Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Jawapan Pertanyaan Lisan Status Pelan Pelaburan Pertahanan Negara

Soalan:
Nik Nazmi Nik Ahmad [ Setiawangsa ] minta Menteri Kanan Pertahanan menyatakan tentang status terkini Pelan Pelaburan Pertahanan Negara (3PN).
Jawapan:
Tuan Yang di-Pertua,
Pelan Pelaburan Pertahanan Negara (3PN) adalah merupakan dokumen sokongan bagi Kertas Putih Pertahanan, selain daripada dokumen Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan (DIPKN) dan Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan (RTKP). 3PN memperincikan keutamaan pelaburan yang diperlukan oleh kerajaan bagi memastikan keupayaan dan kapasiti pertahanan, sains, teknologi dan industri pertahanan terus dipertingkatkan menjelang tahun 2030.
Penyediaan 3PN akan dilaksanakan menerusi pendekatan keseluruhan kerajaan dan pendekatan keseluruhan masyarakat dengan sesi libat urus bersama pihak-pihak yang berkepentingan bagi memastikan rancangan pelaburan yang bakal dibuat menepati kehendak dan keperluan semasa dan masa hadapan.
3PN kini sedang dalam proses perancangan di mana pelaburan jangka masa panjang bagi mempertingkatkan pertahanan negara dijajarkan mengikut keutamaan. Pelan ini penting bagi memastikan sesuatu program yang dirancang dapat dilaksanakan dengan cekap dan berkesan.
Terima kasih.