Tahniah saya ucapkan kepada sahabat saya, Halimey Abu Bakar yang dinamakan oleh Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon KEADILAN yang bertanding di atas tiket Pakatan Harapan di Seri Setia.
Halimey anak jati Seri Setia dan bersama KEADILAN sejak penubuhannya pada 1999. Apabila saya menyertai KEADILAN Kelana Jaya pada 2005, Halimey merupakan Ketua AMK Kelana Jaya.
Aktiviti pertama kami turun mengedar risalah di Pasar Tani Kelana Jaya. Zaman itu tak ramai bersama AMK mahupun Cabang tapi kami aktif anjurkan ceramah, dialog dan edar risalah. Malah AMK punya tabung lebih besar banding Cabang ketika itu kerana kami rajin anjurkan boling.
Beliau kemudian menjadi Ketua AMK Selangor dan banyak membantu ketika saya bertanding pada 2008. Selepas kemenangan itu beliau dinamakan sebagai Ahli Majlis MBPJ.
Dengan kerjasamanya banyak perubahan fizikal dilakukan di Zon 24 MBPJ: penyelesaian projek terbengkalai Villaria PJS 5, pembinaan masjid baru Kg Lindungan, perpindahan SJKT Seaport, pembinaan Tadika Rakyat dan Perpustakaan Komuniti di Kg Lindungan dan pembesaran dewan orang ramai.
Medan Selera di hadapan Kontena Nasional sedang dibesarkan. Rukun Tetangga PJS10 juga mempunyai kemudahan komuniti tersendiri.
Saya setuju banyak lagi perlu dilakukan untuk Seri Setia secara keseluruhan. Saya yakin Halimey sebagai anak tempatan dengan rekod ahli majlis yang baik mampu menjadi ADUN terbaik bersama-sama Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan untuk memikul tanggungjawab ini.
Undilah Halimey Abu Bakar, Calon Pakatan Harapan untuk Seri Setia.
Jangan lupa, kita pakai logo Pakatan Harapan buat pertama kali dan PRK Seri Setia dan Balakong ini!