Kenyataan Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh dan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Datuk Dr Khair Mohamad Yusof tentang Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) menambahkan kecelaruan tentang isu tersebut.
Idea di belakang PBS ialah idea yang baik, iaitu melahirkan pelajar yang lebih holistik berbanding sistem yang berkonsepkan peperiksaan semata-mata sebelum ini.
Namun, pelaksanaan dasar ini telah mendedahkan pelbagai kelemahan sehingga menimbulkan masalah buat guru-guru, ibu bapa dan paling penting para pelajar.
Guru-guru telah mengadu menghabiskan masa melakukan kerja-kerja pengkeranian untuk memuatkan data ke dalam sistem berkomputer PBS. Guru-guru di kawasan di mana kelajuan Internet adalah rendah terpaksa menggunakan wang sendiri untuk ke kafe-kafe siber. Ada yang terpaksa menunggu ke tengah malam atau bangun awal pagi untuk menunggu kelajuan Internet yang lebih baik sebelum dapat memuatkan data ke dalam sistem berkomputer PBS.
Ini sudah tentu menjejaskan tugas utama guru sebagai pendidik.
Pelajar dan ibu bapa juga tidak pasti bagaimanakah mereka akan dinilai, khususnya pelajar-pelajar tingkatan tiga tahun ini yang menjadi golongan pertama melalui PBS. Ada yang diberitahu meskipun PMR tiada tetapi mereka akan dinilai dengan penilaian seakan-akan PMR. Lantas, matlamat PBS itu sendiri terjejas dan lebih penting lagi, seperti kes PPSMI, sekali lagi anak-anak kita menjadi bahan ujikaji pendidikan setengah masak.
Guru-guru kini sudah berani untuk membantah dasar ini sehingga berhimpun pada 22 Februari lalu di Bangi bagi menyatakan pendirian mereka. Mereka berbuat demikian bukan sahaja kerana prihatin tentang kebajikan mereka tetapi atas dasar tanggungjawab terhadap anak-anak didik mereka.
Malangnya beberapa orang guru telah menjadi mangsa kelantangan ini. Hanya kerana kelantangan mereka masalah ini telah mendapat perhatian meluas tetapi mereka pula yang dihukum.
Saya menggesa agar Kementerian Pendidikan menghentikan sebarang tindakan kepada guru-guru yang terlibat membantah PBS. Lebih penting lagi, Kementerian mestilah mencari sistem penilaian yang adil dan praktikal untuk pelajar-pelajar tingkatan tiga tahun ini yang masih lagi tertanya-tanya tentang nasib mereka. Sistem yang ada mestilah dirombak ataupun dikurangkan perkara yang mahu dianalisa.
Jika perkara yang dianalisa dikurangkan, maka penilaian peperiksaan mesti dikembalikan. Yang penting, aspek ini mestilah keluar dari kerangka politik di mana keputusan kononnya semakin baik setiap tahun dengan pelajar-pelajar yang mendapat keputusan semua A yang meningkat dari tahun ke tahun sedangkan kedudukan kita di dalam penilaian antarabangsa semakin merosot.
Rombakan sistem boleh dibuat dengan mencari jalan yang lebih efisyen untuk mengemaskinikan sistem berkomputer PBS sama ada di peringkat sekolah, daerah atau negeri. Ini sekaligus mengurangkan beban guru-guru.
Buat jangka masa panjang sebarang perubahan struktural seperti PBS ini memerlukan perbincangan yang meluas yang melibatkan pakar-pakar pendidikan, ibu bapa dan guru-guru serta memerlukan penerangan meluas di semua peringkat. Sebagaimana disebut, idea PBS ini memang idea yang baik dari sudut prinsip tetapi PBS bertunjangkan autonomi dan kebertanggungjawaban sekolah yang tidak wujud di Malaysia.
Laporan Bank Dunia pada Disember 2013 mencatatkan antara masalah utama sistem pendidikan kita ialah pemusatan kuasa dalam bidang pendidikan. Sekolah-sekolah harus diberi kuasa memilih buku teks dan cara pengajaran sebelum sistem seperti PBS diperkenalkan. Infrastruktur juga mestilah pada piawai yang baik bagi mengelakkan masalah seperti yang telah berlaku berulang.
Hakikatnya kita sudah ketinggalan dalam bidang pendidikan, dengan statistik terkini penilaian antarabangsa Trends in International Mathematics and Science Studies (TIMSS) 2011 dan Programme in International Students Assessment (PISA) 2012 di mana pelajar-pelajar negara mencatatkan kemerosotan berbanding penilaian sebelumnya. Ini adalah trend yang membimbangkan, apatah lagi kita bukan sahaja jauh ketinggalan berbanding Singapura, malah ketinggalan dengan negara-negara jiran lain seperti Thailand dan Vietnam.
Kepincangan pelaksanaan PBS, seperti PPSMI dahulu, akan meninggalkan kesan besar kepada pelajar-pelajar menengah rendah hari ini. Rakyat mesti mengetahui siapa yang bertanggungjawab untuk kesilapan-kesilapan ini. Kita perlu mengenalpasti bagaimanakah dasar pendidikan, yang penting untuk pembangunan negara, digubal: adakah berdasarkan kajian dan rundingan yang menyeluruh? Adakah wujud mekanisme pemantauan dan penilaian apabila sebarang dasar pendidikan dilaksanakan?