Keputusan Kerajaan Persekutuan untuk menutup semua sekolah di Malaysia sehingga 17-18 Disember 2020 – hari terakhir tahun persekolahan kerana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di kebanyakan negeri adalah sesuatu yang amat dikesali. Ia seperti juga penangguhan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) hingga 22 Februari 2021 dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) hingga 8 Mac 2021.
Pendidikan pelajar di Malaysia terganggu kerana kurangnya perancangan jangkamasa panjang daripada Kementerian Pendidikan.
Soalan yang penting telah ditanyakan oleh beberapa pihak berkenaan; sama ada PKPB yang dilaksanakan di seluruh negara diperlukan, kerana tidak semua negeri yang terlibat mengalami peningkatan besar kes baharu. Keputusan untuk menutup sekolah walaupun di negeri yang masih di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) seperti Kelantan, Pahang dan Perlis harus dipersoalkan.
Walaupun kita berharap vaksin Covid-19 akan muncul tidak lama lagi, kita harus belajar hidup dengan norma baharu buat masa ini.
Adalah perlu bagi kita untuk merancang ke hadapan supaya dapat meneruskan kehidupan sosio-ekonomi dengan mematuhi arahan dari segi penjarakan fizikal dan kebersihan diri.
Namun, tidak adil memberikan tanggungjawab ini hanya untuk rakyat. Mereka harus dibimbing, dilindungi dan dibantu dengan dasar yang pintar dan kepemimpinan yang tegas, termasuklah dalam sektor pendidikan. Malangnya, hal ini tidak berlaku di bawah Kerajaan PN.
Apa yang telah dilakukan oleh Kementerian Pendidikan adalah menangguhkan semuanya dan meminta rakyat untuk menunggu perincian seterusnya. Pendekatan ini telah menjadi tema kepada kerajaan ini, pendekatan yang kurang bijak dan tidak memahami penderitaan rakyat.
Contohnya SPM yang kini dijadualkan pada 22 Februari manakala STPM yang dikatakan akan bermula pada 8 Mac 2021. Pengambilan universiti, selalunya akan berlaku pada bulan September.
Biasanya, keputusan SPM dan STPM dikeluarkan pada bulan Februari atau Mac dan Unit Pengambilan Universiti (UPU) memerlukan sekitar 5 bulan untuk memproses keputusan untuk pengambilan universiti.
Dengan SPM dan STPM yang akan berakhir pada hujung Mac 2021. Ini bermaksud kertas peperiksaan perlu disemak dan ditanda, serta keputusan yang ditetapkan dan disahkan dalam masa kurang dari tiga bulan — paling awal bulan Jun.
Ini bermaksud kita ada bulan Julai untuk UPU memasukkan keputusan ke dalam sistem, dan bulan Ogos untuk pelajar mendapatkan keputusan mereka pada bulan September. Jangan lupa, pada masa ini juga UPU akan berhadapan dengan keputusan dari pelajar matrikulasi dan asasi.
Kerja-kerja ini tidak akan dapat dilaksanakan tanpa menggunakan teknologi baru atau inovatif untuk menyemak kertas peperiksaan, pengeluaran keputusan dan permohonan pelajar ke universiti.
Sistem semasa tidak akan dapat menanganinya melainkan tarikh pengambilan universiti ditangguhkan seperti yang telah dilakukan dengan peperiksaan.
Saya tidak hanya ingin melakukan kritikan semata-mata. Berikut adalah beberapa penyelesaian yang harus diambil oleh kementerian untuk membantu pelajar dan guru mengatasi masalah tersebut.
1. Kementerian harus mewujudkan satu pasukan dengan pemegang taruh dan pakar dari dalam dan luar kerajaan untuk membuat versi SPM dan STPM yang diperkemaskan.
2. Kerajaan harus membatalkan semua syarat kerja kursus untuk kumpulan SPM 2020/2021 dan 2021— kecuali untuk mata pelajaran praktikal sangat penting seperti mata pelajaran vokasional.
3. Kenal pasti bahagian kurikulum mana yang harus diajar secara bersemuka dan yang boleh dilakukan secara dalam talian.
Penciptaan kandungan untuk pengajaran dan pembelajaran dalam talian harus mempunyai perancangan. Bahagian Teknologi Pendidikan Kementerian boleh membantu. Subjek yang boleh dinilai atau mampu diadakan peperiksaan dalam talian, perlu diputuskan.
4. Membekukan pertukaran semua pegawai peperiksaan di Kementerian, terutama Lembaga Peperiksaan, Majlis Peperiksaan dan di peringkat pendidikan negeri sehingga kedua-dua SPM dan STPM 2020/2021 dan 2021 telah selesai.
5. Jemaah Nazir harus bekerjasama dengan sekolah untuk membantu mengatur kelas atau bahkan pergi ke lapangan dan mengajar – tentu saja dengan mematuhi semua SOP. Kita juga boleh merekrut guru sementara dan interim – sebagaimana saya bangkitkan dalam pertemuan rombongan PH bertemu Menteri Kewangan – untuk membantu pelajar sepenuh masa dengan pembelajaran secara fizikal atau dalam talian.
Perkongsian juga boleh dilakukan dengan syarikat dan teknologi swasta untuk penyelesaian teknologi serta inovasi dalam pembelajaran dapat dipercepatkan untuk membantu guru dan pelajar.
6. Sistem UPU perlu dikemaskini untuk memendekkan masa yang diperlukan untuk memproses aplikasi dan memastikan bahawa ia dapat menangani puluhan ribu pengunjung dalam satu-satu masa.
7. Kita juga harus menyedari bahawa kumpulan pelajar sekolah sekarang adalah anggota termuda dari “Generasi Covid”, mereka mungkin memerlukan pemantauan dan bantuan untuk masa yang lama.
Sebagai permulaan, kerajaan harus meningkatkan kapasiti matrikulasi dan tingkatan enam dalam masa terdekat. Ini untuk membantu mempersiapkan pelajar Generasi Covid dengan lebih baik, kerana mereka telah kehilangan satu tahun persekolahan untuk pendidikan tinggi.
Untuk kursus diploma, kolej dan universiti mesti mempertimbangkan untuk memperkenalkan kursus pengajian pra-pengajian tinggi (dengan kos minimum) untuk membantu kedua-dua kumpulan SPM dan STPM mengikuti pengetahuan yang diperlukan dalam bidang yang berkaitan.
Saya sangat berharap Kementerian Pendidikan mempertimbangkan langkah-langkah ini.
Ini melangkaui politik – masa hadapan sebahagian besar anak muda kita, justeru tanah air kita yang menjadi taruhan.
NIK NAZMI NIK AHMAD
JURUCAKAP PARLIMEN KEADILAN BAGI PENDIDIKAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA