Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Jawapan Lisan Parlimen Persiapan Memenangi Pingat Emas Pertama Olimpik

Jawapan Pertanyaan Jawab Lisan Persiapan Negara Memenangi Pingat Emas Pertama di Sukan Olimpik Tokyo 2020

Soalan: Nik Nazmi Bin Nik Ahmad [ Setiawangsa ] minta Menteri Belia dan Sukan menyatakan apakah status persiapan negara untuk menggondol emas pertama Malaysia di Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

Jawapan:
Tuan Yang di-Pertua,

1. Untuk makluman Yang Berhormat, Program PODIUM kendalian Institut Sukan Negara (ISN) bermula pada 2 Februari 2016 yang merupakan sebahagian dari Kerangka Pelan Prestasi Tinggi Kementerian. Program ini telah berjalan hampir separuh dari perancangan 5 tahun program persediaan Elit yang dijangka akan berakhir di Olimpik Tokyo, Jepun 2020. Ketika program in bermula pada tahun 2016, jumlah atlet adalah seramai 97 orang (66 atlet lelaki, 31 atlet wanita). Ketika ini Program PODIUM mempunyai 148 atlet, yang mana 111 atlet lelaki dan 37 atlet wanita bagi 23 jenis sukan.

2. Program yang dilancarkan sedang mengikut jadual untuk mencapai matlamat yang ditetapkan pada tahun 2020 iaitu emas pertama di Tokyo, Jepun. Kejayaan program ini telah dilihat bermula dengan Olimpik Rio 2016 yang mana atlet Olimpik negara memenangi jumlah pingat yang terbanyak dalam sejarah penyertaan negara di Sukan Olimpik yang mana atlet Olimpik mendapat 4 pingat gangsa dan 1 perak. Manakala atlet paralimpik negara, berjaya merangkul 3 emas & 1 gangsa. Kesemua pemenang pingat adalah terdiri daripad atlet bawah Program PODIUM.

3. Sehingga kini, kita mempunyai 19 acara dalam kedudukan atlet yang bertaraf 6 terbaik dunia (4 Olimpik dan 15 Paralimpik). Ia telah melebihi KPI yang ditetapkan semasa pengwujudan program iaitu 10 orang atlet. Seramai 98 orang atlet di bawah Program PODIUM akan bertanding di Sukan Asia Jakarta Palembang pada 18 Ogos hingga 02 September 2018 di mana terdapat sukan yang terlibat seperti hoki untuk sesi kelayakan ke Sukan Olimpik. Kementerian menjangkakan sukan seperti badminton, berbasikal, terjun dan karate berpotensi untuk meraih pingat emas di Olimpik Tokyo 2020.

4. Persediaan dari aspek Sains Sukan, Perubatan Sukan, Kejurulatihan diberikan penekanan serius oleh Kementerian ketika ini. Penggunaan teknologi terkini dan gabungan kepakaran dalam dan luar negara mampu mempersiapkan atlet ke tahap prestasi yang terbaik.

5. Program ini perlu dikekalkan bagi merealisasikan hasrat emas pertama di Olimpik 2020, memandangkan pencapaian dan usaha berterusan dari ISN bagi memastikan atlet mendapat latihan dan pendedahan pertandingan yang berkualiti dan terkini melalui program individu yang terancang dan rapi. Beberapa strategi telah disusun bagi memastikan atlet negara bersedia menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Di antara strategi yang telah disusun ialah:

5.1 Perkhidmatan Perfomance Lifestyle – perkhidmatan ini disediakan untuk membantu serta menyokong atlet dalam kehidupan seperti kerjaya kehidupan sepanjang penglibatan mereka sebagai atlet dan selepas mereka bersara. Beberapa bengkel telah dilaksanakan seperti teknik menjawab soalan media dan juga media sosial.

5.2 Bengkel Winning Mentality telah diadakan bagi melahirkan atlet yang mempunyai konsep pemikiran membina (growth mindset) melalui latihan berterusan. Mereka juga didedahkan dengan cabaran pemikiran yang membina dan berobjektif agar mereka dapat melahirkan matlamat yang sebenar iaitu mencapai kejayaan yang gemilang di pentas antarabangsa.

5.3 ISN sebagai Pusat Kecemerlangan Teknologi Sukan memastikan projek pembangunan teknologi sukan dijalankan secara berterusan melalui kerjasama pusat-pusat penyelidikan di dalam negara dan antarabangsa. Sebagai contoh, penyelidikan aerodinamik khusus untuk sukan berbasikal. Kajian aerodinmik ini adalah tentang perkara-perkara seperti kajian nanotechnology tekstil (skinsuit) dan kajian terhadap posisi kayuhan untuk mengurangkan daya seretan (drag) yang dijalankan untuk meningkatkan prestasi atlet berbasikal.

5.4 Ketekunan wajar terhadap persekitaran prestasi tinggi yang puncak diteruskan dengan pembangunan sistem DietScore 2.0 iaitu kerjasama di antara Institut Sukan Negara (ISN) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi tempoh 2018 hingga 2019. Kerjasama ini melibatkan pembangunan aplikasi pemakanan sukan “mobile app” yang spesifik terhadap atlet dan individu yang aktif. Aplikasi tersebut membantu dalam memberi pendidikan dan memantau pemakanan seseorang atlet secara atas talian dalam memenuhi keperluan latihan yang spesifik.

5.5 Pihak kementerian jga menggunakan aplikasi ‘athletes management system’ (AMS) yang membolehkan segala maklumat ‘dashboard’ berkaitan atlet seperti jadual latihan, keputusan pertandingan, data perubatan, sains dan penyelidikan yang dibangunkan adalah khusus mengikut kesesuaian atlet. Sistem AMS ini juga digunakan oleh jurulatih dan pengurus sukan di dalam merangka program latihan dan kejohanan yang bersesuaian untuk atlet.

5.6 Kerjasama strategik antara ISN bersama Bandaraya Nakatsu, Bandaraya Oita, Bandaraya Beppu dan Majlis Olimpik Jepun telah ditandatangani pada 02 Julai 2018. Perjanjian ini melibatkan prasarana berikut digunakan secara percuma untuk kem pra latihan sebagai persiapan ke Sukan Olimpik. Prasarana tersebut adalah Daihatsu Kysuhu Arena, Nagasoe Park, Sanko Exercise Park, Oita Dome dan Kitahama Yacht Harbor.

6. Yang Berhormat, inisiatif-inisiatif di atas dilaksanakan oleh pihak kementerian dengan mengambil kira konsep ‘marginal gains’ yang menekankan kepada peningkatan kecil secara konsisten di dalam komponen-komponen prestasi seseorang atlet secara terperinci, yang bila digabungkan akan memberikan kelebihan kepada atlet negara di pentas Sukan Olimpik.

Sekian, terima kasih.