Sebelum ini, penduduk di Setiawangsa dan Wangsa Maju telah menyuarakan bantahan mereka terhadap projek pembangunan kondominium di Bukit Dinding oleh Nova Pesona Sdn Bhd.
Saya telah menghantar surat kepada agensi-agensi kerajaan meminta dokumen-dokumen teknikal berkaitan tapak pembangunan Bukit Dinding dikongsikan dengan penduduk.
Dokumen-dokumen yang telah saya minta termasuklah:
- Peta Hidrogeologi
- Peta Kesesuaian Pembinaan
- Laporan Pemetaan Geologi Terain
- Penilaian Keterancaman Tanah Runtuh
- Penilaian Impak Sosial
- Penilaian Impak Trafik
Punca utama kemarahan penduduk adalah memandangkan kawasan sekitar Bukit Dinding adalah kawasan risiko tinggi tanah runtuh.
Ketika hujan lebat melanda negara pada Disember 2021 dan banyak kawasan di Lembah Klang dan seluruh negara dilanda banjir, kawasan Puncak Setiawangsa dan Bukit Setiawangsa yang berdekatan tapak yang ingin dibangunkan mengalami tanah runtuh di beberapa cerun.
Ini sekitar tapak sama yang mengalami tanah runtuh besar pada tahun 2012.
Kelulusan pembangunan ini dibuat berasaskan laporan Penilaian Impak Alam Sekitar lima tahun yang lepas.
Banyak pakar-pakar akademik yang mengkritik alasan cuaca Disember 2021 sebagai taburan hujan ‘100 tahun sekali’, memandangkan cuaca luar jangka menjadi kebiasaan di seluruh dunia hari ini ekoran perubahan iklim dan diramalkan akan menjadi kebiasaan dalam masa yang terdekat.
Justeru, penduduk setempat berhak untuk berasa bimbang dengan kelulusan pembangunan ini.
Kami menyambut baik pengumuman yang dibuat Datuk Bandar Datuk Seri Mahadi Che Ngah bahawa buat masa ini pembangunan ini tidak boleh diteruskan memandangkan proses libaturus dengan penduduk masih berlaku.
Saya mendesak, serentak dengan perkongsian dokumen-dokumen ini dengan kami, untuk pihak DBKL mengadakan dialog tentang kewajaran pembangunan ini segera kerana akhirnya, pembangunan ini melibatkan nyawa dan keselamatan penduduk yang harus diutamakan.
NIK NAZMI NIK AHMAD
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA