Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Maaf Ismail, debat adalah budaya kita

Alasan Ismail Sabri Yaakob untuk elak berdebat di kalangan calon Perdana Menteri PRU15 adalah “debat bukan budaya kita.”

Beberapa hari yang lalu, Pengerusi Pakatan Harapan dan Presiden KEADILAN Anwar telah bercadang untuk diadakan debat secara terbuka bersama calon-calon perdana menteri dari gabungan yang bertanding.

Cadangan ini dinyatakan bagi memastikan bahawa setiap calon perdana menteri yang bertanding mengemukakan dasar dan pelan rancangan yang akan dilaksanakan sekiranya dilantik menjadi perdana menteri.

Perdebatan ini juga memberi peluang kepada rakyat untuk memerhati dan menilai dasar-dasar yang dikemukan oleh setiap calon.

Namun, Ismail Sabri Yaakob selaku Naib Presiden UMNO dan calon perdana menteri Barisan Nasional (BN) telah menolak saranan tersebut dengan menyatakan debat bukan budaya kita.

Beliau mungkin terlupa bahawa ketika pemilihan UMNO tahun 2018 juga telah diadakan debat diantara Zahid Hamidi, Khairy Jamaluddin dan Tengku Razaleigh Hamzah bagi merebut jawatan Presiden UMNO.

Mungkin kerana Ismail Sabri belum menjadi Presiden UMNO beliau terlupa perdebatan tersebut.

Namun perdebatan lain juga pernah diadakan yang melibatkan beberapa orang tokoh besar di dalam UMNO sendiri iaitu debat diantara Anwar Ibrahim dan Shabery Cheek (2008), Rafizi Ramli dan Khairy Jalamaluddin (2012) dan Anwar Ibrahim dan Najib Razak (2022).

Sekiranya debat bukan budaya kita seperti yang dikatakan oleh Ismail Sabri, mengapa sebelum ini terdapat pemimpin UMNO yang menyertai debat? Alasan ini sebenarnya digunakan untuk menutup kelemahan UMNO/BN yang tidak mempunyai idea dan dasar yang jelas untuk membangunkan negara.

NIK NAZMI NIK AHMAD
NAIB PRESIDEN KEADILAN