Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Langkah Haramkan Perkahwinan Kanak-Kanak Bawah Umur Mesti Diutamakan

Kerajaan mesti mulakan langkah mengharamkan perkahwinan bawah umur seperti yang dijanjikan di dalam manifesto Pakatan Harapan dengan menetapkan umur 18 tahun sebagai umur minima sah perkahwinan.

Berikutan kejadian kisah tular berkenaan perkahwinan bawah umur di Thailand melibatkan suami rakyat Malaysia dan isteri berusia 11 tahun yang hangat dibincangkan, sudah masanya kita mengambil serius perkara ini dan memulakan langkah menanganinya.

Perundangan dalam hal ini masih terlalu samar dengan adanya pengecualian “kebenaran mahkamah” bagi pasangan Muslim dan “kebenaran Ketua Menteri” bagi pasangan bukan Islam yang mewujudkan kepercayaan bahawa perkahwinan bawah umur boleh diterima.

Yang pastinya sekiranya dilakukan di luar negara tanpa mengikut prosedur bagi pasangan Muslim, kes ini melanggar Seksyen 40(2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam.

Kita perlu meletakkan kebajikan anak-anak bawah umur ini sebagai kepentingan utama, kerana perkahwinan bawah umur ini jelas hanya membawa lebih banyak kemudaratan daripada manfaat.

Perkahwinan bawah umur memberi kesan kepada fizikal, emosi dan mental kanak-kanak itu dan keluarganya. Walau sebarang keadaan sekali pun yang dihadapi oleh keluarga kanak-kanak tersebut, ia tidak sepatutnya dieksploitasi oleh mana-mana pihak termasuk ibu bapa mereka sendiri.

Hal ini juga menegaskan lagi keperluan mendesak untuk menubuhkan Suruhanjaya Perlindungan Kanak-Kanak bagi mengkaji semula perundangan seperti Akta Kanak-Kanak 2001 yang dikhususkan untuk melindungi kanak-kanak, bukan sahaja dalam isu perkahwinan, tetapi juga pendidikan dan pemerdagangan manusia antara lainnya.

Langkah mengharamkan perkahwinan kanak-kanak bawah umur ini mesti diutamakan.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA PEMUDA HARAPAN
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA

Nik Nazmi ialah Ahli Parlimen Setiawangsa. Beliau juga Naib Presiden KEADILAN.

Alamat

Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Setiawangsa
3-1, Jalan Rampai Niaga 5, Rampai Business Park, Taman Sri Rampai, 53300 Kuala Lumpur, Malaysia.

Media Sosial

© Nik Nazmi Nik Ahmad. Hak Cipta Terpelihara.