Pengerusi Tetap, YB DS Presiden, YAB Timbalan Presiden, pimpinan, perwakilan dan pemerhati
- Generasi muda Malaysia dalam krisis. Anak-anak muda gusar dan berhadapan ketidaktentuan masa depan mereka – lebih dari mana-mana ketika dalam sejarah negara. Inilah yang saya dapati tiap-tiap kali bertemu dengan mereka.
- Mereka tidak tahu sama ada mereka mampu mendapatkan pekerjaan, rumah dan memulakan keluarga tanpa menanggung hutang keliling pinggang. Kejatuhan ekonomi global dan cabaran alam sekitar – semuanya cabaran-cabaran besar untuk generasi kami.
- Generasi muda memerlukan kepimpinan. Mereka memerlukan pemimpin-pemimpin yang mempunyai jawapan terhadap cabaran-cabaran ini. Mereka memerlukan pemimpin-pemimpin yang sanggup berkhidmat untuk mereka.
- Inilah yang mesti ditawarkan oleh AMK dan saudara-saudara kita di dalam Pakatan Harapan. Yang pastinya anak-anak muda tidak mahu mereka yang lebih berminat dengan agenda mereka sendiri. Jika itu yang kita pilih, kita pasti dibakulsampahkan mereka. Jangan kita habiskan masa dengan persoalan titek-bengek dan drama peribadi. Kita patut menabur bakti untuk rakyat. Inilah realiti sebenar yang harus kita hadapi.
- Tetapi saya ingin menyatakan dengan jelas kepada pengundi-pengundi muda Malaysia. Tiada gunanya anda mengharapkan UMNO-BN terutamanya pimpinan muda mereka. Mereka telah berkali-kali membuktikan bahawa mereka tidak mampu menegur kebangkrapan moral pimpinan utama mereka. Lihatlah kegagalan usaha Ketua Pemuda UMNO yang kononnya sederhana dan liberal.
- Beliau setia bersama Presiden Parti yang dibelenggu begitu banyak skandal dan kontroversi. Beliau gagal mengekang belenggu perkauman yang saban hari semakin serius di kalangan ahlinya. Beliau tidak menghentikan kemusnahan hak-hak asasi dan kebebasan politik yang ada di negara ini. Pokoknya beliau telah gagal. Dan beliau akan terus gagal kerana UMNO sudah tidak mampu berubah. Nasihat saya kepadanya, lebih baik fokus saja menjadi bintang televisyen!
- Tetapi jangan tersilap, UMNO juga kuat. Ia telah menguasai sepenuhnya kerajaan yang sedia ada menjadi jentera parti mereka. Ia akan kekal kuat dan kita tidak boleh mengandaikan kita akan menang hanya kerana kelemahan mereka.
- Kita mesti terus berada di barisan hadapan, di mana rakyat Malaysia memerlukan kita. Kita mesti terus berani, sama seperti himpunan-himpunan #KitaLawan dan Bersih 4. Tiada apa yang mustahil jika kita bersatu dan bergerak dengan sederap langkah.
- Kita mesti meraikan kemasukan tokoh-tokoh berpengalaman dan muda ke dalam parti kita sebagaimana berlaku pada tahun ini. Kita mesti terus menjadi khemah besar yang menghimpun pelbagai tokoh dan berada di jalur tengah arus perdana politik negara.
- Tokoh Indonesia Mohammad Hatta atau Bung Hatta ada memetik puisi Freidrich Von Schiller:
Satu abad besar telah lahir. Namun ia hanya menemukan generasi kerdil. (petikan penuh di dalam Bahasa Inggeris –Doubtless an epoch important has with the century risen; But the moment so great finds but a race of small worth)
- Justeru apa yang dipinta daripada kita bukanlah luar biasa, tetapi apa yang dipinta ke atas anak-anak muda seluruh dunia untuk menjadi generasi besar. Perpaduan. Disiplin. Kita diseru agar menjadi generasi besar demi tanah air dan rakyat kita.
- Kegagalan ekonomi Kerajaan BN – GST, kenaikan tol, pemotongan subsidi dan hutang PTPTN membebankan semua rakyat, khususnya generasi muda. Laporan Standard and Poors mendapati Malaysia mempunyai hutang peribadi tertinggi di kalangan 14 ekonomi Asia, yang kini mencecah 88 peratus daripada KDNK kita.
- Jabatan Insolvensi turut mendapati 5547 individu bawah 35 tahun menjadi muflis tahun lepas, dua kali berbanding 2005. Pada 2014 bilangan yang muflis bawah 25 tahun adalah 635, meningkat tiga kali berbanding tahun sebelumnya.
- Seluruh generasi muda Malaysia, sedang diheret oleh hutang. Kita mesti mencari jalan untuk melakukan sesuatu untuk mereka. Bukanlah tongkat yang dipinta, kerana kita juga tidak mahukan satu generasi yang bergantung terus dengan kerajaan juga.
- Kita harus memastikan kerajaan ini berkhidmat untuk semua rakyat Malaysia. Kita mesti memastikan kerajaan memacu pertumbuhan ekonomi dan menggalakkan inovasi, tanpa menjadi beban kepada rakyat. Kita mesti menunjukkan kepada rakyat Malaysia, terutamanya golongan muda, anda boleh berjaya dengan idea yang baik atau bekerja keras. Kita mesti melahirkan ekonomi “Know How” bukan ekonomi “Know Who”.
- Namun jangan kita sekali-kali lupakan aspek politik perjuangan kita. Jangan kita lupa Ketua Umum kita yang dipenjarakan di Sungai Buloh kerana beliau mengutamakan kebenaran dan kebebasan rakyat melebihi segala-galanya. Kita harus terus menuntut pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Apatah lagi pada hari ini di mana suaranya sebagai negarawan dan demokrat Muslim teramat penting.
- Kongres kali ini merupakan Kongres pertama tanpa Anwar sejak Kongres kita di sebuah tokong di Ipoh pada tahun 2004 sejuruh selepas beliau dibebaskan daripada kes fitnah pertama. Perjalanan dari parti dengan kerusi tunggal Parlimen hingga menjadi antara parti terpenting di negara tidak mungkin berlaku tanpa kerja kuatnya.
- Kita juga harus memuji keberanian dan inisiatif Datuk Seri Dr Wan Azizah, Presiden kita di dalam mencari jalan keluar dari kemelut parti-parti pembangkang di Malaysia dengan penubuhan Pakatan Harapan dan meneruskan usaha kerjasama dengan parti-parti lain yang ada di Malaysia. Lahirnya Belanjawan Alternatif 2015 dan rancangan Konvensyen Pakatan Harapan awal tahun hadapan adalah bukti tepatnya pilihan ini.
- Banyak tugas kita di depan sana teman-teman semua. Pilihan raya Sarawak semakin hampir. Kita tahu betapa liciknya Ketua Menteri Sarawak yang baru. Tetapi sedarlah semua, beliau tetap dari rejim yang sama, gabungan politik yang sama yang akhirnya dikuasai oleh Putrajaya. Sarawak hanya dapat berubah jika ada kerajaan yang baru dengan dasar yang baru dan iltizam yang baru.
- KEADILAN dan Pakatan Harapan mesti menang dan menang besar bagi membawa perubahan di negara kita. Kita mesti mahu untuk menang dan menunjukkan kepada rakyat bahawa kita mahu menang.
- Bagaimana kita hendak menang? Yang paling penting ialah kita mesti berbeza daripada UMNO. Kita tidak boleh berlagak seperti mereka, tidak boleh bercakap seperti mereka dan bertindak seperti mereka, apatah lagi jika tampaknya lebih mudah berbuat demikian. Rakyat sedang menghakimi kita.
- Sebagaimana yang saya katakan, kita mesti mempunyai keinginan kita untuk menang, kita mesti menunjukan keinginan kita untuk menang kepada rakyat. Generasi muda meletakkan harapan mereka di atas bahu kita. Sejarah tidak akan memaafkan kita jika kita tidak menggunakan peluang ini untuk menang. Kita harus menggemblengkan kekuatan Pakatan Harapan dan parti-parti lain untuk menggantikan Najib dan menumbangkan UMNO-BN.
- Malaysia bagaimanakah anda mahukan untuk anak-anak anda? Masa depan bagaimanakah anda mahukan untuk generasi akan datang? Sudah tentu kita mahu mereka tinggal di negara yang adil dan makmur, yang menghargai semua rakyatnya dan di mana undang-undang dihormati kerana ia melindungi mereka secara saksama. Inilah Malaysia yang kita mahukan!