YAYASAN SELANGOR – BANGUNAN KAMPUNG PANDAN
Permatang membangkitkan beberapa isu berkenaan Yayasan Selangor iaitu mengenai aset di Kampung Pandan dan Bukit Bintang.
Asrama Kg. Pandan Kuala Lumpur ditutup pada tahun 2013 atas beberapa sebab, antaranya pembangunan pesat kawasan persekitaran seperti stesen MRT, pembangunan komersil (kompleks IKEA) dan sebagainya yang menjadikan kawasan berkenaan tidak lagi kondusif untuk pusat pendidikan. Faktor keselamatan pelajar juga telah diambil kira sebelum keputusan penutupan asrama dibuat. Walau bagaimanapun, sejak tahun 2008, Yayasan Selangor telah meningkatkan perkhidmatan pendidikannya dengan menaja lebih ramai pelajar dan sejak tahun 2014 kita telah menaja lebih 5,000 pelajar dalam satu-satu tahun dalam pelbagai program pendidikan berbanding sebelum tahun 2008 yang hanya menaja lebih kurang 1,200 pelajar sahaja.
Berdasarkan faktor di atas, Yayasan Selangor telah memutuskan untuk memajukan kawasan tapak asrama berkenaan untuk mendapatkan lebih banyak pendapatan yang seterusnya akan digunakan untuk menaja lebih banyak program dan lebih ramai pelajar di seluruh Selangor.
Diakui proses pembangunan agak mengambil masa, walau bagaimanapun ianya dilakukan atas dasar untuk membuat pertimbangan yang paling menguntungkan Yayasan Selangor di masa hadapan.
Begitu juga dengan pembangunan semula Bangunan Yayasan Selangor di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur, beberapa peringkat dan fasa perancangan dan pertimbangan mengambil masa dan dilaksanakan secara berhati-hati. Kebetulan dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan, keadaan persekitaran di Jalan Bukit Bintang yang agak sibuk kerana pembinaan stesen MRT juga memberi impak dari segi perancangan pembangunan semula Bangunan ini.
Cadangan menaiktaraf bangunan sedang dibuat melalui program “Request for Proposal – RFP”. Cadangan tersebut menunggu keputusan Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Selangor. Sememangnya di bawah pentadbiran sebelum ini, bangunan tersebut dikosongkan, tetapi keputusan terkini sejak YAB Bukit Antarabangsa menjadi Menteri Besar membolehkan tingkat bawah telah disewa untuk kegunaan ‘retail’, bahagian ruang fasad bangunan disewa untuk paparan iklan ‘LED’, bahagian bumbung ‘roof top’ disewa untuk kegunaan menara telekomunikasi dan tempat letak kereta, Bangunan tersebut akan dinaiktaraf dan seterusnya akan dibuka untuk sewaan secara jangka panjang.
Pembangunan tanah di Kg. Pandan dan juga Bangunan Yayasan Selangor Bukit Bintang memang telah dimasukkan dalam Pelan Strategik Yayasan Selangor dan dalam proses pelaksanaan.
Mengenai Menara Yayasan Selangor di Petaling Jaya, kadar penyewaan kini adalah sebanyak 68.3%. Tambahan sebanyak 7.87% sedang dalam tawaran penyewaan. Dijangka sehingga akhir bulan April, peratus penyewaan mencapai 76.1%.
TADBIR URUS UNISEL
Permatang juga membangkitkan beberapa isu tadbir urus UNISEL.
Kerugian terkumpul UNISEL adalah sebanyak RM 125,819,853 yang mana kerugian ini dicatatkan sejak tahun 2008 sehingga kini. Punca utama peningkatan ke atas kerugian adalah disebabkan oleh kos penggajian dan kos operasi yang meningkat sejak tahun 2008 hingga 2015. Untuk melahirkan graduan yang berkualiti, pihak pengurusan UNISEL percaya bahawa pendidik dan penyampai ilmu di UNISEL juga perlulah yang berkualiti. Oleh itu, UNISEL adalah antara IPTS yang mempunyai pemegang PhD yang paling ramai dan berupaya mencorak bangsa yang berilmu sehingga menyebabkan peningkatan kos penggajian.
Walau bagaimanapun, kerugian ini semakin berkurangan berbanding dengan tahun-tahun sebelum 2016 yang mengalami kerugian besar. Pada tahun 2015 kerugian yang dialami adalah sebanyak RM 16,564,999. Manakala pada tahun 2016 di bawah pengurusan Presiden & Naib Canselor yang baharu draf audit bagi tahun 2016 melaporkan penurunan kerugian sebanyak 76% berbanding dengan tahun sebelumnya dengan kerugian hanyalah sebanyak RM 4,013,203.
Penurunan kerugian secara mendadak ini adalah berikutan pengurusan pentadbiran yang baru yang mengambil langkah-langkah penjimatan yang agresif dari segi kos penyelenggaraan, penstukturan semula perkhidmatan kesihatan, rasionalisasi fakulti dan pengurusan yang berkesan.
Liabiliti dan ekuiti terkumpul UNISEL adalah sebanyak RM 344,839,477 dengan jumlah liabiliti adalah RM 282,364,001. Majoriti liabiliti yang dicatatkan adalah hutang yang diwarisi dari semasa pemerintahan Kerajaan Barisan Nasional dan pinjaman bank BAIDS (Bai Bithaman Ajil Islamic Debt Securities). Kerajaan Negeri mengambil pendekatan proaktif dengan menyalurkan geran bagi melangsaikan hutang-hutang ini secara berkala bagi membolehkan UNISEL berdaya saing dan membantu mencapai kecemerlangan akademik.
Sebenarnya Permatang perlu sedar bahawa isu yang dibangkitkan sedikit sebanyak merupakan isu legasi yang diwariskan oleh Kerajaan Barisan Nasional kerana model Build Operate Transfer (BOT) yang menjadi amalan ketika itu. Saya berikan satu lagi contoh yang Permatang sendiri tak berani bangkitkan, berkenaan satu lagi IPT Selangor yang juga mengalami masalah kerana model BOT yang tempang.
Pada tahun 2007, sebuah syarikat bernama Redha Resources Sdn Bhd (RRSB) telah dianugerahkan kontrak untuk membina asrama dan pusat pelajar bagi menampung keperluan 6,000 pelajar KUIS. Perjanjian yang ditandatangani oleh Kerajaan Selangor pimpinan Dato’ Seri Khir Toyo pada masa itu menetapkan bahawa RRSB akan diberikan konsesi untuk membina dan menyewakan kembali kemudahan itu selama 33 tahun kepada KUIS.
RRSB ialah sebuah syarikat yang dikuasai oleh YB Permatang dan isteri, yang memiliki 57% pegangan saham di dalam RRSB. RRSB dengan sokongan Kerajaan Selangor di bawah Umno memperoleh pinjaman sebanyak RM125.8 juta di antara RRSB dan bank-bank pembiaya pada 3 Ogos 2007 untuk membiayai pembinaan asrama pelajar KUIS ini.
Kontrak pembinaan ini kemudiannya diberikan kepada Bina Puri Holdings Bhd untuk RM96.1 juta dengan RRSB hanyalah menjadi orang tengah. RRSB yang dimiliki ADUN Permatang ini telah dianugerahkan konsesi asrama pelajar KUIS oleh kerajaan Umno selama 33 tahun pada kadar tahunan RM15.4 juta setahun. Maka, bagi sepanjang tempoh 33 tahun, RRSB akan mendapat durian runtuh sebanyak RM508 juta sementara pengurusan KUIS terikat dengan konsesi berat sebelah yang membebankan pihak Universiti dan pelajar.
Ini adalah contoh bebanan yang terpaksa ditanggung oeh Kerajaan Negeri sekarang ini sama juga di UNISEL dengan pembangunan kampus Bestari Jaya yang begitu rapuh infrastruktur dan sentiasa perlu ditambah baik dengan perbelanjaan wang yang banyak.
Sebenarnya Naib Canselor Prof Dato’ Dr Redzuan Othman telah dipilih melalui temuduga dan saringan yang cukup ketat oleh satu jawatankuasa Gelintar (Search Committee) yang dianggotai wakil industri, akademik dalam dan luar UNISEL serta wakil kerajaan negeri. Perlantikan ini kemudian dipersetujui oleh Lembaga Pengarah Pendidikan Industri YS. Beliau mempunyai rekod cemerlang sebagai seorang ahli akademik dan pentadbir akademik. Pengalaman dan rekod cemerlang ini mampu dimanfaatkan sehingga berjaya menjadikan tahun 2016 sebagai tahun yang telah merubah imej UNISEL kepada yang lebih cemerlang.
Mulai tahun 2016 di bawah pengurusan baru UNISEL, Presiden & Naib Canselor UNISEL telah melaksanakan proses Transformasi UNISEL yang menghasilkan natijah berikut:
– Menaikkan gaji staf yang gaji tidak dinaikkan sejak 5 tahun yang lalu. Ini dapat dilaksanakan oleh kerana proses penjimatan yang dijalankan telah menunjukkan hasil yang memberangsangkan;
– Kenaikan pangkat telah dilaksanakan yang melibatkan pelbagai gred jawatan pada penghujung tahun 2016. Usaha ini yang tertangguh sejak 5 tahun lalu telah memberikan impak yang sangat positif kepada semangat bekerja staf UNISEL;
– Rasionalisasi fakulti dan penjimatan kos operasi yang memperbaiki kecemerlangan akademik dan kedudukan kewangan UNISEL;
– Memperkenalkan program Dermasiswa di mana pendidikan peringkat asasi di UNISEL disediakan secara percuma kepada mahasiswa.
Kerajaan Negeri juga menyokong penuh usaha ini, dan memberi komitmen dengan pelbagai bantuan termasuklah dalam bentuk geran dan sumbangan capex yang diumumkan Menteri Besar di dalam Belanjawan 2017.
Sijil UEC adalah sijil yang dikeluarkan oleh sekolah persendirian Cina sahaja . Ianya tidak diberi oleh UNISEL. Kita Kerajaan Negeri konsisten dalam hal ini sebagaimana dijanjikan dalam Manifesto 2013. Bukan seperti UMNO-BN, Sarawak iktiraf, pusat tak iktiraf. Menteri Persekutuan tak iktiraf, Pengerusi MARA nak iktiraf.
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah memberi kelulusan penggunaan kelayakan masuk UEC untuk kemasukan pelajar ke UNISEL pada tahun 2016. Memandangkan usaha ini masih baru, dan secara rekodnya, sememangnya bilangan pelajar Cina sangat rendah di UNISEL berbanding pelajar Bumiputera dan India, sebarang perubahan kemasukan ini akan mengambil masa. Tetapi UNISEL sedang giat memasarkan universiti kepada semua kelompok khususnya anak Selangor bagi meningkatkan bilangan mahasiswa.
Sehingga kini graduan UNISEL telah mencecah 29,924 dengan seramai 25,561 orang graduan dihasilkan dari tahun 2008 ke tahun 2016. Sambutan hangat diberikan oleh ibubapa dan pelajar dalam setiap pameran pendidikan yang dihadiri UNISEL membuktikan bahawa transformasi yang dijalankan oleh kepimpinan baharu UNISEL amat berkesan dan UNISEL kembali mendapat keyakinan masyarakat.
BANTUAN SEKOLAH
Sekinchan mencadangkan jumlah agihan Bantuan Sekolah Kerajaan Negeri Selangor kepada Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan sebanyak RM100,000.00 untuk setiap sekolah.
Jumlah peruntukan Bantuan Sekolah kepada Sekolah Mubaligh dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan telah di peruntukan sebanyak RM1 juta. Bantuan yang diberikan adalah bertujuan untuk penambahbaikan infrastruktur sekolah dan penyelenggaraan bangunan sekolah agar persekitaran pembelajaran selamat dan kondusif. Dari sudut jumlah keseluruhan, terdapat ima sekolah SMJK di sekitar Selangor dan 25 buah sekolah Mubaligh.
Dari aspek pelaksanaan, Jawatankuasa Tetap Pendidikan memutuskan agihan bantuan akan dilaksanakan berdasarkan permohonan. Seterusnya permohonan tersebut akan dibuat penilaian dan akhirnya akan ditentukan amaun bantuan yang sesuai bagi setiap permohonan berdasarkan keadaan sekolah. Ketetapan dasar ini adalah bagi memastikan agihan bantuan dapat dilakukan dengan adil.
SEKOLAH MENENGAH AGAMA / PROGRAM TUISYEN RAKYAT
Sri Serdang bertanya berkenaan bantuan Infrastruktur dan penambahan Sekolah Menengah Agama Persendirian.
Program Bantuan Sekolah merupakan program agihan bantuan infrastruktur kepada Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dan yang terbaru adalah Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan dan Sekolah Mubaligh. Objektif utama adalah untuk menyediakan persekitaran yang kondusif dan selamat kepada anak-anak.
Bagi kategori Sekolah Agama Rakyat,semua kategori Sekolah Agama adalah layak memohon seperti Sekolah Menengah Agama Persendirian, Sekolah Tahfiz, Sekolah Rendah Islam, Sekolah KAFA dan Pondok.
Pada 2017, Sekolah Agama Rakyat telah menerima peningkatan RM 3 juta daripada RM 6 juta menjadi RM 9 juta. Pemberian bantuan ini juga bergantung kepada permohonan yang diterima. Bagi tujuan penambahan Sekolah Menengah Agama Persendirian ia adalah di luar kawalan Kerajaan Negeri kerana Sekolah Menengah Persendirian ditubuhkan oleh pihak persendirian.
Sri Serdang juga mencadangkan pembayaran elaun KPMI dan guru diberikan sama seperti tarikh penerimaan gaji penjawat awam dan memberi pembayaran elaun selama 12 bulan.
Koordinator Pembangunan Modal Insan (KPMI) dilantik melalui Skim Perkhidmatan Singkat (SPS) atau lebih dikenali sebagai contract for service. Terdapat perbezaan antara lantikan secara SPS dengan Skim lantikan yang lain berdasarkan Garis Panduan yang diedarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam kepada semua jabatan bertarikh 30 April 2009.
Garis Panduan tersebut antara lain menyebut tentang status perkhidmatan SPS seperti berikut:
– Pelantikan tidak menjadikan individu tersebut sebagai seorang pegawai awam dan pelantikan SPS merupakan kontrak pembelian perkhidmatan daripada seseorang individu oleh kerajaan;
– Pelantikan ini tidak layak untuk dijadikan asas untuk menyokong permohonan supaya dilantik secara tetap, sementara atau kontrak (contract of service);
Merujuk kepada garis panduan pelantikan KPMI secara SPS itu, Jabatan tidak terikat untuk memastikan pembayaran elaun KPMI dan guru-guru mengikut gaji kakitangan awam Kerajaan Negeri Selangor.
Pembayaran elaun KPMI dan guru-guru akan dibuat selepas jabatan berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan melalui laporan yang dikemukakan secara bulanan.
Program Tuisyen Rakyat akan dimulakan di setiap kawasan Dewan Negeri bermula pada bulan Februari dan kelas akan berakhir pada bulan Oktober. Bagi pembayaran bulan November dan Disember ia dibuat kepada KPMI sahaja, memandangkan kerja-kerja promosi dan penyediaan kelas telah bermula untuk sesi tahun seterusnya.
Walaubagaimanapun, Kerajaan Negeri akan mengkaji sekiranya cadangan Seri Serdang itu boleh dilaksanakan.
WIFI SMART SELANGOR
Kampung Tunku bertanyakan berkenaan downtime Wifi Smart Selangor di kawasan DUN Kg Tunku yang telah mengalami downtime selama beberapa bulan.
Empat (4) daripada lima (5) hotspot Wifi Smart Selangor telah tergendala perkhidmatannya pada bulan November disebabkan pelaksanaan kerja-kerja menaiktaraf sistem WiFi Smart Selangor dan kembali beroperasi pada bulan Disember. Sementara itu, hotspot yang kelima di kawasan DUN Kg Tunku beroperasi dengan baik tanpa downtime.
Apakah langkah untuk memastikan data dari Wifi Selangorku ini boleh digunakan untuk kegunaan kerajaan negeri di bawah konsep Big Data?
Data penggunaan WSS boleh dimuat turun ke perisian tengah bagi tujuan pengumpulan data. Pengendalian big data dan analisa secara menyeluruh dan bersepadu akan dilaksanakan di bawah inisiatif Big Data Analytics dan Command and Control Centre Smart Selangor. Buat masa ini analisis asas penggunaan Wifi Smart Selangor dilaksanakan secara berterusan.
Pada masa ini keutamaan diberi kepada pemasangan semula dan penambahan hotspot Wifi Smart Selangor.
Ijok pula memaklumkan bahawa capaian wifi SmartSelangor di kawasannya perlahan (slow) termasuk di Pejabat DUN Ijok.
Pegawai sokongan teknikal Wifi Smart Selangor (WSS) telah pergi ke Pusat Khidmat Rakyat DUN Ijok pada bulan Disember 2016 untuk kerja-kerja penyelenggaraan sistem WSS. Adalah didapati bahawa AP di pusat tersebut telah diusik (‘tampered’) menyebabkan AP tersebut tidak dapat berfungsi. AP terbabit telahpun dikonfigurasikan semula dan kembali beroperasi sejak itu.
Untuk makluman, kelajuan setiap hotspot adalah di antara 8Mbps (“Megabits per second”) sehingga 30 Mbps bergantung kepada infrastruktur sambungan internet setempat iaitu samaada melalui kabel kuprum, gentian optik atau selular di mana jarak pancaran dan kelajuan internet adalah berbeza. Kelajuan WiFi Smart Selangor untuk setiap pengguna telah dihadkan kepada 1 Mbps (“Megabit per Second”) bagi setiap sesi penggunaan selama 30 minit. Sekiranya ramai pengguna menggunakan hotspot terbabit, akses dan kelajuan internet di hotspot tersebut akan terjejas. Pemantauan sentiasa dilakukan bagi mengenalpasti kawasan-kawasan hotspot yang perlu ditingkatkan kapasiti.
Selain itu, Dewan juga perlu ambil maklum bahawa proses penambahbaikan sedang dilaksanakan untuk memastikan pemasangan hotspot lebih seimbang di seluruh Negeri Selangor melalui pengagihan semula dan penambahan hotspot WiFi Smart Selangor, terutamanya di kawasan-kawasan luar bandar, dengan kelajuan yang lebih memuaskan.
PERPUSTAKAAN DAERAH KLANG
Selat Kelang membangkitkan keadaan Perpustakaan Daerah Klang yang uzur.
Perpustakaan Daerah Klang yang ada pada hari ini dibuka pada tahun 1974. Pihak Kerajaan akan mengkaji keperluan untuk menaiktarafnya sesuai dengan perkembangan zaman dan keperluan masyarakat hari ini.
Saya ingin mengucapkan penghargaan di atas kesemua ADUN-ADUN yang turut serta membahaskan portfolio pendidikan, pembangunan modal insan, sains, teknologi dan inovasi dalam perbahasan ucapan titah DYMM Tuanku kali ini.
/ Rujuk penyampaian ucapan sebenar untuk melihat ketepatan teks ini