Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Jawapan Pertanyaan Lisan Pecahan Kaum Di Sekolah Kebangsaan, SJKC, SJKT Dan Sekolah Swasta

Soalan:

Nik Nazmi Nik Ahmad [Setiawangsa] minta Menteri Pendidikan menyatakan pecahan kaum di Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dan Sekolah Swasta antara tahun 2010 hingga hari ini.

Jawapan:

Tuan Yang di-Pertua, Berdasarkan rekod Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), bagi tahun 2010 hingga 2020, trend data menunjukkan peratus penyertaan kaum Melayu di Sekolah Kebangsaan berada pada sekitar 93% hingga 94%.

Manakala, peratus penyertaan kaum Cina menunjukkan trend penurunan dari 1.17% pada tahun 2010 kepada 0.73% pada tahun 2020. Peratus penyertaan kaum India juga mencatatkan penurunan daripada 3.15% kepada 2.63% dalam tempoh yang sama. Selain itu, bagi lain-lain kaum, terdapat sedikit peningkatan iaitu daripada 2.00% pada tahun 2010 kepada 2.84% pada tahun 2020.

Bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), secara keseluruhan, peratus penyertaan kaum Melayu, India dan lain-lain menunjukkan peningkatan pada tahun 2020 berbanding tahun 2010.

Trend penyertaan kaum Melayu meningkat daripada 9.15% pada tahun 2010 kepada 15.33% pada tahun 2020. Kaum India juga menunjukkan peningkatan daripada 1.67% kepada 2.75% dalam tempoh yang sama.

Begitu juga dengan penyertaan Lain-lain kaum, meningkat daripada 1.02% pada 2010 kepada 1.67% pada tahun 2020. Namun, peratus penyertaan kaum Cina di SJKC menunjukkan penurunan daripada 88.16% pada tahun 2010 kepada 80.25% pada tahun 2020.

Bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) pula, pecahan penyertaan terbesar sepanjang tempoh 2010 sehingga 2020 adalah daripada kaum India, iaitu 99%. Penyertaan bagi kaum Melayu, Cina dan Lain-lain berada kurang daripada 1% sepanjang tempoh berkenaan.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, bagi sekolah swasta pula, pecahan penyertaan terbesar untuk tahun 2020 adalah daripada kaum Cina iaitu 65.88%, diikuti kaum Melayu termasuk bumiputera Sabah dan Sarawak sebanyak 26.96%, kaum India sebanyak 4.00% dan Lain-lain kaum sebanyak 3.17%.

Penyertaan murid kaum Melayu menunjukkan peningkatan sebanyak 0.65% manakala kaum Cina menunjukkan penurunan 0.44% dan kaum India menurun sebanyak 0.21% berbanding tahun 2019. Sekian, terima kasih.