Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Jawapan Pertanyaan Lisan Mengenai Insentif Untuk Kenderaan Elektrik

Soalan:
Nik Nazmi Nik Ahmad [ Setiawangsa ] minta Menteri Perdagangan Antarabangsa menyatakan :- Apakah insentif disediakan untuk kemasukan kenderaan elektrik ke dalam negara.
Jawapan:
Tuan Yang Di Pertua,
1. Saya mohon supaya soalan-soalan daripada YB. Bachok dan YB. Setiawangsa yang bertarikh 16 November 2021 dijawab bersekali memandangkan ianya menyentuh perkara yang sama iaitu perancangan Kerajaan termasuk insentif bagi membangunkan ekosistem kenderaan cekap tenaga (EEV) termasuk kenderaan elektrik (EV).
2. Dasar Automotif Negara (NAP) 2020 telah diperkenalkan bagi tujuan untuk menempatkan negara sebagai peneraju dalam pembuatan automatif, kejuruteraan dan teknologi di rantau ini. NAP 2020 merupakan penambahbaikan kepada NAP 2014 di mana objektif utamanya adalah untuk membangunkan Malaysia sebagai hab automatif serantau bagi Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) dengan fokus kepada pembangunan Next Generation Vehicles (NxGVs), Mobility as a Service (MaaS) dan Industry Revolution 4.0 (IR 4.0).
3. EEV merupakan kenderaan yang memenuhi spesifikasi penggunaan bahan bakar secara lebih efisien dan pelepasan asap meliputi kenderaan seperti Internal Combustion Engine (ICE), hibrid, elektrik dan lain-lain. Manakala, NxGV merujuk kepada kenderaan yang memenuhi klasifikasi takrifan EEV dan ditambah dengan aplikasi Intelligent Mobility yang membolehkan kenderaan menjadi lebih pintar dan cekap.
4. Kerajaan telah menggariskan beberapa Langkah bagi menggalakkan pengeluaran dan pemasangan EEV termasuk elektrik dan hibrid merangkumi:
i. Kelulusan Lesen Pengilang EV untuk semua kategori dan segmen kenderaan bermotor;
ii. Menyenaraikan aktiviti pembuatan komponen kritikal seperti pembuatan bateri dan pembangunan Battery Management System (BMS) dan Thermal Management System (TMS) untuk diberi galakan cukai;
iii. Menetapkan standard:
a. EEV dan NxGV
b. sistem pengecasan kenderaan elektrik yang bersesuaian
c. sistem integrasi powertrain EV;
d. aktiviti kitar semula dan pelupusan bateri; dan
e. teknologi Battery Swapping dan Wireless Charging;
iv. Menjalankan kajian kebolehlaksanaan teknologi Hydrogen Fuel Cell;
v. Membangunkan EV Smart Grid Interoperability Centre (EVIC) yang bertujuan untuk menguruskan operasi sistemn pengecasan kenderaan-kenderaan elektrik berdasarkan konsep power to grid; dan
vi. Program pembangunan modal insan meliputi pembangunan National Occupational Skills Standard (NOSS) yang menggariskan kemahiran yang diperlukan pekerja. Ini termasuk NOSS bagi EV iaitu Electric and Hybrid Car Servicing, Electric Bus Maintenance Management, Electric Bus Operation dan Electric Vehicle (EV) Charging Station.
5. Kerajaan telah menawarkan insentif cukai bagi aktiviti pemasangan atau pengilangan tempatan kenderan dan komponen EEV termasuk EV serta perkhidmatan teknologi hijau (green services). Perkhidmatan teknologi hijau melibatkan pemasangan, penyelenggaraan, pembaikan peralatan pengecasan EV serta infrastruktur kitar semula bersepadu.
6. Insentif semasa yang ditawarkan terdiri daripada insentif customized yang melibatksan pengecualian cukai pendapatan duti import dan duti eksais. Selain itu, pengecualian cukai pendapatan melalui Galakan Taraf Perintis sebanyak 70 atau 100 peratus ke atas pendapatan berkanun serta Elaun Cukai Pelaburan bersamaan 60 atau 100 peratus perbelanjaan modal layak yang boleh ditolak daripada pendapatan berkanun, juga ditawarkan kepada pemain industri.
7. Insentif semasa hanya merangkumi pengecualian cukai langsung dan tidak langsung yang ditawarkan kepada supply side iaitu industri pengeluaran kenderaan EV, komponen dan pembangunan ekosistem seperti fasiliti pengecasan.
8. Bagi memastikan Malaysia berupaya meningkatkan daya saing menarik pelaburan dalam sektor EV, maka terdapat keperluan untuk Kerajaan menawarkan insentif bukan sahaja kepada pengeluar kenderaan dan komponen atau OEM, tetapi juga merangkumi pengguna secara amnya.
9. Insentif kepada pengguna (demand side) dijangka dapat meningkatkan permintaan ke atas EV yang dapat menggalakkan pelaburan bukan sahaja bagi pengeluaran kenderaan dan komponen tetapi juga daripada segi sokongan infrasktur EV. Berdasarkan objektif tersebut, Kerajaan telah mengumumkan pakej insentif menyeluruh di bawah Belanjawan 2022 seperti berikut:
i. Pengecualian duti import, duti eksais dan cukai jualan sepenuhnya ke atas EV yang dipasang secara tempatan atau Complete Knocked-Down untuk tempoh 4 tahun sehingga 2025;
ii. Pengecualian duti import dan duti eksais sepenuhnya ke atas pengimportan EV jenis Completely Build Up (CBU) untuk tempoh 2 tahun sehingga 2023;
iii. Pengecualian cukai jualan sehingga 100% bagi kenderaan EV; dan
iv. Pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM 2,500 bagi kos pemasangan, sewaan, pembelian termasuk sewa-beli peralatan atau yuran langganan kemudahan pengecasan EV.
10. Selain insentif cukai, syarikat secara umumnya layak untuk dipertimbangkan pemberian geran secara padanan terutamanya bagi syarikat yang menjalankan aktiviti yang digalakkan termasuklak projek berkaitan EV, tertakluk kepada pematuhan syarikat terhadap kriteria yang ditetapkan. Pemberian geran ini antara lain dapat membantu syarikat menjalankan aktiviti pemodenan dan menaiktaraf kemudahan/ peralatan, penyelidikan dan pembangunan serta latihan kepada tenaga kerja tempatan.
11. Langkah-langkah di bawah NAP 2020 dan pakej insentif EV di bawah Belanjawan 2022 akan menyokong pembangunan ekosistem EV dalam negara seterusnya membantu merealisasikan sasaran bagi Malaysia mencapai pelepasan sifar karbon menjelang tahun 2050 seperti digariskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.
Terima kasih.

Nik Nazmi ialah Ahli Parlimen Setiawangsa. Beliau juga Naib Presiden KEADILAN.

Alamat

Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Setiawangsa
3-1, Jalan Rampai Niaga 5, Rampai Business Park, Taman Sri Rampai, 53300 Kuala Lumpur, Malaysia.

Media Sosial

© Nik Nazmi Nik Ahmad. Hak Cipta Terpelihara.