Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dato Seri Ismail Sabri saling tuduh menuduh antara satu sama lain berhubung kemelut yang sedang melanda negara dan rakyat. Hal ini merujuk kepada kenyataan Muhyiddin yang menganggap Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri gagal mengurus ekonomi negara.
Sebenarnya kedua-duanya gagal menguruskan negara. Kegagalan Muhyiddin disambung oleh Ismail yang tiada kesediaan untuk membawa perubahan kepada negara dan rakyat pada waktu kritikal ini.
Ketika pentadbiran Muhyiddin, berlaku perlantikan anggota kabinet seramai 70 orang yang disifatkan bertujuan untuk menjaga kepentingan anggota parlimen bukannya menjaga kepentingan negara dan rakyat.
Sementara itu, pentadbiran Ismail pula dapat dilihat dengan jelas apabila beliau gagal menguruskan ekonomi, nilai mata wang, kos sara hidup dan skandal seperti kapal tempur pesisir (LCS). Rakyat terbeban dan sengsara dengan pentadbiran kedua-dua pemimpin berkenaan.
Justeru, melihat kepada keadaan itu dan jika mandat diberikan kepada Pakatan Harapan dalam PRU-15, PH akan mengemukakan alternatif yang baik untuk rakyat serta memberi keutamaan menyelesaikan masalah kos hidup rakyat, kenaikan harga barang dan sebagainya.