Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Penglibatan guru dalam politik: Kenyataan Mahdzir bertentangan prinsip demokrasi

Beberapa hari yang lepas Menteri Pendidikan, Mahdzir Khalid, menyaran guru yang menghentam kerajaan untuk meletak jawatan. Susulan daripada itu beliau juga menyatakan bahawa beberapa orang guru sudah diberikan surat tunjuk sebab atas alasan mereka menaiki pentas politik pembangkang.

Ini sangat jelas menentang prinsip demokrasi yang sepatutnya diamalkan di dalam negara ini.

Seseorang guru itu sepatutnya diberikan kebebasan untuk memberi sokongan kepada mana-mana parti politik tanpa perlu risau akan dibuang kerja.

Jika benar guru menaiki pentas politik pembangkang selepas waktu kerja, adakah ia cukup untuk membuktikan bahawa guru tersebut juga telah gagal menjalankan tanggungjawab di waktu bekerja?

Jadi sebarang peraturan yang menjadi garis panduan kepada penjawat awam seperti Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 perlulah dibaca sebagai penetapan tanggungjawab, dan bukannya untuk menyekat hak kebebasan.

Pada masa yang sama perlu diingatkan di sini bahawa menteri tidak pula membangkitkan isu sekiranya guru atau sekolah melibatkan mana-mana komponen parti BN di dalam program sekolah.

Saya sendiri terima begitu banyak aduan dan keluhan sesetengah pihak yang tidak berasa senang apabila ketua cawangan UMNO, misal kata, menjadi tetamu jemputan khas untuk mesyuarat PIBG sekolah dan secara terang-terangan bercakap soal politik kepartian.

Sedangkan di Selangor saya sebagai Exco Pendidikan Negeri tidak langsung dibenarkan menjejak kaki di sekolah. Malah ada juga guru yang diberi amaran tindakan tatatertib sekiranya menjemput saya ke sekolah atau melibatkan sekolah dengan program pendidikan kerajaan negeri di kawasan sekolah.

Semua ini jelas menunjukkan bahawa BN sendiri yang mempolitikkan pendidikan dan menggunakan sekolah dan guru sebagai medan politik.

Saranan saya kepada menteri, hentilah mempolitikkan pendidikan, pulangkan hak-hak guru yang telah lama disekat dan tumpukan fokus untuk membangunkan mutu pendidikan negara.