Saya mengucapkan tahniah kepada anggota AMK di semua peringkat yang hadir menggunakan hak mereka memilih pimpinan Keadilan di peringkat Cabang dan Pusat serta semua rakan-rakan yang telah dipilih menjadi pimpinan AMK di peringkat Pusat dan Cabang. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih, khusus kepada semua yang memberi kepercayaan kepada saya sebagai Ketua Angkatan Muda bagi penggal 2014-2017.
Satu perbincangan telah diadakan di antara saya, Dr. Afif Bahardin dan kesemua pimpinan AMK Pusat yang melakukan ‘walkout’ kelmarin. Persefahaman yang telah dicapai bersama di dalam perbincangan tersebut:
Kesemua pimpinan AMK pusat telah menyatakan sokongan penuh sebagai Ketua AMK Pusat.
AMK akan bersama menetapkan halatuju dan masa depan AMK.
Pimpinan AMK Pusat juga bersetuju bahawa semua isu yang timbul berkenaan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) akan dibincangkan mengikut saluran dalaman parti.
Saya yakin semua anggota memahami bahawa menang dan kalah adalah adat biasa persaingan. Sesungguhnya ia wajar mengingatkan semua pimpinan bahawa selain sokongan yang diterima, prestasi sepanjang penggal baru ini akan dinilai dan dipertanggungjawabkan kepada kita. Justeru, keputusan ini seharusnya menginsafkan semua. Ia bukan saja mengiktiraf kita sebagai pimpinan rasmi tetapi menjadi petunjuk bahawa tanggungjawab besar kini ada di bahu kita.
Pemilihan AMK yang lepas cukup menarik kerana ia secara tidak langsung telah menunjukkan bahawa KEADILAN tidak ketandusan pemimpin muda di semua peringkat. InsyaAllah, kini tibalah semua bersatu di bawah nama AMK Malaysia. Saya ingin mengajak kita semua untuk memandang ke hadapan dan bersama memperkukuh parti di segenap peringkat agar lebih diterima sebagai wadah alternatif politik baru di Malaysia.
Untuk penggal baru ini, saya dan pimpinan baru AMK akan berusaha untuk menyatukan tenaga AMK di segenap peringkat, selaras dengan Perlembagaan Parti dan menurut kepentingan dan keperluan semasa yang ada.
Pimpinan AMK 2014-2017 bertekad untuk meneruskan perjuangan membawa politik baru dan sedia untuk menjadi peneraju perubahan.