Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Jawapan Pertanyaan Lisan Mengenai Majlis Pekerjaan Negara

Soalan: Nik Nazmi Nik Ahmad [ Setiawangsa ] minta Menteri Sumber Manusia menyatakan apakah fungsi dan kejayaan Majlis Pekerjaan Negara.
Jawapan:
Tuan Yang Di Pertua,
Untuk makluman Yang Berhormat, berdasarkan maklumat yang diperolehi dari Kementerian Kewangan Majlis Pekerjaan Negara atau NEC dibentuk selaras dengan intipati dalam pembentangan Belanjawan 2021 oleh YB Menteri Kewangan pada 6 November 2020, di bawah matlamat pertama yang bertujuan untuk memastikan kesejahteraan rakyat melalui strategi ketiga iaitu menjana dan mengekalkan pekerjaan.
Majlis ini merupakan tadbir urus tertinggi dalam penetapan dasar, pelaksanaan serta pemantauan strategi dan inisiatif Kerajaan khusus dalam penciptaan pekerjaan serta menangani isu pengangguran. Penubuhan Majlis ini juga sejajar dengan hasrat Kerajaan dalam memastikan pemulihan dan rangsangan sektor ekonomi di Malaysia berjaya dilaksanakan dengan mengambil kira faktor kesejahteraan rakyat dan ketahanan ekonomi negara.
Majlis ini dianggotai oleh Menteri-Menteri Kabinet berkaitan dengan inisiatif Kerajaan khusus untuk penciptaan pekerjaan serta menangani isu pengangguran dan turut disertai wakil sektor swasta, industri serta ahli akademik dalam menyumbang kepada usaha untuk pengwujudan pekerjaan. Bagi tahun 2021, Kerajaan berhasrat untuk mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan melalui Majlis ini.
Sehingga 10 September 2021, NEC berjaya merekodkan lebih 376,169 penempatan pekerjaan melalui 27 Inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan. Secara keseluruhan pencapaian adalah sebanyak 75.2% telah berjaya dicapai dari sasaran keseluruhan sebanyak 500,00 penempatan pekerjaan.
Manakala 97,000 perkerjaan baharu telah berjaya diwujudkan melalui pelaburan dalam negara dan 76% daripadanya adalah dalam kategori mahir dan separuh mahir.
Kerajaan akan terus komited untuk memastikan penciptaan pekerjaan sebanyak 500,000 bagi tahun 2021 akan dapat dicapai pada suku tahun keempat tahun ini.

Nik Nazmi ialah Ahli Parlimen Setiawangsa. Beliau juga Naib Presiden KEADILAN.

Alamat

Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Setiawangsa
3-1, Jalan Rampai Niaga 5, Rampai Business Park, Taman Sri Rampai, 53300 Kuala Lumpur, Malaysia.

Media Sosial

© Nik Nazmi Nik Ahmad. Hak Cipta Terpelihara.