Menurut laporan tersebut, Najib Razak menyatakan bahawa rakyat Malaysia yang memiliki tahap pendidikan rendah tidak akan memperoleh pekerjaan yang memberi pendapatan yang baik, dan kerajaan sedang cuba mempertingkatkan bilangan rakyat Malaysia yang mempunyai kelulusan lebih tinggi daripada SPM.
Saya mengalu-alukan usaha tersebut, namun begitu kenyataan Perdana Menteri ini secara keseluruhannya amatlah pelik. Bukankah ahli-ahli kabinet sebelum ini pernah bermegah dengan mendakwa bahawa Malaysia mempunyai antara sistem pendidikan terbaik di dunia?
Bagaimana kita boleh mendakwa bahawa kita antara yang terbaik sedangkan ramai ahli masyarakat yang hanya mempunyai kelulusan yang rendah?Keduanya, kenyataan Perdana Menteri juga tidak mencerminkan realiti sebenar yang seringkali dilaporkan oleh pihak media kebelakangan ini berkenaan kesusahan anak muda Malaysia untuk menyara diri dan mendapatkan gaji tetap—kebanyakan mereka juga adalah pelajar Universiti dan graduan baru.
Sememangnya keadaan ini—dengan masalah kewangan para graduan Malaysia terutamanya untuk membayar semula pinjaman pendidikan, serta peningkatan kos pengangkutan dan perumahan—jelas membuktikan bahawa orang yang berkelulusan tinggi tidak semestinya dijamin hidup senang.
Pada masa yang sama, keputusan kerajaan untuk membuat potongan besar ke atas bajet pendidikan negara serta mengurangkan jumlah penerima biasiswa pendidikan tinggi tidak bertepatan dengan aspirasi Perdana Menteri untuk mempertingkatkan bilangan rakyat berkelulusan tinggi.Oleh itu Perdana Menteri haruslah menjelaskan apa sebenarnya maksud kenyataan beliau dan bagaimana pula dengan tindakan-tindakan pihak kerajaan yang dilihat telah bercanggah dengan kenyataan tersebut.