Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Calon-calon berprofil tinggi yang akan bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat dalam PRU15

Semalam saya turut serta dalam sidang media Anwar Ibrahim dan Rafizi Ramli bagi mengumumkan calon-calon berprofil tinggi yang akan bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat dalam PRU15.

Sekali lagi, KEADILAN menongkah arus dengan membariskan calon-calon dengan latar belakang korporat, aktivis masyarakat, golongan agamawan, pesara kanan kerajaan, penyelidik kanan dari IPTA dan pemimpin belia.

Calon-calon tersebut:

  1. Dato’ Zainal Azman Abu Seman, mantan KSU Kementerian Pertanian dan Agrotani, SUK Negeri Perak dan Timbalan Ketua Pengarah JPA (Perak)
  2. Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan, mantan Naib Canselor UniSZA dan Timbalan Presiden IKRAM Malaysia (Pahang)
  3. Dr Noraishah Mydin Abdul-Aziz, Pensyarah Kanan Jabatan Parasitologi, PPUM. Beliau menghidap spina bifida sejak kecil mendapat PhD dalam bidang bioteknologi perubatan (pengkhususan developmental neurobiology) dari London. Selain seorang pakar akademik, beliau juga aktivis kelainan upaya yang memperjuangkan pesakit spina bifida (Wilayah Persekutuan)
  4. Ustaz Nik Omar, tokoh agamawan yang tidak asing lagi, beliau merupakan anak mantan Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat. Beliau mantan YDP YADIM dan merupakan lulusan Universiti al-Azhar dan Universiti Yarmouk (Perak)
  5. Saipolyazan M Yusop, kini Country Head (Saudi Arabia) bagi UEM Edgenta Berhad. Mantan CEO Lembaga Zakat Selangor. Mempunyai pengalaman luas dalam bidang korporat (Selangor)
  6. Jufitri Bin Joha, mantan Presiden Majlis Belia Malaysia dan Naib Presiden ABIM. Lulusan ijazah sarjana dari University of Durham, UK (Negeri Sembilan)
  7. Fathin Amelina Fazlie, berusia 28 tahun dan kini calon doktor falsafah di Universiti Malaya. Beliau membuat kajian tentang rangka pentadbiran isu-isu pendatang tanpa izin di Sabah (Perlis)

Semalam kecoh sebentar ketika sidang media apabila ada orang awam yang tidak dikenali mencelah dan menyatakan penjawat awam tidak patut masuk ke kancah politik. Orang akademik patut pulang buat kajian di universiti sahaja.

Jawapan Dr Noraisyah cukup tegas:

“Saya berdepan penolakan dari tadika lagi, memandangkan mereka tidak mahu menerima saya. Hingga hari ini, pesakit spina bifida berdepan penolakan.

“Saya masih membantu keluarga, menulis surat untuk membolehkan anak-anak mereka diterima di pendidikan arus perdana.

“Saya bekerja sangat keras sepanjang hayat saya untuk memahami penyakit ini.

“Tetapi apabila saya atau teman-teman penyelidik lain memohon geran (dari Kerajaan Malaysia), kami sentiasa ditolak.

“Saya hanya mahu membantu anak-anak (dengan spina bifida) dapat berjalan. Jadi saya meletak jawatan dalam perkhidmatan awam untuk berada di sini pada hari ini. Saya tidak akan berundur.”

Sebelum ini saya mengenali keluarga Noraisyah dan juga mengikuti twitter beliau. Tetapi perbualan saya dengannya semalam membuatkan saya kagum dengan kemampuan beliau – dari segi intelek dan akademik beliau memang cemerlang dari segi merit – dan komitmen beliau untuk memperjuangkan masa depan yang lebih baik untuk komuniti OKU amnya, dan spina bifida khususnya.

KEADILAN terus memberi ruang kepada pelbagai bakat, untuk diberi kepercayaan oleh rakyat. Kita mahu pentadbiran yang benar-benar peduli tentang kesengsaraan rakyat, dan merangka dasar-dasar untuk mengatasinya.

Kita boleh!