Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Patutkah NFDP Diteruskan?

Beberapa minggu ini saya telah berulang kali ditanya tentang pembangunan sukan bola sepak negara dari tahap akar umbi, terutamanya berkenaan Program Pembangunan Bola Sepak Negara atau NFDP.

Saya berpendapat bahawa NFDP harus diteruskan. Jutaan ringgit yang dibelanjakan untuk program ini telah menghasilkan pencapaian yang memberangsangkan setakat ini, namun masih boleh ditambahbaik.

Keberkesanan NFDP

Keberkesanan program ini jelas dengan pencapaian di peringkat antarabangsa termasuk kejohanan di Eropah seawal usia 13 tahun.

Kejayaan ini bukan sahaja menyebabkan pemain kita menjadi tarikan kelab-kelab Eropah, malah Malaysia juga berjaya menarik minat negara luar untuk bertanding dalam kejohanan Supermokh Cup termasuk kelab seperti PSG (France), Sporting CP (Portugal), Sevilla (Spain), Kashima Antlers (Jepun), FC Seoul (Korea) dan lain-lain lagi.

Pembangunan Bola Sepak Akar Umbi

Pada masa ini NFDP adalah jauh ke hadapan daripada sudut pembangunan bola sepak belia, dan jurang yang jelas dapat dilihat berbanding kebanyakan Persatuan Bola Sepak Negeri.

Setelah lebih lima tahun program ini dijalankan, NFDP mempunyai lebih 25,000 pelatih, dan lebih 1,000 jurulatih di seluruh Malaysia. Saya kira ini perkembangan yang baik dengan sasaran mencapai 50,000 pelatih pada tahun 2020.

Kita perlu teliti semula struktur pembangunan bola sepak akar umbi dan jika boleh memperluaskan modul latihan NFDP sehingga ke akademi Persatuan Bola Sepak Negeri dan kelab-kelab Liga Malaysia.

Antara yang boleh diusahakan juga adalah dengan menempatkan pelatih dan jurulatih NFDP di Persatuan Bola Sepak Negeri agar nilai latihan boleh diterap dengan lebih baik.

Pada masa yang sama asas akademi juga harus diperkukuh dan ini memerlukan pelaburan wang yang lebih. FAM digalakkan memberi kerjasama di dalam hal ini dengan menyediakan insentif pembangunan bola sepak akar umbi untuk Persatuan Bola Sepak Negeri dan kelab-kelab bola sepak, di samping memperkukuhkan kerjasama dengan liga-liga komuniti.

Pencarian Bakat

Apa yang perlu dititikberatkan juga adalah pencarian bakat. Satu sistem yang lebih menyeluruh diperlukan untuk pencarian bakat yang efektif di seluruh negara.

Penglibatan sekolah-sekolah serta akademi bola tempatan amatlah penting di dalam hal ini. Selain itu bakat-bakat kampung dan pemain bola sepak jalanan juga perlu diberi perhatian dan Malaysia perlu membentuk satu ‘scouting system’ bertaraf antarabangsa agar tiada bakat yang terlepas.

Kemudahan Latihan

Jika Malaysia hendak mencapai aspirasi untuk ke Piala Dunia, kita tidak boleh berpuas hati hanya dengan bakat yang ada. Bakat haruslah digilap di dalam satu ekosistem kesukanan yang baik.

Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari kini telah menetapkan standard yang diperlukan terutamanya untuk skuad elit bola sepak. Dikhabarkan beberapa ahli skuad akademi ini telah menarik perhatian kelab gergasi Eropah, ini cukup membanggakan.

Pada masa yang sama akademi-akademi dan sekolah sukan lain juga perlu diberdayakan ke taraf yang lebih baik. Semua sudut kesukanan itu perlu dinilai semula termasuklah disiplin, pemakanan, kecergasan dan sebagainya.

Pendedahan Pemain

Adalah amat penting juga untuk kita terus memberi pendedahan kepada para pemain ini agar mereka sentiasa bersedia untuk bermain dalam situasi kompetitif.

Penglibatan di dalam kejohanan antarabangsa di Eropah dan Asia perlu diperbanyakkan terutama bagi skuad elit supaya mereka boleh terus bersaing pada tahap yang tertinggi.

Kita juga harus menganjur lebih banyak kejohanan tempatan dan memberi pendedahan perlawanan seawal 7 hingga 17 tahun.

Membudayakan Bola Sepak

Walaupun diakui bahawa bola sepak merupakan sukan utama negara ini, tetapi kita masih belum berjaya menerapkan budaya sukan bola sepak yang sihat dikalangan masyarakat.

Perlu ada penggalakkan komuniti secara menyeluruh dalam sukan bola sepak terutamanya dengan keterlibatan ibu bapa secara langsung utk memastikan anak-anak tidak terlepas sesi latihan dan perlawanan.

Kita mampu mengubah DNA bola sepak negara dengan menerapkan falsafah baru dalam bola sepak moden yg seperti diterapkan dalam NFDP.

Walaubagaimanapun, NFDP juga tidak mungkin berjaya sekiranya anak-anak muda ini hanya menjuarai kejohanan di peringkat belia. Ia memerlukan kesinambungan ke peringkat yang seterusnya dan ini merupakan antara cabaran yang paling genting bagi semua pihak.

Apa yang lebih penting adalah kita menyedari bahawa setiap yang kita lakukan perlu bersifat membina dan semua pihak berkepentingan mestilah memberi kerjasama dengan baik untuk mempertingkatkan mutu dan kualiti bola sepak negara dan mengembalikan kegemilangan sukan rakyat ini.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA PEMUDA HARAPAN
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA

6 Comments

  • Danaeshwar Maniam
    Posted 31 Mei 2018 at 9:11 am

    The perfect man for next menteri kbs.. a positive thinker all we need to develop our local sports talent

    • Post Author
      Nik Nazmi Nik Ahmad
      Posted 1 Jun 2018 at 2:43 am

      Thank you Danaeshwar Maniam.

      – Nik Nazmi Nik Ahmad –

  • SK anba
    Posted 31 Mei 2018 at 1:14 pm

    The NFDP should be continuef to bring Malaysia back to its glory days YB Nik…lets keep it goals and activities set a realistick target to improve school level and district level clubs and competitions…built it from down up…

  • Kol Hj Zulkifle Zain (Bersara)
    Posted 2 Jun 2018 at 11:27 pm

    Dimanakah Ranking Malaysia diPeringkat Dunia pada era (70an, 80an, 90an, 2000, 2010, 2018). Satu kajian menyeluruh dalam bentuk makmal oleh pakar-pakar sukan (Jurulatih, Pengurus, Pengulas, Penganalisa, Bekas Pemain, akedemik sukan, MSN, ISN, KBS) diadakan untuk mencari kelemahan dan kekuatan penyediaan Pasukan Negara. Makmal juga perlu menjemput pakar-pakar daripada luar negara yang telah meningkat dalam 20 tahun kebelakangan ini. Contoh Japan dan Korea. Dimana kedua-dua negara ini pernah tewas kepada Malaysia dalam tahun 70an.

    Dalam negara mengalami kegawatan kewangan, satu perancangan yang konkrit untuk jangkamasa panjang perlu diselaraskan agar ianya memberi manfaat kepada Individu, Negara serta Sukan Bola Sepak itu sendiri. Biar Makmal menentukan keberkesanan NFDP

    Sekian Pandangan saya.

    • Post Author
      Nik Nazmi Nik Ahmad
      Posted 3 Jun 2018 at 3:49 am

      Saya hargai pandangan Kol Hj Zulkifle Zain, terima kasih.

      – Nik Nazmi Nik Ahmad –

Comments are closed.

Nik Nazmi ialah Ahli Parlimen Setiawangsa. Beliau juga Naib Presiden KEADILAN.

Alamat

Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Setiawangsa
3-1, Jalan Rampai Niaga 5, Rampai Business Park, Taman Sri Rampai, 53300 Kuala Lumpur, Malaysia.

Media Sosial

© Nik Nazmi Nik Ahmad. Hak Cipta Terpelihara.