Malaysia setaraf dengan negara-negara lain yang mempunyai kualiti pendidikan yang disegani. Namun begitu apa yang berlaku sekarang adalah sebaliknya, dan keadaan semakin runcing untuk mereka.

Beberapa bulan yang lalu, Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi menyatakan bahawa sistem pendidikan negara ini memerlukan rombakan, dan ini disahut oleh menteri-menteri lain termasuklah Khairy Jamaluddin.

Adakah ini reformasi yang dimaksudkan? Adakah dengan menjadikan guru-guru kita semakin tidak keruan?

Sebarang reformasi pendidikan akan gagal sekiranya peranan guru terus diabaikan.

Sumbangan guru di dalam mendidik generasi masa depan di samping membangunkan negara adalah teramat besar dan pengorbanan mereka layak diberikan ganjaran yang setimpal.Saya gesa pihak kerajaan untuk menarik semula cadangan itu dan memberi guru pelatih elaun seperti yang telah dijanjikan. Jangan tambah membebankan mereka dengan hutang-hutang kerana kegagalan gejala rasuah dan pembaziran yang menular di dalam pentadbiran Najib.