Artikel ini pertama keluar di Sinar Harian Online pada 7 Ogos 2018
PADA 16 Julai 2018, bersama-sama dengan wakil rakyat yang lain, saya telah mengangkat sumpah untuk berkhidmat kepada Malaysia sebagai ahli Dewan Rakyat.
Sudah tentu, perkara tersebut merupakan satu peristiwa bercampur-baur pengalaman yang baik, kontroversi dan kenangan yang lucu.
Jadi, apakah perasaannya menjadi seorang ahli Parlimen?
Perkara utama yang terlintas di pemikiran anda adalah suasana berbeza Dewan Rakyat.
Saya telah menjadi Adun Selangor selama 10 tahun dan pernah menjadi Timbalan Speaker Dun Selangor.
Namun begitu, saya masih sering berasa kagum dengan kebesaran secara fizikal dan kemegahan Dewan Rakyat — apatah lagi dengan betapa berkuasanya Parlimen, dan juga betapa luas skop kerjanya.
Dewan Rakyat juga sangat berbeza daripada House of Commons Britain, iaitu ‘moyang’ semua badan perundangan sistem Westminster.
House of Commons agak sempit. Ahli-ahli Parlimen Britain sering terpaksa duduk bersama-sama di atas bangku yang sempit atau berdiri—terutamanya semasa perbahasan yang besar.
Sebaliknya, ahli-ahli Dewan Rakyat Malaysia mempunyai ‘kemewahan’ seperti kerusi individu, meja, mikrofon dan juga komputer riba individu.
Bagaimanapun, Dewan Rakyat mempunyai aura yang intim dan walaupun hanya sebulan sejak persidangan bermula, anda sudah boleh mengenali ahli-ahli yang lain.
Anda boleh belajar banyak daripada melihat mereka dalam jarak dekat, termasuk mempelajari perkara baharu mengenai veteran politik dan tokoh-tokoh yang terkenal.
Setiap ahli Dewan Rakyat adalah berbeza: anda boleh melihat dengan jelas siapa yang membuat persiapan untuk sesi persidangan berbanding dengan mereka yang tidak membuat sebarang persiapan, siapa yang berminat, siapa yang bosan, siapa yang bersikap merentas parti, siapa yang mudah terasa, siapa yang lucu dan siapa berpendapat mereka bersikap lucu walaupun tidak.
Tetapi sudah tentu, saya dan rakan-rakan saya berada dalam Dewan Rakyat untuk bekerja, dan sesi persidangan kali ini merupakan satu yang agak sibuk.
Kerajaan Pakatan Harapan mempunyai agenda perundangan yang luas, bukan sahaja memansuhkan GST dan memperkenalkan SST.
Mampukah kita melaksanakan segala-galanya? Adakah Dewan Negara akan menghalang agenda Dewan Rakyat.
Saya tidak berasa pernah ada masa yang lebih mengujakan untuk berada di dalam Parlimen — selain zaman merdeka — daripada sekarang dan saya amat bersyukur atas keistimewaan ini serta menyedari tanggungjawab yang disandang.
Seperti yang telah saya katakan dalam ucapan sulung, saya berharap untuk mengusahakan beberapa inisiatif, termasuk menangani isu kemiskinan bandar, menyediakan perlindungan alam sekitar yang lebih baik, reformasi DBKL, menggantikan undang-undang kerajaan lama yang bersifat menindas dan memperjuangkan bidang seni.
Saya juga berharap dapat menyumbang kepada gerakan yang masih berterusan untuk mereformasi institusi Parlimen Malaysia secara keseluruhannya.
Pemusatan kuasa kepada badan Eksekutif dalam beberapa dekad yang lalu perlu dihentikan dan dikembalikan kepada institusi-institusi asal dalam Perlembagaan.
Salah satu cara untuk melakukan ini, saya percaya, adalah dengan melaksanakan janji dalam Buku Harapan untuk menubuhkan Jawatankuasa Terpilih Dewan Rakyat untuk memantau kementerian-kementerian.
Ini akan membolehkan pemantauan terhadap kerja-kerja badan eksekutif oleh kedua-dua pihak, termasuk memberikan ahli-ahli Parlimen kuasa untuk memanggil para menteri untuk menjelaskan tindakan mereka. Saya berasa Kabinet semasa sudah mempunyai banyak yang harus dijelaskan terhadap perkara-perkara tertentu.
Ini hanya akan menjadi satu perkara yang buruk sekiranya anda percaya bahawa ketelusan merupakan satu perkara yang buruk.
Selain itu, Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 (yang telah dimansuhkan pada tahun 1992) patut diperkenalkan semula.
Secara meluas, akta itu memberikan kuasa kepada Parlimen untuk menjalankan hal ehwalnya sendiri, termasuk pengupahan kakitangan dan dengan itu, memastikan kebebasannya.
Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof telah berkata bahawa perkara ini akan dilakukan.
Saya percaya bahawa jika kita mampu melaksanakan pelbagai pembaharuan, Parlimen Malaysia akan menjadi lebih cekap dan menjadi penjaga kepentingan rakyat yang lebih disegani.
Kami, sebagai ahli Parlimen backbencher akan memantau kerajaan untuk bersikap bertanggungjawab – saya berharap rakyat akan terus melakukan perkara yang sama bagi kami juga.
* YB Nik Nazmi Nik Ahmad ialah Ketua Pemuda Harapan, Ketua Angkatan Muda Keadilan dan Ahli Parlimen Setiawangsa. Beliau pernah menjadi Adun di Selangor selama dua penggal dan menulis beberapa buah buku dalam bahasa Melayu dan Inggeris