Saranan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan kerajaan perpaduan di Malaysia selepas Pilihan Raya Ke-15 (PRU15) seharusnya dihormati oleh semua.
Hakikatnya kita sekarang berada pada posisi Parlimen tergantung, kerana tidak ada mana-mana pihak yang mampu membentuk kerajaan secara bersendirian.
Keadaan ini memaksa kita untuk mengenepikan perasaan dan sifat partisan untuk membentuk sebuah kerajaan. Semua blok parti perlu berbincang untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil.
Hakikat ini menunjukkan Malaysia memerlukan kerajaan perpaduan. Idea ini merupakan solusi terbaik untuk Malaysia bergerak ke hadapan – ada pelbagai cabaran yang perlu kita hadapi – kemelesetan ekonomi, perubahan iklim dan cabaran geopolitik.
Kestabilan di Malaysia memerlukan kita kekal kompetitif dari segi ekonomi terutamanya ketika pelabur lebih berminat untuk melabur di negara-negara jiran kita. Kita perubahan keras untuk menyediakan pendidikan yang inklusif, perumahan mampu milik, sistem kesihatan terjamin dan pekerjaan bermaruah untuk rakyat Malaysia.
Semua ini memerlukan kerajaan yang stabil dan berfungsi – ia boleh dicapai melalui kerajaan perpaduan.
Kerajaan perpaduan ini perlu mewakili semua segmen rakyat Malaysia – bukan sekadar ideologi politik – tetapi semua kaum di seluruh Malaysia.
Inilah yang diharapkan oleh YDPA, seperti yang diperkatakan oleh Anwar Ibrahim selepas sesi menghadap YDPA.
PH yang merupakan blok terbesar di Dewan Rakyat akan datang, bersedia dan sanggup memimpin kerajaan perpaduan ini. Walaupun kempen pilihan raya lepas amat sengit, setiap daripada kita memiliki prinsip masing-masing. Apabila negara dibiarkan dalam keadaan tidak menentu, kita perlu mengenepikan perbezaan ini untuk kebaikan dan kepentingan negara.
Kuncinya ialah mencari titik persamaan dan cara untuk bekerjasama bagi membantu Malaysia menghadapi cabaran ekonomi yang mungkin kita hadapi pada masa-masa mendatang.
PRU15 juga malangnya menyaksikan sentimen pelampau yang memuncak diluahkan di media sosial. Oleh itu, kerajaan perpaduan boleh membantu meredakan ketegangan dan kebimbangan.
Anwar, sebagai pemimpin PH menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan semua pihak untuk merealisasikan kerajaan perpaduan termasuklah PN, BN, GPS, GRS, WARISAN dan parti lain atau Ahli Parlimen Bebas.
Perikata Nasional menolak idea ini mentah-mentah. PN perlu menjelaskan sebabnya. Saya mengesyaki mereka menolak kerana tidak dapat mewujudkan atau memimpin kerajaan perpaduan yang dicadangkan.
Kerana keengganan PN, PH berusaha untuk membentuk gabungan lain. Bukan mudah memandangkan saingan yang panjang antara parti komponen masing-masing. PH percaya kami mempunyai kewajipan untuk memastikan kestabilan di Malaysia, dan memiliki kerajaan yang berbilang kaum.
Tadbir urus yang baik dan kebebasan institusi awam kita tidak boleh dirundingkan.
Sebagai entiti yang mempunyai tradisi kuat berbilang kaum, kerajaan perpaduan dengan BN, GPS, GRS, PH, WARISAN dan lain-lain adalah yang terbaik untuk berkhidmat dan membangunkan bukan sahaja rakyat Malaysia yang mengundi kami—tetapi juga mereka yang mengundi PN.
Bumiputera dan bukan Bumiputera, Islam dan bukan Islam, bandar dan luar bandar—tiada sesiapa yang harus ditinggalkan atau berasa takut di Malaysia. Oleh itu, adalah wajar bagi pemimpin politik Malaysia untuk mengambil iktibar terhadap seruan YDPA untuk kerajaan perpaduan.
Bukan sahaja BN dan PH, tetapi semua parti yang sehaluan harus menyertainya. Kami bersyukur kerana WARISAN telah memilih untuk memberikan sokongan mereka kepada kami. Apa yang utama adalah PH akan menghormati proses perlembagaan, institusi beraja dan kehendak rakyat.
NIK NAZMI NIK AHMAD
NAIB PRESIDEN KEADILAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA