Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Jawapan Lisan Parlimen Isu Dasar Gaji & Persaraan Tentera

Jawapan Pertanyaan Jawab Lisan Isu Dasar Gaji dan Persaraan Tentera Bagi Membela Kebajikan Perajurit Negara

Soalan: Nik Nazmi Bin Nik Ahmad [ Setiawangsa ] minta Menteri Pertahanan menyatakan adakah Kerajaan berhasrat mengkaji semula dasar gaji dan persaraan tentera bagi membolehkan semua anggota tentera termasuk yang tidak menerima pencen sebelum ini untuk mendapat pembelaan lebih baik dan kebajikan yang terjaga sebagai perajurit negara.

Jawapan:

Tuan Yang di-Pertua,

Peraturan-Peraturan Angkatan Tetap (Pencen, Ganjaran dan Faedah-Faedah Lain) 1982 telah menetapkan bahawa bagi melayakkan anggota menerima pencen perkhidmatan, mereka mestilah berkhidmat sekurang-kurangnya 21 tahun.

Walau bagaimanapun, ATM tidak menghalang mana-mana anggota yang ingin menamatkan perkhidmatan sebelum 21 tahun (mengikut jangka masa yang ingin ditetapkan iaitu 12, 15, atau 18 tahun). Pemberhentian ini adalah atas kehendak serta permohonan anggota itu sendiri dan mengetahui bahawa implikasinya mereka tidak layak menerima pencen perkhidmatan.

Berkuatkuasa 1 November 2017, Kementerian juga telah memperkenalkan pelanjutan perkhidmatan melebihi 21 tahun terus ke 26 tahun bagi memastikan anggota ATM yang berpencen maksimum 60% di samping dapat menikmati faedah persaraan yang lebih tinggi.