Kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Hamzah Zainudin yang menyelar kenyataan saya berkenaan isu penutupan lima buah pasaraya Giant, gagal menyentuh isu pokok yang hendak disampaikan.
Tanpa menidakkan hak Giant untuk mengoptimumkan strategi pemasaran, tidak boleh dinafikan juga bahawa strategi tersebut akan mengambil kira keadaan ekonomi sedia ada.
Menurut laporan Retail Group Malaysia (RGM), sektor perniagaan runcit terkesan dengan kadar pengucupan -1.2 peratus pada suku pertama tahun ini, dengan sektor pasaraya melaporkan kadar penguncupan paling teruk pada kadar -4.8 peratus.
Walaupun mengambil kira faktor pasaran atas talian serta persaingan, kenaikan harga barang disebabkan GST sebagai penyebab beberapa perniagaan ditutup seperti yang didakwa oleh Malaysian Business Council dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia juga perlu diiktiraf.
Hakikatnya, jika perniagaan adalah baik dan harga barangan tidak naik melambung, Giant dan mana-mana perniagaan runcit lain tidak akan terkesan teruk seperti yang dilaporkan. Tambahan pula pendapatan rakyat tidak meninggkat pada kadar yang setara.
Pada masa ini, keadaan ekonomi memaksa ribuan pekerja dihentikan, malah sektor perdagangan borong dan runcit mengalami kadar pembuangan kerja paling teruk selepas sektor pembuatan, iaitu 20.7 peratus daripada 37,699 keseluruhan pekerja yang dibuang pada tahun 2016.
Menteri dan Kerajaan UMNO-Barisan Nasional tidak bolehlah mencanang bahawa prestasi ekonomi kukuh dan berjaya, tetapi apabila sesuatu keadaan buruk yang memberi kesan kepada ribuan pekerja didedahkan, mereka terus menafikannya malah menyalahkan orang lain pula.
Menteri harus melihat semula dasar serta perancangan sedia ada, dan berusaha membaik pulih keadaan sebelum ia menjadi lebih parah.