Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Jawapan Pertanyaan Lisan Mengenai SPM, STPM Dan STAM 2021

Soalan: Nik Nazmi Nik Ahmad [ Setiawangsa ] minta Menteri Kanan Pendidikan menyatakan apakah keputusan yang diambil Kementerian bagi SPM, STPM dan STAM 2021?
Jawapan:
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa komited melakukan yang terbaik demi generasi masa depan negara. Walaupun berhadapan dengan situasi pandemik COVID-19 yang sangat mencabar, peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) kendalian Lembaga Peperiksaan (LP) serta peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) kendalian Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) tahun 2021 akan tetap dilaksanakan.
Peperiksaan bertulis SPM dan STAM 2021 akan dilaksanakan pada bulan Mac 2022. Manakala, peperiksaan Semester 2 STPM 2021 akan dilaksanakan pada 25 hingga 28 Oktober 2021.
Pengurusan pengendalian peperiksaan SPM, STAM dan STPM 2021 adalah berpandukan kepada Garis Panduan Pengurusan Pentaksiran Pusat dan Peperiksaan Awam yang terkandung dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0 dikeluarkan oleh KPM. Garis panduan ini merupakan rujukan kepada pegawai bahagian di KPM, jabatan pendidikan negeri (JPN), pejabat pendidikan daerah (PPD), pentadbir serta guru di sekolah, ibu bapa dan pihak yang terlibat tentang pengoperasian sekolah termasuk pengurusan pengendalian peperiksaan awam.
KPM menyedari bahawa sesi persekolahan secara bersemuka untuk tahun 2020 dan tahun 2021 tidak dapat dilaksanakan sepertimana kebiasaan. Justeru, KPM telah membuat ketetapan untuk melanjutkan sesi persekolahan tahun 2021 sehingga bulan Februari 2022. Pelanjutan sesi persekolahan ini membolehkan guru dan pihak sekolah merancang serta melaksanakan intervensi, pengukuhan dan pengayaan secara intensif, termasuklah kepada calon SPM dan STAM 2021. Pelanjutan ini juga, akan memberi peluang kepada calon SPM dan STAM 2021 untuk membuat persediaan rapi bagi menghadapi peperiksaan.
KPM juga telah mengumumkan bahawa sekolah akan dibuka untuk sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka mulai 3 Oktober 2021 bagi negeri kumpulan A dan 4 Oktober 2021 bagi negeri kumpulan B. Pembukaan sekolah akan dibuat secara berperingkat mengikut fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan memberi keutamaan kepada murid kelas peperiksaan.
Sebagai contoh, murid Semester 2 STPM 2021 yang bakal menduduki peperiksaan pada 25 hingga 28 Oktober 2021 akan mengikuti sesi PdP secara bersemuka mulai 3 Oktober 2021. Ini memberi peluang kepada guru untuk memberi bimbingan secara intensif kepada calon sebelum mereka menduduki peperiksaan.
KPM yakin bahawa usaha-usaha ini akan dapat memastikan calon SPM, STAM dan STPM 2021 mempunyai ruang dan peluang untuk membuat persiapan rapi sebelum menduduki peperiksaan.