Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Ucapan Penggulungan Kongres AMK 2014

Bismillah ar-Rahman ar-Rahim.
Terima kasih Sdr Pengerusi Tetap,
Sdr Shamsul Iskandar Md Akin selaku mantan Ketua, Angkatan Muda KEADILAN,
Saf pimpinan AMK yang lama dan yang baru di pelbagai peringkat,
Seterusnya perwakilan dan dan pemerhati dari seluruh negara,

Assalamu’alaikum w.b.t. dan selamat sejahtera.

Alhamdulillah, marilah kita bersama mengucap syukur kepada Tuhan yang mengizinkan kita bersama pada hari yang penuh keberkatan ini. Dialah Tuhan yang memerintahkan manusia agar menegakkan keadilan, menentang kezaliman, memakmurkan muka bumi ini dengan ilmu dan usaha baik.

Isu-isu Kemanusiaan dan Antarabangsa

Rakan-rakan perwakilan sekalian,

Hari ini merupakan Hari Perkabungan Negara bagi nahas pesawat MH17. Tahun ini juga negara dikejutkan dengan kehilangan pesawat MH370. Kedua-dua peristiwa ini telah meninggalkan parut yang begitu mendalam bagi keluarga dan sahabat mangsa kedua-dua peristiwa khususnya dan rakyat amnya.
Dunia pula menyaksikan pelbagai keganasan sama ada rakyat Palestin di Gaza, rakyat Syria, golongan minoriti di Iraq mahupun masyarakat Rohingya di Myanmar antara lainnya.

Marilah kita mendoakan kesejahteraan bagi mereka yang telah pergi dan agar adanya penyelesaian bagi pelbagai krisis kemanusiaan di dunia dengan peranan tegas dan pro-aktif masyarakat antarabangsa.

Pembunuhan orang awam yang tidak berdosa di atas nama keselamatan, agama mahupun bangsa tidak boleh diterima sama sekali. Tiada agama atau bangsa yang meraikan keganasan mahupun menyambut kesedihan.

Jiwa Merdeka

Bulan ini juga bersejarah apabila buat pertama kalinya Tanah Melayu diisytiharkan Merdeka pada tahun 1957, sebelum kemudiannya membuat keputusan penting untuk bersama dengan Sabah dan Sarawak membentuk Malaysia pada 16 September 1963.

Penting untuk kita sedar bahawa terdapat beberapa prinsip asas dinyatakan dalam Pemasyhuran Kemerdekaan 1957 dan Pemasyhuran Malaysia 1963 – yang menjamin hak-hak dan keutamaan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu serta hak-hak asasi dan kebebasan rakyat di dalam kerajaan Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

Juga dinyatakan jelas dalam dokumen yang sama hasrat bahawa negara ini akan “kekal sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan…”

Saya percaya dua dokumen asas negara ini bukanlah sesuatu yang baru dan asing bagi anggota KEADILAN. Namun, penting untuk kita sentiasa mengingatkannya, terutama pada waktu-waktu bersejarah bagi negara kita. Ia wajar dijadikan renungan oleh kita semua, agar kita sedar bahawa perjuangan KEADILAN tidak terpisah daripada pemahaman masa lalu dan cita-cita untuk masa depan.

UMNO dan NGO-NGO perkakas mereka kini membakar sentimen perkauman bagi kepentingan sempit politik mereka. AMK sebagai pergerakan anak muda parti pelbagai kaum paling berjaya dalam sejarah negara harus terus berani mempertahankan prinsip kita dan menolak ekstremisme yang mereka bawakan.

Ancaman Pemenjaraan Ketua Umum

Saudara-saudari sekalian,

Di celah-celah itu, kita tahu bahawa Ketua Umum Keadilan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim kini berhadapan dengan kemungkinan dipenjarakan semula. Kita tidak menolak tekanan yang ada di balik tabir politik melalui tindakan menangkap peguam beliau yang juga Naib Presiden Keadilan, Sdr. N. Surendran serta kenyataan terkini Tun Dr. Mahathir yang menyatakan rasa tidak senang terhadap Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Tun Razak.

Kita tahu, dalam kes 1998, rakyat, khususnya majoriti orang Melayu telah bangkit menyatakan sikap mereka terhadap kezaliman dan tuduhan jahat yang dilemparkan kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Kita ingin mengingatkan Perdana Menteri bahawa beliau tidak lagi menikmati sokongan majoriti rakyat Malaysia, malah kini sedang kuat ditekan oleh Tun Dr. Mahathir yang telah memfitnah dan menzalimi Dato’ Seri Anwar.

Saya ingin tegaskan di sini bahawa AMK tidak akan berdiam diri walau sesaat pun membiarkan Dato’ Seri Anwar dipenjarakan atas tuduhan jahat yang jelas bermotif politik. Kita akan sama-sama bangkit untuk menggerakkan masyarakat dan menghumban UMNO-BN ke dalam tong sampah sejarah sebagai parti yang tidak bermaruah.

Kita akan menentang tekanan politik juga terhadap pimpinan Pakatan seperti Surendran dan Sdr Tian Chua. Kita menolak penindasan terhadap masyarakat sivil yang semakin menjadi-jadi. Kita akan melawan kezaliman terhadap mana-mana insan.

Dalam pelbagai cabaran yang ada di hadapan kita ini, kita sebagai anggota AMK tidak mempunyai kemewahan masa dan tenaga selain untuk digunakan bagi tujuan yang jelas: memperkukuh wadah, menggiatkan perkaderan dan penerangan serta memastikan pimpinan dan anggota di pelbagai peringkat bersedia untuk berdepan dengan segala kemungkinan.

Pemilihan AMK dan KEADILAN

Teman-teman seperjuangan,

Saya ingin melahirkan ucapan terima kasih kepada Sdr Shamsul. Beliau telah memimpin untuk membina semula AMK ketika ditinggalkan begitu sahaja oleh Sdr Ezam Mohd Nor dahulu.

Tahniah diucapkan kerana beliau menang sebagai Naib Presiden pada pemilihan kali ini.

Kepada sahabat-sahabat seperjuangan saya, Sdr Amirudin Shari dan Sdr Nazree Yunus, terima kasih kerana turut bertanding untuk menjadi Ketua AMK Malaysia. Kedua-dua mereka telah menyampaikan ucapan tahniah kepada saya sebaik sahaja keputusan diumumkan semalam. Saya gembira dapat bertemu mereka di Kongres AMK pada hari ini. Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan pada mereka.

Tahniah kepada Timbalan Ketua AMK, Dr Afif Bahardin, Naib-Naib Ketua dan Ahli-Ahli Majlis Pimpinan AMK Malaysia yang dipilih.

Penglibatan luar biasa dari segi anggota yang bertanding dan mengundi di dalam pemilihan AMK khususnya dan KEADILAN amnya membuktikan keyakinan bahawa parti ini punya masa depan.

Namun antara pesanan yang saya ingin tinggalkan kepada para perwakilan, wajarlah kita mengambil iktibar, bahawa keghairahan ini, suka atau tidak, telah sedikit sebanyak mencalarkan hasrat murni KEADILAN untuk memberikan kuasa lebih banyak kepada anggota melalui sistem ‘seorang anggota, satu undi’.

Ia bukan sahaja mencalarkan imej KEADILAN sebagai parti yang mendokong reformasi pilihan raya, tetapi lebih berbahaya apabila ianya dijadikan alasan oleh sesetengah pihak mendakwa ‘pengukuhan kuasa akar umbi’ yang cuba diterapkan melalui sistem ‘seorang anggota, satu undi’ gagal dan tidak boleh dijadikan alternatif.

Saya menolak tuduhan itu. Ya, kita perlu mengkaji semula prosesnya dengan lebih teliti. Ya, kita perlu mengkaji skop sama ada memfokuskan pemilihan ‘seorang anggota-satu undi’ hanya di kalangan pimpinan paling kanan bagi MPP, AMK dan Wanita adalah lebih praktikal. Tetapi prinsip ‘seorang anggota, satu undi’ adalah kelainan KEADILAN yang selari dengan prinsip kita dan harus dipertahankan.

Keghairahan ini telah meninggalkan luka di kalangan kita. Tetapi saya menggesa, sebagaimana pesanan Timbalan Presiden Sdr Azmin Ali di dalam ucapan perasmiannya pagi tadi agar kita mengenepikan sentimen fanatik sama ada AMK Untuk Malaysia, AMK Baru ataupun Nadi AMK kerana pokoknya kita semua anggota AMK. Kita semua anggota KEADILAN. Kita semua cintakan Pakatan. Marilah kita menjalinkan wahdatul fikrah berasaskan idealisme keadilan melangkaui kumpulan-kumpulan kita.

Rakyat tidak berminat cerita di dalam kelambu. Rakyat mahu melihat penyelesaian isu Menteri Besar Selangor dan perlantikan segera Presiden KEADILAN Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang telah mendapat sokongan lebih dua pertiga ADUN Selangor sebagai Menteri Besar. Kita ada Pilihan Raya Kecil yang akan diadakan pada masa terdekat di Kelantan. Pilihan Raya Negeri Sarawak akan diadakan bila-bila masa sahaja.

Pesanan saya, mari kita rapatkan saf, bekerja sebagai suatu keluarga AMK dan KEADILAN. Pesan saya, pulang ke negeri dan cabang masing-masing dan siapkan jentera parti. Sampaikan salam kepada aktivis dan anggota akar umbi untuk kita menggiatkan usaha kita.

Saya dan saf pimpinan baru akan memberi fokus 100 hari pertama bermula hari ini untuk menggariskan dasar-dasar AMK penggal ini. AMK-AMK di peringkat cabang-cabang yang lemah, terutamanya bagi kawasan-kawasan tumpuan yang ditandingi KEADILAN akan diperkasakan.

Bangkitlah kita wahai anak muda! Ayuh persiapkan diri ke medan juang dan perkasakan AMK sebagai sayap paling progressif dalam parti seterusnya ke peringkat nasional. Marilah kita semarakkan jiwa merdeka. Suara kita suara merdeka. Membujur lalu melintang patah!

Reformasi! Reformasi! Reformasi!

Sekian, Terima kasih.