Laporan berita yang menyatakan bahawa Pasaraya Giant akan menutup lima lagi pasaraya di sekitar Malaysia membuktikan sekali lagi bahawa ekonomi Malaysia bukanlah seindah yang digambarkan oleh Najib dan Kerajaan UMNO-Barisan Nasional.
Peningkatan KDNK negara dan sebagainya tidak memberi apa makna sekiranya perniagaan dan rakyat sendiri terus rasa tertekan dengan keadaan ekonomi yang kian meruncing akibat kegagalan pentadbiran Kerajaan.
Pengenalan cukai GST yang tidak teratur dan kejatuhan nilai ringgit sehingga mengakibatkan kenaikan harga barang jelas memberi kesan kepada peniaga dan juga pembeli yang semakin berkurangan kuasa membeli.
Apa akan jadi kepada pekerja Pasaraya Giant, dan ribuan pekerja perniagaan lain yang terlibat dengan mereka?
Apa yang terjadi kepada Giant hanyalah sebahagian daripada krisis yang melanda sektor runcit negara. Banyak kedai-kedai kecil dan sederhana serta pembekal-pembekal menjadi mangsa.
Ketidaktentuan masa depan mereka adalah akibat dasar Kerajaan BN yang gagal membela rakyat.
Pengumuman bajet oleh Perdana Menteri tempoh hari langsung tidak menyentuh isu-isu genting seperti ini, atau memberi solusi kepada masalah rakyat, malah hanya berperanan menjanjikan gula-gula sempena pilihanraya.
Najib dan BN tidak mampu memulihkan ekonomi negara sendiri, tetapi ada hati pula hendak membantu mengukuhkan ekonomi terbesar dunia, Amerika Syarikat.
Pemimpin yang tidak merasai realiti masyarakat seharusnya dipencenkan kerana mereka hanya berbuat sesuatu untuk kepentingan sendiri, sementara rakyat terus menderita.