Sebagai seorang Ahli Parlimen, saya risau dan kecewa dengan keputusan Kerajaan yang hanya mengadakan sidang Parlimen satu hari pada 18 Mei 2020.
Memang benar kita sedang menghadapi wabak Covid-19. Hakikatnya langkah penjarakan sosial masih perlu diterapkan walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkemungkinan akan berakhir pada waktu itu.
Kita mahu Parlimen bersidang untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan penggubalan dasar yang baik supaya pemulihan ekonomi dapat dilaksanakan.
Meluluskan pelbagai pakej rangsangan PRIHATIN dan tambahan perbelanjaan hanyalah salah satu dari tugas besar yang perlu kita hadapi.
Ahli-Ahli Parlimen perlu bertanya soalan kepada Menteri, manakala Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang menjadi pembaharuan penting di bawah Pakatan Harapan perlu terus memainkan tugasnya.
Kita juga perlu merangka, menyiapkan dan seterusnya meluluskan polisi untuk memastikan pekerjaan rakyat tetap selamat dan syarikat-syarikat di Malaysia tidak gulung tikar.
Industri pembuatan, penerbangan dan pelancongan adalah yang paling teruk terjejas: langkah-langkah drastik diperlukan untuk membantu sektor ini, termasuk juga sektor lain.
Mustahil kita dapat melakukan semua ini dengan hanya sehari. Selain itu, kita belum pernah mendengar apa-apa yang penting daripada kerajaan mengenai polisi yang saya katakan tadi.
Dan pakej rangsangan – seperti yang saya kerap nyatakan – hanyalah penyelesaian jangka masa pendek.
Lebih banyak lagi yang perlu dilakukan untuk membantu rakyat Malaysia yang menganggur dan terpinggir.
Kita memerlukan tindakan pantas. Ada banyak yang perlu dikerjakan, termasuk memulihkan ekonomi berdasarkan “norma baru” – penjarakan sosial.
Ini tidak boleh diserahkan kepada pihak eksekutif sahaja. Sebaliknya, rakyat – melalui Anggota Parlimen mereka – harus didengar dan diizinkan untuk meneliti dasar yang diusulkan.
Rakyat dan industri tidak mampu menunggu sehingga Julai untuk mengetahui apa yang perlu dilakukan. Itulah sebabnya Parlimen perlu bersidang lebih awal dan lebih lama daripada satu hari.
Pelbagai langkah perlu diambil untuk memastikan penjarakan sosial terus dipantau.
Harus diingat bahawa Parlimen UK, Australia dan Kongres Amerika Syarikat terus bersidang sepanjang Perang Dunia Pertama dan Kedua, dan juga semasa pandemik “Spanish flu” pada tahun 1918-1920.
Terdapat keinginan yang kuat dari rakyat agar ahli politik menyingkirkan perbezaan seketika dan berusaha untuk membawa Malaysia mengatasi krisis ini.
Ini tidak bermaksud menangguhkan proses politik dan perundangan.
Ia tidak akan berlaku sekiranya institusi seperti Parlimen tidak dibenarkan berfungsi dengan baik.
Oleh itu, saya sangat berharap agar kerajaan memanjangkan sidang Parlimen seterusnya dengan mengambil kira penjarakan sosial yang diperlukan.
NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA SETIAUSAHA PENGELOLA KEADILAN
AHLI PIMPINAN PUSAT KEADILAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA