Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Jawapan Pertanyaan Jawab Lisan Isu 11 Pusat Membeli Belah Baru Di Lembah Klang

Soalan:
Nik Nazmi Nik Ahmad [Setiawangsa] minta Menteri Wilayah menyatakan: –

(a) Bilangan kelulusan pusat membeli belah di Kuala Lumpur yang termasuk di dalam 11 pusat memebeli belah baharu di Lembah Klang;
dan;

(b) apakah langkah yang akan diambil dalam pewartaan Rancangan Kuala Lumpur bagi memastikan pembangunan yang lebih seimbang dan lestari termasuk kawasan rekreasi dan perumahan rakyat.

Jawapan:

Tuan Yang di-Pertua,

a) Untuk makluman Yang Berhormat, daripada 11 buah pusat membeli-belah yang akan dibina di Lembah Klang, hanya 5 pusat membeli-belah tersebut terletak di Kuala Lumpur. Pusat membeli-belah di Kuala Lumpur ini telah dikeluarkan kelulusan Perintah Pembangunan (Development Order) di mana 2 pusat membeli-belah tersebut telah siap dibina, 2 pusat membeli-belah dalam pembinaan dan 1 lagi belum dibina.

Berdasarkan senarai di atas, semua pembangunan yang diluluskan terletak di atas tanah milik persendirian serta selaras dengan zon guna tanah yang ditetapkan di dalam Pelan Bandaraya Kuala Lumpur iaitu sebagai zon perdagangan Pusat Bandar/ (City Centre Commercial) dan perdagangan bercampur (Mixed use). Pusat membeli-belah ini juga terletak di lokasi yang strategik seperti kemudahsampaian (accesibility) kepada kemudahan pengangkutan awam seperti LRT dan MRT. Kedudukan yang strategik ini juga mengurangkan mobiliti penduduk keluar ke Pusat Bandar Kuala Lumpur. Sebagai contoh, Pusat Membeli Belah Kiara 163 di mana elemen residence berada di atas pusat membeli-belah yang akan dibangunkan.

(b) Untuk makluman Yang Berhormat, Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020 (PBRKL2020) merupakan sebuah pelan pembangunan yang mengurus pertumbuhan Bandar Raya di mana ia menggalakkan perancangan dan pembangunan mampan dengan membeti keutamaan kepda kualiti alam sekitar, kesaksamaan sosial dan kemakmuran ekonomi. Sebagai sebuah Bandar Raya Bertaraf Dunia, PBRKL2020 memastikan perancangan dan pembangunan Kuala Lumpur dapat mewujudkan persekitaran hidup yang berkualiti, memastikan masayarakat mempunysi akses kepada infrastruktur, alam sekitar yang bersih, perumahan mampu milik, kawasan hijau dan taman termasuk peluang memperolehi kehidupan yang makmur.

PBRKL2020 turut menggariskan halatuju utama berkenaan rumah mampu milik dengan menyediakan rumah mampumilik untuk golongan berpendapatan sederhana dan golongan muda di lokasi yang strategik seperti di kawasan stesen transit dan pusat tumpuan pekerjaan. Kepesatan perbandaran dan pertambahan jumlah penduduk menjadikan langkah melindungi dan meningkatkan lagi suasana hijau sedia ada di Bandar Raya sangat penting. Oleh itu, PBRKL2020 menggariskan beberapa inisiatif antaranya ialah mengenal pasti dan mendapatkan kawasan untuk menambah kawasan hijau Bandar Raya melalui pelaksanaan strategi pembangunan dan mengalakkan penyelesaian rekabentuk inovatif di samping mengekalkan kawasan hijau sedia ada.