Apakah muslihat yang cuba dicapai oleh PAS dalam apa yang dikatakan “usul keyakinan” untuk Tun Dr Mahathir Mohamad menghabiskan satu penggal penuh sebagai Perdana Menteri?
Jelas sekali, parti tersebut tidak bertindak di atas niat yang baik.
Tidak timbul keperluan untuk usul tersebut. Kedudukan pentadbiran yang ada di Dewan Rakyat tidak dipersoalkan.
Kerajaan masih mempunyai majoriti dengan 139 daripada 222 kerusi (iaitu 129 dari Pakatan Harapan dan 9 dari Warisan serta 1 dari UPKO).
Tiada sesiapa yang mahu mencuba undi tidak percaya.
Malah, usul PAS, sekalipun jika dibahaskan dan diluluskan (memandangkan urusan kerajaan didahulukan di Parlimen) tidak sekali-kali mengikat dari sudut perundangan.
Ini tidak menghalang Dr Mahathir untuk meletak jawatan apabila beliau mahukan. Dan kerajaan akan tetap tumbang sekiranya ada undi tidak bercaya yang diluluskan kemudian.
Pada masa yang sama, kelakuan PAS adalah pelik memandangkan sekutu mereka, UMNO baru memenangi 2 pilihan raya kecil Parlimen berturut-turut.
Pembangkang yang waras dan rasional akan menjadikan ini bukti kerajaan yang ada semakin hilang keyakinan rakyat, bukan cuba masuk menerusi pintu belakang.
Lebih-lebih lagi, sebahagian besar kempen PRU14 mereka menumpukan untuk menyerang Dr Mahathir.
Justeru, mengapa PAS melanggar mandat pengundi mereka, serta parti sekutu “Muafakat Nasional” mereka, UMNO dan Barisan Nasional?
Wujud pelbagai khabar angin bahawa ini menuju ke arah pembentukan kerajaan “pintu belakang” yang baharu.
Tujuan langkah ini adalah untuk menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri sebagaimana termaktub dalam Muafakat Pakatan Harapan.
Sejauh mana kerajaan yang diwarwarkan ini akan dianggap sah dan dapat bertahan, masih menimbulkan tanda tanya.
Ini juga bertentangan dengan pengalaman yang dilalui PAS sebelum ini, memandangkan mereka menjadi mangsa taktik “pintu belakang” pada Darurat Kelantan 1977.
Ketika itu, PAS (yang berada dalam BN) berpecah di antara Menteri Besar Kelantan Dato Mohamed Nasir dan Yang Dipertua PAS Tan Sri Asri Muda.
Dewan Undangan Negeri Kelantan ketika itu mempunyai 36 kerusi: PAS 22, UMNO 13 dan MCA 1.
20 ADUN PAS meluluskan undi tidak percaya terhadap Nasir, sementara ADUN BN keluar dewan.
Menteri Besar enggan meletak jawatan dan cuba membubarkan dewan. Timbul rusuhan.
Darurat diisytiharkan antara 8 November 1977—12 Februari 1978, membolehkan Menteri Besar kekal di jawatannya.
PAS ditendang keluar BN manakala Nasir menubuhkan parti BERJASA. Pada pilihanraya pada Mac 1978, UMNO menang 23 kerusi, BERJASA 11 dan PAS 2.
UMNO mendapat jawatan Menteri Besar Kelantan manakala BERJASA menyertai BN. Namun PAS memenangi semula Kelantan pada 1990 dan kekal sebagai kerajaan negeri hingga hari ini.
Selama berdekad-dekad PAS berkempen bagaimana mereka dimangsakan UMNO. Atas dasar itu, Almarhum Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menentang keras sebarang kerjasama PAS-UMNO.
Saya berharap PAS dapat kembali menjadi parti pembangkang yang bertanggungjawab seperti dahulu.
Kita ada banyak tugas di hadapan kita – termasuk menghadapi ketidaktentuan ekonomi sedunia kerana wabak COVID-19 (koronavirus).
PAS boleh membantu negara atau menjadi langau yang tidak berfaedah. Pilihan di tangan mereka.
Pilihan mana sekalipun, rakyat akan menilai.
NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA SETIAUSAHA PENGELOLA KEADILAN
AHLI MAJLIS PIMPINAN PUSAT KEADILAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA