Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Jawapan Pertanyaan Lisan Langkah Membantu Pelajar Selepas Pembatalan Pendaftaran Di Universiti Awam

Soalan:

Nik Nazmi Nik Ahmad [PH-Setiawangsa] minta Menteri Pengajian Tinggi menyatakan apakah langkah yang diambil untuk membantu pelajar dari luar kawasan dan tidak mempunyai akses internet yang baik yang belajar di universiti awam selepas pembatalan pendaftaran mahasiswa pada 27 September 2020.

Jawapan:

Tuan Yang di-Pertua,

Susulan pengumuman Penangguhan Pendaftaran Secara Fizikal atau Bersemuka Pelajar IPT pada 2 Oktober 2020 lalu, Kementerian telah mencadangkan agar semua urusan pendaftaran pelajar dilaksanakan secara dalam talian. Kementerian maklum bahawa ramai pelajar dan ibubapa berasa khuatir dan gusar, terutamanya untuk pelajar menerusi sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara dalam talian. Namun keputusan penting itu perlu diambil oleh kementerian demi menjaga kebajikan dan keselamatan pelajar.

Bagi membantu pelajar IPT mendapatkan akses internet dan memastikan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) mereka secara dalam talian dapat dijalankan dengan baik, Kementerian dengan Kerjasama Kementerian Komunikasi dan Mutimedia Malaysia (KKMM) telah menyalurkan maklumat 871 lokasi kemudahan pusat internet di bawah seliaan KKMM kepada universiti-universiti awam. Pusat-pusat internet ini boleh diakses oleh semua pelajar di kawasan bandar dan luar bandar seluruh Malaysia termasuk di Sabah dan Sarawak. Setiap pusat internet tersebut mempunyai 20 buah computer, perkhidmatan berbayar seperti fotostat, pencetak, pengimbas, laminate dengan izin dan perkhidmatan-perkhidmatan lain yang membantu memudahkan urusan pembelajaran pelajar.

Selain itu, Kementerian juga menyediakan bantuan berbentuk sumbangan pelan data bagi capaian internet kepada 320,396 pelajar daripada kalangan keluarga B40 di universiti awam. Seramai 225,784 pelajar telah dan akan menerima bantuan dalam bentuk simkad manakala 94,612 pelajar akan menerima bantuan sama ada berbentuk tunai atau baucar pembelian pelan data mengikut syarikat telekomunikasi pilihan masing-masing. Bantuan ini dibiayai melalui dana dalaman universiti awam dan tabung kebajikan pelajar dengan anggaran peruntukan keseluruhan berjumlah RM24 juta.

Selain bantuan dan sumbangan dalam bentuk pelan data, kementerian turut menyediakan bantuan berbentuk pembiayaan kepada 8,965 pelajar daripada kalangan keluarga B40 untuk memiliki peranti. Daripada jumlah tersebut, seramai 5,965 pelajar akan menerima sumbangan berbentuk komputer riba, 300 pelajar menerima bantuan berbentuk pinjaman kewangan untuk pembelian komputer dan selebihnya 2,700 pelajar menerima bantuan berbentuk tunai atau baucar bagi tujuan pembelian peranti. Bantuan ini dibiayai melalui sumber dana universiti awam sendiri; tabung kebajikan pelajar; zakat daripada tabung haji; wakaf; dan sumbangan daripada agensi dan pihak lain dengan anggaran peruntukan sebanyak RM13.4 juta.

Syarikat-syarikat pengeluar peranti juga turut menawarkan diskaun istimewa khas kepada semua pelajar IPT untuk mendapatkan peranti keluaran syarikat mereka. Diskaun khas ini hanya ditawarkan kepada pelajar IPT sahaja bagi membantu mengurang kos yang perlu ditanggung pelajar untuk mendapatkan peranti.

Dalam usaha untuk meringankan beban 76,153 pelajar baharu bagi Sesi Akademik 2020/2021 untuk menanggung kos bagi mengikuti PdP secara dalam talian, kementerian turut menawarkan pemberian bantuan tunai sebanyak RM50 kepada setiap pelajar tersebut. Bantuan ini melibatkan peruntukan berjumlah RM3.8 juta. Melalui insentif yang diberikan ini, beban terutamanya kepada pelajar baharu untuk menanggung kos pembelajaran secara dalam talian dapat dikurangkan.

Bagi memastikan kelangsungan atau kemampuan untuk pelajar-pelajar terutamanya daripada kalangan keluarga B40 untuk meneruskan PdP secara dalam talian, kementerian dengan kerjasama Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) juga telah melancarkan inisiatif dengan izin crowdfunding melalui Tabung Prihatin Siswa. Inisiatif ini mengajak pihak luar untuk turut sama menyalurkan sumbangan bagi membantu meringankan kesulitan pelajar yang berkeperluan dalam meneruskan sesi PdP mereka.

Sekian, terima kasih.