Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kenaikan Harga Minyak Petrol dan Diesel

Kerajaan Persekutuan telah memutuskan untuk menandakan bulan Oktober ini dengan memberi rakyat Malaysia satu “hadiah” iaitu kenaikan harga minuak sebanyak 0.20 sen.

Harga petrol RON95 meningkat kepada RM2.30 seliter dan diesel kepada RM2.20 seliter.

Ini merupakan kesan sampingan terbaru akibat sikap Kerajaan Persekutuan yang tidak mengambil kisah atas kebajikan rakyat Malaysia dan kegagalannya untuk mengurus ekonomi negara.

Sesiapa pun tidak akan menafikan bahawa kewangan negara perlu disusun semula.

Walhal, hakikatnya sangat menyedihkan kerana sangat ramai rakyat Malaysia bergantung kepada harga minyak yang mampu dibeli, daripada pekerja di bandar yang perlu ke kerja kepada para nelayan yang perlu ke laut untuk mencari rezeki.

Tambahan pula, pengangkutan awam yang baik hanya sekadar angan-angan bagi rakyat Malaysia yang tinggal di bandar.

Apatah lagi, implementasi GST yang akan datang bermakna harga minyak akan menjadi beban yang lebih berat kepada kebanyakan rakyat Malaysia terutamanya yang berpendapatan sederhana dan rendah.

Kumpulan ini pasti akan menghadapi kesusahan yang amat serius disebabkan kenaikan tersebut.

Inilah bukti yang jelas bahawa kenyataan Kerajaan Persekutuan yang menyatakan rakyat Malaysia sedang menikmati taraf hidup yang lebih baik adalah sekadar satu lawak jenaka.

Selain daripada itu, pembaziran juga berlaku dalam perkara-perkara lain seperti kontrak penswastaan yang berat sebelah dan kebocoran kewangan yang tidak dibetulkan, yang sebenarnya boleh dikurangkan atau diubah sebelum rakyat yang menjadi magsa dan dibebankan sebegini.

UMNO-BN dilihat lebih rela menyakiti mereka yang lemah dan tidak berkemampuan berbanding menyusahkan mereka yang kaya dan mempunyai hubungan dengan orang penting.

Pentadbiran Najib Razak tidak boleh terus menekankan bahawa mereka merupakan kerajaan yang “Mendahulukan Rakyat”apabila mereka tanpa ragu-ragu boleh membebankan masyarakat yang paling lemah.