Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Hamzah Jangan Terus Dolak-Dalih Untuk Adakan Sidang Parlimen

Semalam Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin mengatakan Parlimen hanya akan bersidang apabila imuniti kelompok tercapai.

Beliau turut merujuk kepada Kongres Nasional KEADILAN yang berlangsung secara atas talian dan bukan fizikal sebagai bukti kami takut berhimpun, tetapi pada masa yang sama mendesak Parlimen bersidang.

Beliau turut menolak Parlimen bersidang secara atas talian denngan memberi alasan ia akan menimbulkan masalah yang lain pula.

Keputusan KEADILAN mengadakan sidang Kongres (yang sudah bermula semalam dengan Kongres Wanita, diikuti Kongres Angkatan Muda pada hari ini dan Kongres Nasional esok) secara atas talian dibuat atas keputusan Majlis Keselamatan Negara. Parti juga telah mengadakan perbincangan berterusan dengan pihak Pendaftar Pertubuhan.

Hakikat bahawa sebuah parti politik boleh mengadakan sidang Kongres sepenuhnya atas talian membuktikan sebenarnya Kerajaan Perikatan Nasional hanya cuba mencari alasan untuk tidak memanggil Sidang Parlimen.

Mengapakah ini tidak menjadi opsyen untuk Parlimen, institusi perundangan nasional negara? Pada tahun lepas, Malaysia menjadi tuan rumah Sidang APEC yang melibatkan negara-negara Asia Pasifik yang diadakan sepenuhnya atas talian. Sistem pembelajaran di universiti dan sekolah hari ini diadakan secara atas talian di Malaysia.

Tambahan lagi Parlimen boleh bersidang secara hibrid memandangkan semua Ahli Parlimen telah menerima dua dos vaksin. Pemberian vaksin boleh diperluaskan kepada kakitangan Parlimen dan penjawat awam yang terlibat dengan perjalanan Parlimen serta penggunaan langkah-langkah yang terpakai pada sidang tahun lepas dari segi penjarakkan fizikal dan menghadkan bilangan Ahli Parlimen dalam dewan pada satu-satu masa.

Banyak negara telah mengadakan sidang Parlimen atas talian atau hibrid sepanjang pandemik Covid.
Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Sebagai rekod, bukan sahaja KEADILAN telah mengadakan sidang secara atas talian malah parti-parti BERSATU dan UMNO juga telah mengadakan persidangan parti secara hibrid sebelum ini. Saya yakin semua pihak-pihak ini bersedia berkongsi pandangan dengan Kerajaan tentang amalan terbaik melaksanakan sidang atas talian atau hibrid.

Dengan mengatakan Sidang Parlimen hanya akan dipanggil selepas tercapainya imuniti kelompok (sekitar 80 peratus dari rakyat terima vaksin) adakah ini bermakna Kerajaan mengatakan PKP yang ada pada hari ini akan diteruskan sehingga negara mencapai tahap tersebut?

Setakat ini hanya 2.2 juta rakyat yang baru menerima vaksin. Semalam Dr Adham Baba, Menteri Kesihatan menyatakan sasaran tercapainya imuniti kelompok adalah pada Disember.

Menggunakan logik yang sama, adakah Hamzah mengatakan semua perniagaan, kedai makanan, sekolah akan ditutup sehingga sekurang-kurangnya Disember?

NIK NAZMI NIK AHMAD
PENGARAH KONGRES NASIONAL KEADILAN 2021
KETUA SETIAUSAHA PENGELOLA KEADILAN